SHAH ALAM - Kedudukan kerajaan negeri Johor yang sekadar berpaut pada majoriti tipis satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyebabkan keperluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat adalah begitu mendesak.
Ditambah dengan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad kini terpaksa bergantung kepada sokongan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas, Dr Chong Fat Full yang sebelum ini mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sokongan terhadap kerajaan negeri kini dianggap rapuh setelah kedudukan semasa kerusi DUN Johor menunjukkan 28-27 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN, susulan kematian bekas Menteri Besar Johor daripada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Allahyarham Datuk Osman Sapian pada Disember tahun lalu.
Berikutan itu, Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambrose membayangkan pelaksanaan PRN Johor kini sudah dianggap satu keperluan mendesak untuk diadakan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau memahami perkara itu perlu ditangguhkan buat sementara waktu memandangkan Johor kini berdepan dengan isu banjir yang sedang menenggelami beberapa daerah.
"Bagi saya, PRN Johor tidak boleh dielakkan lagi kerana kerajaan hanya memiliki majoriti tipis satu kerusi DUN sahaja setelah kematian Allahyarham Datuk Osman (Sapian) dan keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri sedia ada menjadi sangat rapuh dan tidak selesa.
"Secara peribadi, sudah tentu saya mencadangkan PRN Johor diadakan segera, tetapi kita harus cakna dengan isu banjir yang melanda beberapa daerah di Johor seperti Segamat, Muar, Pontian dan Kota Tinggi ketika ini.
"Justeru, saya membayangkan PRN Johor mungkin akan diadakan selepas masalah banjir di negeri ini reda dengan kesemua mangsa banjir mendapat bantuan sewajarnya daripada pihak kerajaan," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Mengulas lanjut, Noor Azleen yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian Pasir Gudang menegaskan keperluan PRN Johor diadakan segera juga mengambil kira situasi pihak pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) yang kini berada dalam keadaan paling lemah.
Jelas beliau, hal ini susulan PH kini berdepan dengan krisis kepimpinan susulan kekalahan teruk koalisi pembangkang itu pada dua PRN penting sebelum ini iaitu PRN Melaka dan Sarawak.
"Pada masa sama, pergerakan parti-parti lain dalam pembangkang seperti Pejuang juga agak perlahan susulan pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kini sedang menerima rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).
"Selain faktor pembangkang lemah, keperluan PRN Johor disegerakan juga bersandarkan faktor BN Johor tidak mahu beban defisit sokongan rakyat terhadap kabinet kerajaan Pusat ketika ini mempengaruhi sokongan rakyat Johor terhadap kami," ujarnya lagi.
PERLU KERAJAAN KUKUH
Sementara itu, pandangan Noor Azleen disokong oleh seorang lagi Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn yang mengakui PRN Johor perlu diadakan bagi mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang stabil dan kukuh.
Jelas beliau, meskipun terdapat satu perjanjian persefahaman dimeterai di antara Hasni dengan 27 ADUN pembangkang bagi memastikan kedudukan kerajaan negeri itu stabil, perjanjian itu bukan menyerupai perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) di antara Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob dengan PH.
"Berikutan itu, sama ada setuju atau tidak, semua pihak menyedari keperluan mengadakan PRN Johor dalam masa terdekat adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan demi memastikan kewujudan sebuah kerajaan negeri stabil dan kukuh.
"Namun, sama ada perkara itu akan dapat perkenan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, terpulanglah kepada kebijaksanaan baginda.
"Ini kerana baginda pernah bertitah dan menzahirkan kekecewaan terhadap sikap segelintir pemimpin yang berebut kuasa dan bermain politik ketika negara berdepan ancaman Covid-19 sebelum ini," katanya.
Desas-desus pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN Johor dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan sejak Allahyarham Osman yang juga bekas ADUN Kempas, meninggal dunia pada 21 Disember lalu.
Pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan seorang ADUN daripada blok kerajaan bakal menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN juga bertiup kencang.
EXCO NAFI
Namun minggu lalu, ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, menafikan khabar angin bahawa beliau individu yang dikaitkan dengan dakwaan itu.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan agihan terkini adalah UMNO dan DAP masing-masing menyandang 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (2), Pas (1), Parti Amanah Negara (6) dan PKR (7).
Klik di sini untuk terus membaca