SHAH ALAM - Situasi politik di Johor kini semakin panas apabila Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan kemungkinan akan bertanding semua 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) andai kata Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Situasi politik di Johor kini semakin panas apabila Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan kemungkinan akan bertanding semua 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) andai kata Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Badrul Hisham Shaharin berkata, biarpun DUN Johor belum dibubarkan, namun PN perlu sentiasa bersedia menghadapinya pilihan raya susulan kenyataan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad, seolah-olah PRN akan diadakan tidak lama lagi.

Badrul Hisham yang dikenali sebagai 'Chegubard' menjelaskan PN yang dianggotai oleh Bersatu, Pas dan Parti Gerakan kini sudah hampir menyelesaikan isu pembahagian kerusi antara mereka, sebelum diserahkan kepada kepimpinan pusat untuk dimuktamadkan.

"Kalau boleh PN dan Bersatu tidak mahu PRN, namun kita terpaksa bersiap sedia kerana nampak gayanya UMNO dilihat begitu bersungguh-sungguh mahu ia diadakan dalam masa terdekat.

"Namun saya hairan kerana alasan digunakan UMNO bahawa kerajaan negeri sekarang dalam keadaan kurang stabil kerana hanya mempunyai kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang 27 kerusi DUN sebelum ini adalah tidak munasabah. Sebenarnya tiada siapa pun termasuk Pakatan Harapan (PH) mahu pun wakil rakyat PN berniat menjatuhkan kerajaan negeri sekarang.

"Pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar seperti biasa, malah belanjawan dibentangkan Menteri Johor di DUN baru-baru ini lulus tanpa sebarang pindaan. Jadi nampak gayanya Menteri Besar berniat mengadakan PRN bagi mendapatkan kuasa penuh 'absolute power' di Johor," katanya kepada wartawan Sinar Premium, sebentar tadi.

Berikutan itu, Badrul Hisham berkata, PN dan Bersatu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkian biarpun tidak bersetuju PRN diadakan dalam masa terdekat kerana masih ramai rakyat Johor perlu dibantu kerana menjadi mangsa banjir dan wabak Covid-19 masih menular di seluruh negara ketika ini.

"Kita tidak mahu pun PRN diadakan dalam masa terdekat tetapi jika ia berlaku kita tidak mengelak dan terpaksa membuat persiapan sebaik mungkin untuk menghadapinya. PN bersedia bertanding semua kerusi jika rundingan dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO gagal.

"Malah, saya difahamkan Istana Johor juga mungkin tidak bersetuju jika PRN diadakan dalam masa terdekat. Jadi sebab itulah Menteri Besar tidak berani mengadap Sultan Johor untuk memohon perkenaan pembubaran DUN. Malah, saya percaya Istana Johor berpandangan kerajaan negeri berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah," katanya.

Beliau berkata Menteri Besar Johor sepatut bersikap lebih bertanggungjawab dan menumpukan perhatian untuk membantu rakyat terkesan akibat Covid-19 dan banjir bukannya bermain politik.

Dalam pada itu, Chegubard berkata beliau tidak menolak kemungkinan Hasni berbuat demikian kerana 'termakan' hasutan golongan 'penganggur politik' dalam kalangan pemimpin UMNO Johor.

Beliau berkata mereka termasuklah bekas wakil rakyat yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; bekas Ahli Parlimen Muar, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan bekas Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed

"Mereka inilah yang setiap hari mendesak dan meratip supaya segera diadakan PRN dan PRU15 hari-hari kerana Johor mempunyai ramai penganggur politik.

"PN tidak pernah menyuarakan hasrat untuk menarik sokongan kepada Hasni dan kerajaan negeri biarpun UMNO berkomplot dengan PH menjatuhkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak, pada 2020," katanya.

Sebelum ini Hasni menyatakan UMNO Johor kini sedang memantau keadaan dan tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan PRN dalam masa terdekat susulan majoriti tipis dimiliki kerajaan negeri sekarang.

Klik di sini untuk terus membaca