SEORANG sahabat lama menghubungi saya baru-baru ini untuk bertanya khabar, walaupun saya tahu niat sebenar beliau adalah untuk memancing reaksi saya mengenai apa sedang berlaku dalam negara akhir-akhir ini yang berkaitan dengan governans... Klik di sini untuk terus membaca

SEORANG sahabat lama menghubungi saya baru-baru ini untuk bertanya khabar, walaupun saya tahu niat sebenar beliau adalah untuk memancing reaksi saya mengenai apa sedang berlaku dalam negara akhir-akhir ini yang berkaitan dengan governans dan integriti.

Saya menjawab ringkas dan meminta beliau membaca tulisan-tulisan saya dalam kolum ini, daripada kolum pertama pada 28 Januari 2021 dengan tajuk 'Perangi rasuah tidak boleh bermusim' sehinggalah artikel terkini bertajuk 'Tahap kesiapsiagaan hadapi 2022'.

Sepanjang setahun itu saya telah menulis mengenai pelbagai perkara, daripada usaha memerangi rasuah, mendemokrasikan ilmu untuk semua, ke arah pendidikan berkualiti, perpaduan, integriti yang semakin dilupai, memimpin dengan nurani, mengembalikan nirmala di Malaysia, kepentingan lindungi alam sekitar sehinggalah mengenai generasi Covid-19 yang tersisih dan tidak lupa kepentingan vaksinasi nasional. Banyak lagi perkara lain saya sentuh dan semuanya ditulis daripada kaca mata rakyat.

Kolum ini pun saya beri nama Rintihan Rakyat kerana itulah hasrat saya untuk menjadi jurubicara dan suara rakyat. Masalah rakyat, susah senang mereka saya ketengahkan sambil disulam dengan isu-isu terkini. Setiap satu isu itu berpaksi kepada soal integriti dan tadbir urus, tidak kira sama ada integriti pemimpin, pentadbir, malah integriti rakyat sendiri.

Masalahnya hari ini adalah apabila kita melihat pelbagai keributan dimulakan orang-orang yang dianggap bertaraf pemimpin dan perbuatan mereka memberi implikasi kepada rakyat, sehingga ada sesetengahnya menjadi bahan ejekan dan momokan rakyat.

SEBUAH SARKAS

Sahabat saya, Sayed Munawar menulis dalam Twitter beliau bagaimana semua itu seperti sebuah sarkas - "Kita jangka itu kemuncaknya sehinggalah pelagak ngeri menambah aksi tidak disangka-sangka. Kita membayar tiket persembahan dengan menggadai masa depan anak cucu.”

Sangat dalam sindiran ciapan Sayed Munawar, yang saya harapkan akan membuka mata sang 'pelagak ngeri' untuk berhenti segera daripada terus membodohkan diri.

Saya berharap tulisan seperti itu akan menimbulkan kesedaran untuk mereka bersikap lebih bertanggungjawab dalam setiap tindak-tanduk, siapa juga mereka itu.

Pepatah Melayu ada mengatakan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit.

Dua pepatah itu sangat signifikan dengan keadaan yang melanda negara sejak akhir-akhir ini.

Tidak perlu saya merujuk mana-mana isu secara spesifik. Cukup-cukuplah menconteng arang ke muka sendiri sehinga terpalit semua rakyat Malaysia akibat perbuatan dua tiga kerat manusia ini.

Sahabat saya, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md Sam semasa beliau menjadi Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pernah menulis dalam sebuah akhbar dengan tajuk sama pada Januari 2017. Beliau mengaitkan bagaimana salah guna kuasa oleh orang-orang diberi amanah akan meninggalkan kesan yang boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap sesebuah agensi kerajaan.

Hari ini saya menerima satu kartun dari Indonesia, menyindir apa yang sedang berlaku di Malaysia. Karikatur itu membuat perbandingan antara pemimpin di Jepun, Korea Selatan dan Malaysia tentang bagaimana mereka memberi reaksi apabila menghadapi sesuatu tuduhan.

Jika di Jepun, seseorang itu akan berasa benar-benar malu sehingga ada melakukan hara kiri atau membunuh diri. Jika di Korea Selatan, pemimpin itu akan mengundurkan diri secara terhormat daripada jawatan disandang tetapi dijadikan bahan jenaka di Malaysia apabila orang yang dituduh mahu menyiasat pula agensi yang membuat tuduhan ke atasnya.

Sungguh memalukan. Selalunya jenaka sindiran seperti itu dilukis kartunis Malaysia mengenai negara jiran kita itu tetapi hari ini perkara sebaliknya telah berlaku.

Sampai bila kita ingin melihat Malaysia terus dimomokkan hanya oleh kerana perbuatan dua tiga kerat orang ini? Cukup-cukuplah. Semoga Malaysia kembali bersih daripada contengan arang.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca