SHAH ALAM - "Kalau Menteri Besar Johor mahu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan segera, sudah pasti perkara itu dimaklumkan beliau kepada barisan Exco kerajaan negeri dalam mesyuarat Exco semalam (Rabu)." Demikian kenyataan tegas Exco... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - "Kalau Menteri Besar Johor mahu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan segera, sudah pasti perkara itu dimaklumkan beliau kepada barisan Exco kerajaan negeri dalam mesyuarat Exco semalam (Rabu)."

Demikian kenyataan tegas Exco Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr Chong Fat Full yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis kepada Sinar Premium sewaktu diminta mengulas mengenai spekulasi PRN Johor berkemungkinan diadakan dalam masa terdekat.

Spekulasi itu semakin hangat diperkatakan sejak bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian yang juga bekas ADUN Kempas, meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan seorang ADUN daripada blok kerajaan bakal menjadi wakil rakyat bebas bagi memberi laluan kepada PRN juga bertiup kencang.

Berikutan itu, Ketua Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor itu menegaskan, dalam mesyuarat Exco dipengerusikan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad pada Rabu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor hanya sekadar menumpukan perbincangan soal kebajikan rakyat semata-mata.

Lebih menarik, Chong Fat mendedahkan Ir Hasni juga meminta semua barisan Exco kerajaan negeri bekerja lebih kuat bagi memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan beliau sepanjang tahun 2022.

"Memandangkan kerajaan Johor adalah kerajaan campuran, sebarang keputusan Menteri Besar untuk membubarkan DUN haruslah dimaklumkan dahulu kepada barisan Exco, kerana kami adalah badan tertinggi pentadbir kerajaan.

"Namun beliau langsung tidak berbicara soal itu, sebaliknya lebih membincangkan usaha kerajaan untuk membantu rakyat terkesan akibat pandemik Covid-19 serta persediaan ancaman varian baharu Omicron.

"Lebih menarik, Ir Hasni sendiri meminta semua Exco berusaha memenuhi KPI tahun 2022 ditetapkan beliau. Kalaulah PRN mahu diadakan segera, mengapa perkara melibatkan perancangan jangka panjang seperti KPI hendak dibincangkan Menteri Besar lagi?" katanya.

Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Negeri Johor Datuk Hasni Mohammad (enam, kiri) bersama barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan Negeri Johor yang baharu. Dari kiri: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvathi; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Mazlan Bujang; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Samsolbari Jamali; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd Solihan Badri; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Izhar Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Dr Chong Fat Full serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail selepas mengadakan sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana.- Foto Bernama

SERENTAK DENGAN PRU15

Mengulas lanjut, Chong Fat turut mendedahkan keadaan politik di Johor sebenarnya tenang dengan majoriti Exco kerajaan negeri berpandangan pelaksanaan PRN Johor sewajarnya dilaksanakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tambah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu, beliau tidak melihat pelaksanaan PRN Johor memberi manfaat kepada rakyat negeri pada ketika itu, lebih-lebih lagi dengan sebahagian daerah sedang menghadapi bencana banjir.

"Pada masa sama, pihak pembangkang juga dilihat berintegriti dengan menjunjung titah Sultan Johor yang mahu negeri Johor bebas daripada pergolakan politik yang akhirnya merugikan rakyat.

"Buktinya, sejumlah 27 ADUN pembangkang menyokong usul Belanjawan Negeri Johor 2022 serta pelaksanaan Undi18 dengan majoriti dua pertiga pada tahun lalu memandangkan mereka juga turut menerima peruntukan daripada kerajaan negeri," ujarnya.

Chong Fat bagaimanapun tidak menafikan terdapat segelintir pemimpin politik yang tidak berjawatan dan kalah bertanding PRU14, mungkin melihat agenda PRN dipercepatkan sebagai satu keperluan mendesak bagi membolehkan mereka kembali mendapat tempat dalam kerajaan.

"Sebagai seorang pemimpin sayap bersekutu dan MPT Bersatu, kami sedang berusaha untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pelaksanaan PRN Johor dalam masa terdekat.

"Namun, dengan pihak pembangkang sendiri menyokong PRN diadakan serentak dengan PRU15, saya tidak nampak sebarang justifikasi Menteri Besar terpaksa bubarkan kerajaan negeri segera," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca