LAPORAN Statistik Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pengangguran Malaysia menurun pada kadar 4.3 peratus Oktober tahun lalu. Pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi, sosial dan rekreasi secara berterusan telah... Klik di sini untuk terus membaca

LAPORAN Statistik Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pengangguran Malaysia menurun pada kadar 4.3 peratus Oktober tahun lalu.

Pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi, sosial dan rekreasi secara berterusan telah mendorong kedudukan tenaga buruh menurun daripada kadar 4.8 peratus pada Jun tahun lalu.

Apakah trend menurun itu berlaku kerana semakin ramai dalam kalangan pencari kerja mengambil keputusan tidak mendaftar di Jabatan Tenaga Buruh tetapi sebaliknya mencari kerja sendiri?

Jika benar, ia berita baik buat pemerintah kerana itu petanda semakin ramai rakyat tahu mencari kerja sendiri. Pemerintah boleh fokus untuk program industri yang memerlukan kurang tenaga buruh dalam Revolusi Industri 4.0.

Apabila pelbagai sektor ekonomi mula aktif, pencari kerja hari ini lebih peka dengan peluang pekerjaan. Mereka mencari kerja melalui pelbagai saluran di internet. Banyak sektor seperti industri penghantaran dan perusahaan kecil pembuatan mengiklankan peluang pekerjaan dengan cara sedemikian.

Ramai juga dalam kalangan mereka yang diberhentikan kerja memperoleh pendapatan daripada klien di kawasan perumahan sendiri dengan memberi perkhidmatan baik pulih barangan elektrik, komputer, mengecat dan menebas.

Kerja yang popular kini adalah penghantar makanan. Ia memberi peluang pekerjaan kepada ribuan penganggur. Seseorang juga boleh mula berniaga secara kecil-kecilan menguruskan pelbagai produk secara dropship.

PEKERJA MUDAH BERHENTI

Apabila rakyat semakin mudah mendapat kerja, maknanya mereka juga boleh memilih. Apakah pula kesannya kepada majikan, khususnya majikan-majikan kecil? Beberapa orang teman yang mempunyai bisnes dalam sektor industri kecil dan sederhana (IKS) mula mengadu mengenai sukarnya mereka mendapat pekerja setia dengan tempat kerja.

Semakin ramai bekerja semata-mata untuk mendapat gaji dan bukan membina kerjaya atau masa depan. Pada bila-bila masa, peluang bekerja di tempat lain terbuka luas dan seseorang pekerja mudah berhenti kerja mahupun tiba-tiba menghilangkan diri dengan tidak datang kerja.

Ketua keluarga kecil barangkali lebih perlukan kerja kekal bagi membina masa depan dengan bertugas di sesebuah tempat. Sebaliknya, orang bujang sama ada graduan mahupun yang tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ‘sama naik’ tidak mahu ambil peduli untuk seiringkan matlamat syarikat dengan diri sendiri.

Asalkan dapat menyiapkan tugasan, itu sudah memadai. Disiplin yang ketat tidak perlu dipatuhi kerana bila tak suka, boleh sahaja angkat kaki dan esok boleh dapat kerja lain. Trend begini tidak positif untuk pihak majikan dan golongan pekerja itu sendiri.

Sikap mudah berhenti kerja akan membuatkan pihak majikan terpaksa melatih semula pekerja baharu. Kos melatih akan meningkat dan kelancaran produksi terganggu kerana staf baharu perlukan masa untuk mahir menjalankan kerjanya.

Faktor 4M dalam pengeluaran iaitu man, material, machine dan method sudah tentu terjejas kerana faktor man.

Dalam pada itu, sikap seseorang yang mudah berpindah kerja atau job-hopping bukannya kerana mengejar peluang lebih baik, sebaliknya mahukan peluang bekerja lebih relaks akan menjejaskan masa depan kerjaya seseorang.

Pengalaman kerjanya meskipun di pelbagai tempat akan dilihat majikan sebagai pekerja yang sukar setia kepada tempat kerjanya. Dia bukan pekerja pilihan untuk dinaikkan pangkat.

Akibatnya, peningkatan gajinya tidak stabil. Ia bakal mengganggu pe-rancangannya membina ekonomi diri, apatah lagi keluarganya. Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mungkin sudah entah ke mana kerana perpindahan kerja yang kerap akan menjejaskan rekod simpanan.

Meskipun seseorang itu boleh dapat apa yang diingini, dia hanya memperoleh instant gratification yang berupa ganjaran kecil tetapi dia tidak sedar telah meletakkan dirinya untuk kais pagi makan pagi sepanjang hayatnya.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca