SHAH ALAM - Pakar ekonomi berpandangan, rumah mampu milik yang berharga sehingga RM300,000 terlalu mahal untuk kebanyakan rakyat menyebabkan ramai yang tidak mampu membelinya.
Penganalisis ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, kerajaan perlu melihat kepada purata gaji rakyat, terutamanya golongan B40 dan kemampuan rakyat, sebelum membina dan menetapkan harga rumah mampu milik.
Menurutnya, jika tidak berlaku pandemik Covid-19 sekali pun, masih ramai rakyat yang tidak layak dan mampu untuk membeli rumah berkenaan.
"Harga RM300,000 adalah harga yang terlalu tinggi, macam mana kita kata mampu milik? Kalau bukan pandemik sekali pun, ia takkan terjual. Jadi, kerajaan kena mengkaji pelaksanaan dan pembinaan rumah mampu milik itu terlebih dahulu dan bukannya rumah sudah siap, kemudian paksa orang beli.
"Perkiraan yang ideal untuk membeli rumah, kita menggunakan formula 30 kali ganda gaji. Maksudnya jika rumah berharga RM300,000, gaji kena RM10,000 memandangkan kita ada banyak komitmen lain lagi.
"Kerajaan juga kena lihat siapa sasaran pembeli? Adakah graduan muda? Mereka yang baharu berkahwin atau sudah berkeluarga? Kalau rumah berharga RM300,000 dan pinjaman bank 90 peratus, maksudnya pembeli kena keluarkan RM30,000 duitnya untuk pendahuluan. Itu belum dicampur lagi bayaran-bayaran lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sejumlah 7,729 rumah mampu milik di bawah harga RM300,000 tidak terjual di seluruh negara sehingga suku ketiga 2021.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rumah mampu milik seharusnya berharga sekitar RM120,000 sahaja untuk di kawasan Lembah Klang dan bandar-bandar besar manakala di bawah RM100,000 di kawasan lain.
"Saya rasakan kerajaan perlu mengeluarkan pelan tindakan bagi melihat semula apa yang dinamakan rumah mampu milik dan buatlah rumah pada harga yang rasional. Rumah yang tidak terjual ini, boleh dibuat secara sewa beli.
"Tidak perlu rumah yang ada kolam renang, cukuplah sekadar rumah yang selesa untuk dimiliki dan didiami rakyat dan manfaatkan segala instrumen yang ada, termasuk wakaf untuk menurunkan harga rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pembiayaan perumahan adalah suatu bentuk komitmen jangka panjang kerana melibatkan tempoh pembayaran sehingga 35 tahun.
Justeru, sudah pasti keputusan untuk membeli rumah perlu diamati dengan teliti supaya seseorang kekal dapat menikmati kualiti hidup yang baik.
"Dalam hal ini, seseorang itu perlu menilai kemampuan untuk melunaskan pembiayaan perumahan sebelum membuat keputusan membeli rumah. Ditambah pula dengan suasana pandemik Covid-19 yang melanda sejak dua tahun lalu, ia pasti memberi kesan kepada sentimen kepada mereka yang bercadang untuk membeli rumah.
"Pihak bank juga akan menilai setiap permohonan pihak pelanggan berdasarkan maklumat yang diterima serta garis panduan yang ditetapkan oleh pihak bank dan Bank Negara Malaysia.
"Justeru, dalam hal ini, seseorang itu tidak perlu terburu-buru untuk membeli rumah. Setiap rakyat perlu memastikan kedudukan kewangan mereka diperkukuhkan, sebelum membuat perancangan untuk membeli rumah,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca