Zaman sekarang ini, Mat Taichi tengok banyak betul penipuan berlaku seperti suami tipu isteri, majikan tipu pekerja dan anak tipu ibu bapa, seolah-olah ramai yang berlatih hendak menjadi ‘scammer’ tanpa gaji.
Tak silap Mat Taichi, penipuan itu dikira satu dosa tetapi ada sahaja golongan yang menganggap dirinya kalis dosa dan membantu pula orang lain menambah dosa.
Ada yang kata golongan antivaksin ini berjuang untuk agama tetapi halalkah membeli sijil vaksin palsu? Tak kurang juga yang cari duit lebih dengan ‘kabel’ dan pangkat yang mereka ada untuk menjual sesuatu secara haram kepada mereka yang terdesak.
Mesti pembaca tertanya-tanya apa yang Mat Taichi cuba sampaikan ini? Sebenarnya, Mat Taichi ada terbaca berita pada Isnin yang mana polis merampas 1,900 sijil vaksin Covid-19 bernilai hampir satu juta ringgit dipercayai palsu yang dikeluarkan oleh sebuah klinik swasta di Marang kepada antivaksin.
Jumlah sijil vaksin tersebut hanya dijumpai di sebuah klinik. Sekiranya terdapat klinik-klinik lain yang melanggar etika dan melakukan perkara yang sama, berapa ramai sebenarnya orang yang memiliki sijil palsu ini? Seorang doktor lelaki berusia 51 tahun dicekup bagi membantu siasatan. Namun, kita janganlah cepat melatah dan tuduh melulu kerana mungkin juga adik kepada doktor itu menggunakan namanya untuk membuat kerja-kerja haram tersebut.
Sekiranya betul, di manakah integriti dan etika seorang doktor yang sudah disemaikan di minda semua orang bahawa mereka adalah insan yang membantu orang lain? Atau adakah integriti itu juga boleh dibeli menggunakan wang ringgit? Menurut berita, setiap sijil dijual RM400 sehingga RM500 dan bayangkan sekiranya dia menjual 10 sijil vaksin dalam masa sebulan? Nilai itu sama seperti downpayment kereta Axia atau iPhone terkini.
Mat Taichi tidak faham dan sangat hairan kenapa mereka sanggup membayar sehingga ratusan ringgit untuk sijil vaksinasi, walhal ia percuma jika kita mengambil vaksin tersebut. Bukankah rakyat Malaysia selama ini suka akan benda percuma? Adakah Covid-10 dengan varian Alpha, Beta, Delta dan terkini Omicron hanyalah sekadar nama yang kita tidak perlu takuti walaupun ia telah membunuh lebih lima juta populasi di dunia? Tidak lelah kah kita menghadapi situasi seperti total lockdown dan kes Covid-19 yang mendadak naik sehingga lebih 10,000 kes sehari seperti tahun lepas? Pada 6 Januari lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sejumlah 17 daripada 122 individu yang dijangkiti varian Omicron setakat 4 Januari lepas didapati tidak mempunyai rekod vaksinasi Covid-19.
Mat Taichi tak sangka segelintir rakyat Malaysia ini sungguh berani pergi ke negara-negara lain tanpa proses yang betul tetapi kalau hendak cucuk jarum halus itu takut pula? Mat Taichi bukan apa, cuma kasihan pada mereka yang terpaksa menanggung derita akibat dikelilingi golongan yang mementingkan diri sendiri kerana tidak mahu mengambil vaksin. Kita harus ingat, bukan kita seorang sahaja yang duduk di dunia ini. Berapa ramai lagi nyawa yang perlu terkorban akibat sikap tidak endah manusia? Pada pendapat semua, apakah denda yang sepatutnya diberikan kepada mereka-mereka yang suka menipu ini? Perlukah lesen klinik atau doktor tersebut ditarik? Adakah mereka yang membeli sijil vaksin palsu perlu membayar denda atau hukuman penjara? Yang pasti, undang-undang perlu memainkan peranan.
Pss: Akhir kata, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah jua jadi janganlah kita sibuk menjadi tupai tetapi jadilah insan yang berguna dan tidak menyusahkan orang lain.
Klik di sini untuk terus membaca