SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak dapat menghalang jika ada pemimpin atau ahlinya yang mahu menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Rosol Wahid turut mengakui tidak pasti bahawa akan ada pemimpin dan ahli parti itu selepas ini menyertai PBM.
Menurutnya, Malaysia merupakan negara demokrasi dan Bersatu tidak dapat menghalang sekiranya mereka ingin menyertainya.
"Kita tidak dapat menghalang (ahli dan pemimpin) yang ingin menyertai parti lain yang mereka rasakan lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng pada Sabtu dipilih sebagai Presiden Penaja PBM dalam Mesyuarat Khas Persidangan Agung parti itu.
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang menyertai Bersatu pada tahun lalu turut tersenarai dalam kepimpinan baharu PBM iaitu ADUN Buntong, A Sivasubramaniam yang dilantik sebagai Naib Presiden Kanan II Penaja dan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong sebagai Bendahari Agung Penaja.
Mengulas mengenai adakah Bersatu menghadapi masalah dalaman atau perpecahan dengan kemasukan pemimpin dan ahli ke dalam PBM, Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu menafikannya."Setakat saya tahu tidak ada isu (masalah dalaman parti) dan saya nampak parti baharu ini bukan sahaja (ahli) daripada parti Bersatu yang masuk tetapi (ahli) parti lain masuk juga.
"Jadi, kalau kata ada isu dalam Bersatu, setakat ini tidak ada masalah,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca