Pada saat negara digemparkan dengan dakwaan salah laku melibatkan pegawai tertinggi sebuah agensi kerajaan yang sepatutnya mempertahankan integriti penjawat awam - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sabtu lalu, Parti Bangsa... Klik di sini untuk terus membaca

Pada saat negara digemparkan dengan dakwaan salah laku melibatkan pegawai tertinggi sebuah agensi kerajaan yang sepatutnya mempertahankan integriti penjawat awam - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sabtu lalu, Parti Bangsa Malaysia (PBM), parti serpihan diwujudkan oleh bekas ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mengalih sedikit perhatian rakyat dalam isu skandal SPRM apabila mengumumkan kehadiran mereka dalam landskap politik negara.

Dengan bekas Pengerusi PKR Sarawak, Larry Sng yang juga Ahli Parlimen Julau akhirnya dipilih sebagai Presiden, PBM turut dianggotai beberapa ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Keluarga Malaysia.

Dibarisi dua bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor daripada PKR, Haniza Mohamed Talha dan Dr Dorayah Alwi, PBM turut menampilkan penglibatan tiga bekas ADUN DAP di Perak, yang sebelum ini menyertai Bersatu iaitu ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiang; ADUN Buntong, A Sivasubramaniam dan ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng.

Bahkan, PBM membariskan majoriti pemimpin yang dilihat pro kepada Menteri Peladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin seperti Setiausaha Agung parti itu, Nor Hizwan Ahmad dan Zakaria Abdul Hamid, meskipun Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berulang kali menafikan kaitan dengan parti berkenaan.

Mat Taichi memahami keperluan parti-parti baharu seperti PBM dan Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) mempertaruhkan konsep parti berbilang kaum dalam menambat hati pengundi muda di Malaysia.

Hal ini kerana pengenalan usul Undi18 bermula tahun ini yang dijangka meningkatkan pendaftaran jumlah pengundi muda kepada sekurang-kurangnya melebihi 5 juta pengundi.

Senario ini sekali gus menyebabkan dinamik politik negara bakal berlaku perubahan merentasi jurang agama dan kaum.

LARRY

Dengan tempoh empat tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan landskap politik negara masih haru-baru akibat episod perebutan kuasa sesama golongan elit politik.

Golongan pengundi muda serta rakyat Malaysia yang progresif sudah pasti mahu melihat kewujudan sesebuah parti atau koalisi politik yang boleh menjanjikan kestabilan politik negara, bersih serta tidak terikat lagi dengan belenggu sokongan berbentuk perkauman dan agama.

Bagaimanapun, Mat Taichi masih tidak dapat memahami kerelevanan Sng dan PBM yang meluluskan usul mahu menjadikan parti itu sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN).

Ya, Mat Taichi menyedari sokongan rakyat, terutama golongan Melayu konservatif, terhadap BN atau lebih spesifik, UMNO dilihat semakin meningkat melalui kemenangan besar koalisi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Namun, sebagaimana pandangan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, kemenangan UMNO dan BN pada PRN Melaka bukan jaminan parti itu bakal menang besar sekiranya PRU15 diadakan segera.

Ditambah dengan imej kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini terjejas akibat isu kelewatan penyaluran bantuan mangsa banjir di seluruh negara pada Disember tahun lalu serta isu skandal terkini membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Penyertaan PBM ke dalam BN pastinya mengundang risiko besar terhadap parti itu, terutama dalam melihat sejauh mana parti itu mampu bertolak ansur dalam menyelesaikan isu pembahagian kerusi pilihan raya bersama parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Bagi UMNO dan BN pula, mereka turut sangsi dengan niat sebenar PBM untuk menyertai koalisi itu memandangkan majoriti pemimpin PBM termasuk Presidennya terdiri daripada wakil rakyat yang lompat parti.

Perkara itu diakui Ketua Penerangan BN, Isham Jalil yang berpandangan hasrat penyertaan PBM ke dalam koalisi itu perlu diteliti dan dibincangkan sebaiknya bagi mengelakkan PBM digunakan pihak tertentu untuk memecah-belahkan BN daripada dalam.

Apa pun, Mat Taichi berharap kehadiran PBM dalam landskap politik negara bukan hanya sekadar mahu menjadi parti 'opportunist' bagi merebut kerusi pilihan raya pada PRU15.

Sudah-sudahlah semua golongan elit politik yang bermain politik semata-mata untuk mengekalkan kuasa, rakyat sudah muak.

Sebaliknya buktikan keikhlasan anda mewujudkan parti baharu adalah demi menawarkan opsyen segar terhadap masa hadapan politik negara yang lebih stabil dan bersih.

Pss: Tak tahu nak undi parti mana

Klik di sini untuk terus membaca