SHAH ALAM - Faktor lokasi dan kemampuan ekonomi rakyat dilihat antara penyebab utama hampir 8,000 rumah mampu milik di bawah harga RM300,000 tidak terjual di seluruh negara sehingga suku ketiga 2021.
Pakar dalam bidang pelaburan hartanah, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, rumah yang berharga RM300,000 bukanlah dianggap mampu milik bagi sebilangan rakyat di negara ini kerana tidak semua rakyat mampu untuk membayar komitmen bulanan sehingga RM1,500 sebulan.
Selain itu, menurutnya, modul rumah, bank memperketatkan proses pinjaman dan pemotongan gaji dilihat faktor yang turut menyumbang ke arah itu.
"Berkait dengan lokasi, ada projek perumahan mampu milik di bawah Skim Perumahan Rakyat Malaysia (PR1MA) di Perak misalnya, suatu masa dahulu dijual pada harga RM280,000 dan keluasannya di bawah 1,000 kaki persegi.
"Tapi hasil daripada kesan ekonomi, harganya ada yang turun kepada RM156,00. Ini bermakna, sampel lokasinya tidak betul, mungkin lokasi itu jauh daripada tempat orang bekerja sedangkan rumah ‘landed’ di kawasan Meru, Ipoh ada sahaja yang dijual pada harga RM180,000 ke RM200,000. Jadi, logiknya siapa yang nak beli rumah bertingkat pada harga sedemikian?
"Tetapi di Alam Damai, Kuala Lumpur, rumah PR1MA orang akan beli sebab lokasinya penuh dan padat kerana di depannya ada sekolah, balai polis dan tidak banyak pilihan, orang tetap akan beli,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sejumlah 7,729 rumah mampu milik di bawah harga RM300,000 tidak terjual di seluruh negara sehingga suku ketiga 2021.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kajian lanjut diperlukan bagi membolehkan pihaknya mengetahui punca rumah tidak terjual.
Mengulas lanjut, Azizul berkata, modul rumah juga ada kalanya tidak sesuai mengikut negeri kerana tidak mengikut sosiobudaya masyarakat setempat.
"Modul rumah di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan kawasan-kawasan padat boleh dibina bertingkat tapi di sesetengah negeri seperti Perak, Kedah dan Perlis yang mempunyai banyak tanah, rumah ‘landed’ adalah lebih sesuai.
"Kita boleh mengambil contoh negara Indonesia yang mempunyai banyak tanah dan mereka membina rumah kecil dan murah yang akhirnya rakyatnya mampu untuk membelinya.
"Saya juga melihat ada projek-projek rumah mampu milik yang ‘sangkut’ dan masih belum siap sehingga memberikan persepsi yang buruk kepada kerajaan bahawa rumah mampu milik tidak mampu siap pada tarikh yang ditetapkan, sedangkan orang sudah mula membayar pada bank,” jelasnya.
Beliau menambah, selain membina rumah mampu milik, kerajaan juga boleh memfokuskan kepada pembinaan rumah-rumah rakyat yang berharga antara RM150,000 hingga RM170,000 sebagaimana yang masih dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Pada harga itu katanya, rakyat masih mampu membayar kerana bayaran bulanannya selari dengan harga pasaran sewa semasa.
Mengulas mengenai pasaran hartanah semasa, beliau berkata, berlaku peningkatan dalam transaksi hartanah dari suku pertama hingga suku ketiga tahun lepas.
"Saya tidak melihat ia kerana kesan pandemik Covid-19 semata-mata, tapi rakyat kita mendapat banyak moratorium, jadi orang berani untuk ‘booking’ rumah supaya boleh membayar deposit rumah.
"Tapi dari suku keempat sehingga sekarang, moratorium akan berakhir dan saya menjangkakan orang sudah mula tiada duit. Apatah lagi dengan peningkatan kes Covid-19, orang akan mula berhati-hati dan pola hartanah mungkin ada kesan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca