JOHOR BAHRU - Saranan supaya kerajaan menggugurkan mana-mana ahli Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dilantik sebagai pegawai agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah tidak berasas. Naib Presiden Muda PBM, Saiful Bahari... Klik di sini untuk terus membaca

JOHOR BAHRU - Saranan supaya kerajaan menggugurkan mana-mana ahli Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dilantik sebagai pegawai agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah tidak berasas.

Naib Presiden Muda PBM, Saiful Bahari Sahari berkata, saranan tersebut sebelum ini disuarakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman.

Beliau berkata, desakan Dr Muhammad Faiz itu dilihat bersifat peribadi dan hanya berpaksikan kepada alasan pimpinan dan ahli PBM dilantik itu tidak berada dalam parti kerajaan.

Malah, katanya, kenyataan yang dikeluarkan oleh seseorang mempunyai latar belakang akademik yang baik itu juga dilihat seperti kebudak-budakan dan bersifat dengki.

"Jawatan dalam agensi kerajaan mahupun GLC bukannya hak mutlak satu parti sahaja tetapi diberikan atas perkongsian bersama parti-parti yang membawa aspirasi kerajaan.

"Jawatan lantikan dalam GLC diwujudkan bagi melancarkan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dan sudah menjadi tradisi ia dikongsi bersama dengan parti yang menyokong kerajaan,” katanya.

Menurutnya, PBM bukan parti yang menentang kerajaan kerana mereka mendokong segala matlamat kerajaan dalam semangat Keluarga Malaysia.

"Jadi saya beranggapan kenyataan Ahli MPT Bersatu itu (Muhammad Faiz) sebagai tidak matang dan tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang pemimpin muda berpendidikan tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Dr Muhammad Faiz meminta pemimpin kerajaan yang membuat lantikan berdasarkan kuota lantikan politik terhadap individu yang terbukti bukan daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (PN) atau Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menamatkan kontrak lantikan politik tersebut dalam kadar segera.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu juga menyarankan supaya mana-mana individu yang telah dilantik tersebut untuk turut melepaskan jawatan secara sukarela kerana tidak lagi berada dalam kerajaan.

Klik di sini untuk terus membaca