BUAH strawberi memang tak murah. Walaupun tidak semahal buah yubari melon atau yubari king yang harga pasarannya boleh mencecah ribuan ringgit sebiji, namun dalam kalangan buah-buahan yang terdapat di Malaysia, strawberi termasuk dalam... Klik di sini untuk terus membaca

BUAH strawberi memang tak murah. Walaupun tidak semahal buah yubari melon atau yubari king yang harga pasarannya boleh mencecah ribuan ringgit sebiji, namun dalam kalangan buah-buahan yang terdapat di Malaysia, strawberi termasuk dalam kelompok yang agak mahal.

Dua tiga tahun lalu, harga puratanya di Cameron Highlands sekitar RM60 hingga RM70 sekilogram. Kalau rajin merayau dan merayap, mungkin boleh terjumpa yang dijual pada harga RM50/kilogram.

Masih mahal jika dibandingkan dengan harga ayam yang sekarang ini sudah melepasi siling.

Strawberi bukan sahaja cantik, baik buah mahupun warnanya tetapi juga dianggap oleh sebahagian orang sebagai buah yang ada ‘kelas’. Di mana ‘kelas’nya saya pun tidak pasti.

Yang saya tahu bila dapat makan strawberi yang bercampur-baur masam dan manisnya itu, mereka yang berkenaan berasa bangga. Tetapi kalau makan langsat atau rambai, tidak kira betapa manis isinya, dianggap ‘biasa-biasa’ sahaja.

Buah kelapa pula secara umumnya termasuk kategori buah yang murah. Sama ada yang saiznya sama besar kepala lutut ataupun sama besar kepala orang, harganya lebih kurang sama sahaja.

Yang muda, di tepi jalan sebiji antara RM4 hingga RM5. Yang tua pula, RM1 pun sudah dianggap mahal.

Yang akan disentuh kali ini adalah tentang Generasi Strawberi, istilah daripada bahasa China yang asalnya digunakan bagi merujuk anak-anak muda Taiwan yang lahir pada tahun 1982 dan selepasnya.

Di Barat, mereka ini dikenali sebagai Generasi Snowflakes, manakala secara universalnya pula dirujuk sebagai generasi milenium atau Gen Y dan Gen Z.

Tanggapan umum terhadap generasi berkenaan adalah mereka umpama buah strawberi – menarik, sedap dan kaya dengan vitamin serta mineral. Khasiatnya pun cukup banyak, lebih-lebih lagi jika ditanya pada orang yang menjual atau menanamnya.

Tetapi di sebalik kelebihan-kelebihan itu, buah strawberi mempunyai tekstur mudah rapuh, tidak tahan panas dan jika disimpan di dalam peti sejuk pun paling lama boleh bertahan antara lima hingga tujuh hari sahaja.

Hakikat inilah yang dijadikan perlambangan bagi menunjukkan betapa rentannya generasi muda daripada ‘kategori strawberi’ terhadap masalah dan tekanan hidup. Mereka mudah ‘koyak’, kata budak-budak sekarang.

Tanggapan itu bukanlah tidak berasas. Ia lahir hasil daripada pengamatan dan kajian daripada mereka yang ahli.

Mereka inilah yang merumuskan bahawa Generasi Strawberi mempunyai perwatakan menarik, bercita-cita tinggi, luas pengetahuannya sehingga kadang-kadang berasakan mereka tahu serba-serbi, sangat berterus-terang dan suka pe-rubahan.

MUDAH TERSENTAP

Namun, mereka juga pada masa sama tidak tahan diuji. Mereka mudah tersentap, cepat patah semangat, mudah putus asa dan lemah daya taakulannya.

Keadaan mereka dianggap jauh berbeza daripada generasi sebelumnya yang disimbolkan dengan buah kelapa.

Generasi Buah Kelapa pada zahirnya memang kelihatan tidak menarik. Rupa tiada, paras apatah lagi. Tetapi seperti yang pernah saya tulis di ruangan ini beberapa bulan lalu, ia adalah raja buah sebenar.

Kegunaannya sangat banyak, daripada sabut, tempurung hinggalah kepada air dan isi. Sama ada pada waktu muda – air dan isi lembutnya menjadi rebutan sehinggalah ketika tua – lemak santannya semakin berganda.

Buah kelapa juga tahan lasak. Biarkanlah buah itu berpanas berhujan berminggu-minggu atau berbulan-bulan, insya-ALLAH ia tidak akan rosak.

Saya tidak ada pengalaman menyimpan buah kelapa di dalam peti sejuk tetapi yakin jika disimpan, ia mungkin tahan lebih lama daripada peti sejuk itu sendiri.

Perbezaan ketahanan itu sebetulnya dibentuk oleh persekitaran di mana kedua-dua jenis buah itu dibesarkan.

Generasi Buah Kelapa muncul dalam persekitaran sukar. Sejak mula mereka terlatih untuk lebih banyak bergantung kepada keupayaan sendiri.

Ikhtiar hidup memainkan peranan penting. Panduan, dan tunjuk ajar jika ada sering bersifat minimum.

Sekiranya hendak inginkan sesuatu, mereka perlu berusaha mendapatnya. Saya pernah melihat seorang pak cik daripada generasi kelapa yang lebih tua daripada saya menarah kayu nangka untuk dibuat gambus kerana dia tidak mampu membelinya!

Generasi Strawberi pula pada dasarnya lahir dalam persekitaran lebih baik. Ibu bapa mereka kebanyakannya berkerjaya. Untuk mendapatkan sesuatu, modal mereka seminimum air mata. Semakin kuat tangisan, semakin cepatlah dapat apa dihajati.

Mereka membesar bersama segala macam kemudahan. Tidak perlu mandi air perigi atau menolong emak mengangkut air dalam baldi. Hendak ke sekolah tidak perlu berjalan kaki atau berbasikal yang boleh menyebabkan peluh memercik-mercik ketika tiba di kawasan sekolah. Ada bas sekolah menjemput di depan rumah atau lebih hebat, ada pemandu menghantar di depan sekolah.

Memudahkan lagi kehidupan mereka adalah kemajuan teknologi yang pesat berkembang. Daripada desktop dengan CPU dan monitornya sama berat dengan lori satu tan, beralih kepada yang lebih kecil, ringan dan nipis sehinggalah membawa kepada komputer riba, tablet dan telefon pintar. Segala-galanya kemudian bermula dan berakhir di hujung jari.

Kemudahan yang ada menjadikan mereka sibuk dengan cara tersendiri, sekali gus mengurangkan interaksi dengan dunia luar. Ia juga menjadikan mereka mempunyai terlalu banyak pilihan, yang selalunya menyebabkan mereka memilih yang termudah antara yang paling mudah.

JALAN PINTAS

Jika anda boleh memesan sesuatu dari dalam bilik tidur, kenapa perlu bersusah-payah untuk mandi, menukar pakaian, bersolek, kemudian keluar menaiki bas atau teksi semata-mata untuk mendapatkan benda sama?

Kesan daripada keadaan-keadaan itulah menyebabkan ‘anak-anak strawberi’ ini sering disifatkan sebagai pemalas, kurang berdaya saing, lembik dan tidak realistik. Mereka kurang sabar mendapatkan sesuatu dan tidak teragak-agak menggunakan jalan pintas walaupun berisiko untuk memperolehnya.

Bagi saya, yang penting adalah bagaimana kita menguruskan perbezaan-perbezaan itu.

Generasi Strawberi mempunyai banyak kelebihannya, antara lain mereka mudah mencetuskan idea baharu, mempunyai pemikiran di luar kotak dan berkebolehan menggunakan teknologi semaksimum mungkin.

Maka, manfaatkanlah kebolehan dan kelebihan itu. Biarkan mereka menjadi diri mereka tetapi awasilah dengan sebaik-baiknya. Tidak perlu memaksa mereka menjadi buah kelapa, sebaliknya kita si buah kelapa yang kental inilah perlu bertindak menjadi pelindung dan perisai mereka.

Bagaimana jika kita semua telah tiada nanti? Saya tidak fikir ia menimbulkan masalah. Apabila semua buah kelapa sudah tiada dan yang tinggal hanya buah strawberi, maka persaingan hanyalah antara sesama strawberi.

Dan siapa tahu waktu itu mereka sudah mampu mencipta alat yang boleh menukar buah strawberi menjadi buah kelapa semula dalam sekelip mata? #dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 akan menulis mengenai pengurusan perubahan.

Klik di sini untuk terus membaca