SHAH ALAM - Kerajaan perlu melakukan tindakan tegas dan terus memburu mana-mana pihak yang mengkhianati usaha untuk membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19.
Pakar kesihatan awam (epidemiologi dan biostatistik) daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata, pembongkaran kegiatan pemalsuan sijil vaksin yang dilakukan oleh pengamal perubatan amat mengecewakan dan memberi kesan kepada profesion tersebut.
Menurutnya, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku membabitkan golongan yang sepatutnya menjadi penasihat dan penggalak kepada masyarakat untuk mematuhi saranan kerajaan.
"Nyata sebahagian besar daripada komuniti perubatan memang terkesan dan juga sukar menerima kenyataan ada dalam kalangan profesional perubatan yang melanggar etika sebagai pengamal perubatan apabila sanggup melakukan jenayah yang sewajarnya tidak berlaku.
"Wajar tindakan undang-undang diambil kepada mereka yang lakukan kesalahan sedemikian. Kegiatan ini perlu dikekang kerana ia akan menyebabkan rancangan pemulihan negara ini terjejas.
"Kerajaan memang perlu melakukan sesuatu yang tegas dalam isu ini kerana ia memang menimbulkan kemarahan. Rasa kecewa kerana usaha-usaha yang dilakukan selama ini seperti dikhianati oleh golongan pengamal perubatan itu sendiri," katanya. Beliau mengulas laporan penahanan seorang doktor 'antivaksin' di Marang, Terengganu yang dikenal pasti mengeluarkan sijil vaksinasi palsu kepada individu yang tidak mahu disuntik vaksin Covid-19.
Mengulas lanjut, Malina berkata, doktor yang mengendalikan kes-kes di lapangan perlu mempunyai integriti dan tanggungjawab melaksanakan amanah berlandaskan undang-undang dan kepatuhan terhadap semua prosedur terutamanya ketika negara menghadapi wabak.
"Kita harap dalam kalangan yang lain, profesional perubatan yang lain dapat membetulkan kepada niat kita apabila kita berdepan dengan pelbagai isu perubatan dan kesihatan," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca