KES seorang wanita hamil China yang keguguran setelah pelaksanaan 'lockdown' ketat sehingga melambatkannya untuk mendapatan rawatan perubatan telah menimbulkan perdebatan mengenai pendekatan China sifarkan kes Covid-19. Koronavirus pertama... Klik di sini untuk terus membaca

KES seorang wanita hamil China yang keguguran setelah pelaksanaan 'lockdown' ketat sehingga melambatkannya untuk mendapatan rawatan perubatan telah menimbulkan perdebatan mengenai pendekatan China sifarkan kes Covid-19.

Koronavirus pertama kali dikesan di negara itu pada tahun 2019 tetapi kini ia mahu menggunakan pendekatan sifar Covid-19.

Ia telah menempatkan berjuta-juta orang di bawah kuarantin walaupun Beijing bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk pada bulan depan.

Bagaimanakah China mengekalkan sifar Covid-19?

China mempunyai formula yang disebut sifar dinamik untuk mengekang wabak iaitu melaksanakan 'lockdown' dan mengadakan ujian secara besar-besaran bagi mengesan Covid-19 dengan segera.

Tidak seperti penutupan yang lebih longgar di tempat-tempat lain, penduduk di China dilarang meninggalkan bangunan atau dipaksa kekal berada di dalam bilik hotel jika mereka dianggap sebagai kontak yang berisiko tinggi.

Bandar raya bersejarah Xi'an iaitu tempat wujudnya patung-patung pahlawan Terracotta yang ditanam di dalam tanah pernah menjalani 'lockdown' pada bulan Disember tahun lalu sehingga memaksa 13 juta penduduknya duduk di dalam rumah.

Perintah 'lonckdown' dilaksanakan setelah kira-kira 150 kes Covid-19 dikesan di bandar raya tersebut.

Pelaksanaan 'lockdown' ketat dilakukan di China untuk mengawal penularan Covid-19. - Foto AFP

Bandar raya Zhengzhou yang saiznya hampir sama dengan Xi'an turut melakukan ujian kepada setiap penduduknya selepas 11 kes Covid-19 dilaporkan.

Para penumpang penerbangan antarabangsa yang tiba di negara itu pula akan menjalani kuarantin yang ketat.

Pengesanan mandatori pula bermaksud kenalan rapat akan dikesan dan dikuarantin dengan cepat.

PUTUS HUBUNGAN LUAR

Adakah ia berfungsi?

Bilangan kes Covid-19 rasmi di China sejak permulaan wabak itu adalah lebih dari 100,000 kes dan ia adalah sebahagian kecil daripada rekod satu juta kes yang dicatat oleh Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh satu hari pada awal bulan ini.

Angka kematian rasmi di negara China itu pula kekal di bawah 5,000 orang.

Walaupun kes-kes dari wabak awal yang berlaku di Wuhan pada awal tahun 2020 dipercayai tidak dilaporkan namun sebahagian besar kehidupan manusia telah kembali normal sejak itu.

"Masih belum ada kemampuan untuk menghentikan kes tempatan daripada muncul. Tetapi, kami memiliki kemampuan dan keyakinan untuk segera memadamkan wabak ketika satu kes tempatan ditemukan," kata seorang pegawai Suruhanjaya Kesihatan Nasional, Liang Wannian kepada wartawan pada bulan lalu seperti dilaporkan oleh AFP.

Kawasan-kawasan sempadan terutamanya berhampiran Myanmar telah mengalami 'lockdown' hampir berterusan dan melihat perpindahan keluar perniagaan dari lokasi-lokasi berkenaan.

Komuniti yang menjalani 'lockdown' telah mengadu tentang kekurangan akses untuk mendapatkan makanan, bekalan dan rawatan perubatan.

Sementara itu, pekerja migran telah ditinggalkan jauh dari keluarga selama berbulan-bulan kerana peraturan dan sekatan perjalanan yang membebankan.

Penguatkuasaan kadang-kadang menimbulkan kemarahan seperti ketika pekerja kesihatan memukul anjing sehingga mati setelah pemiliknya dihantar untuk menjalani kuarantin.

Bagaimanapun, seorang ahli epidemiologi di Universiti Hong Kong, Ben Cowling memberitahu AFP bahawa China telah menunjukkan bahawa ia layak untuk meneruskan strategi sifar Covid-19.

Negara itu telah 'memutuskan' hubungan dari dunia luar pada bulan Mac 2020 dan hampir melarang orang asing masuk ke China dan sejak itu, sekatan perjalanan telah dilonggarkan sedikit.

Namun, pelancongan antarabangsa tidak dibenarkan dan kerajaan menyatakan bahawa ia tidak akan memperbaharui pasport China melainkan jika pemiliknya mempunyai alasan yang munasabah untuk pergi mengembara.

Negara komunis itu tidak akan dibuka kembali sehingga sekurang-kurangnya selepas Sukan Olimpik Musim Sejuk dan Paralimpik di Beijing yang dijadualkan berlangsung pada bulan depan dengan pemerintah mengawal ibu kota tersebut dan mengetatkan sekatan sebelum temasya tersebut diadakan.

Bagaimanapun, terdapat amaran yang diberikan oleh penyeldidik dari Univeriti Peking bahawa China akan mengalami wabak yang besar sehingga akan mengatasi sistem perubatannya jika ia melonggarkan sekatan ke tahap yang sama seperti di Eropah dan AS.

Sungguhpun begitu seorang pakar penyakit berjangkit di Universiti Hong Kong, Ivan Hung menyatakan bahawa generasi kedua vaksin yang menyasarkan varian Delta dan Omicron termasuk kadar vaksinasi yang hampir mencapai 100 peratus boleh mengatasi bencana Covid-19 itu.

Dalam senario itu, kemungkinan Covid-19 akan sama dengan influenza, katanya seperti dilaporkan oleh AFP. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca