SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir daripada Pas, Kapten (B) Najib Lep menyelar sikap segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mendesak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilaksanakan dalam masa terdekat demi kepentingan politik peribadi.
Ujar Najib, selaku satu-satunya ADUN Pas yang menyokong kerajaan negeri, beliau boleh sahaja mengambil keputusan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan menyebabkan kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung.
Namun dengan situasi politik di Johor masih tenang ditambah 27 ADUN pembangkang bersepakat untuk mengekalkan kestabilan kerajaan negeri sehingga pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Timbalan Speaker DUN Johor itu mempersoalkan sama ada tindakan membubarkan DUN adalah berbaloi untuk rakyat.
"Alasan majoriti tipis satu kerusi DUN sebagai penyebab PRN Johor perlu dilaksanakan adalah tidak logik. Apa beza majoriti satu kerusi dengan dua kerusi DUN sewaktu (bekas ADUN Kempas) Allahyarham Datuk Osman (Sapian) masih hidup?
"Majoriti dua kerusi DUN sebelum ini pun masih dianggap tipis, cuma keadaan politik Johor aman sebab semua wakil rakyat negeri ini termasuk pembangkang, meletakkan kepentingan menjaga kebajikan rakyat lebih mendesak berbanding pelaksanaan PRN.
"Kalau setakat mahu bubar DUN, saya selaku ADUN tunggal Pas pun boleh tarik sokongan terhadap kerajaan negeri. Tetapi berbaloikah saya atau wakil rakyat lain berbuat demikian sekarang?" katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai spekulasi PRN Johor berkemungkinan diadakan dalam masa terdekat.
Spekulasi itu semakin hangat diperkatakan sejak bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian yang juga bekas ADUN Kempas, meninggal dunia pada 21 Disember lalu.
Pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan seorang ADUN daripada blok kerajaan bakal menjadi wakil rakyat bebas bagi memberi laluan kepada PRN juga bertiup kencang.
Namun minggu lalu, ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, menafikan khabar angin bahawa beliau individu yang dikaitkan dengan dakwaan itu.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan agihan terkini adalah UMNO dan DAP masing-masing menyandang 14 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (11), MIC (2), Pas (1), Parti Amanah Negara (6) dan Parti Keadilan Rakyat (7).
Mengulas lanjut, Najib tidak nampak sebarang rasional pelaksanaan PRN Johor akan diadakan sekitar bulan Februari atau Mac hadapan memandangkan pentadbiran kerajaan negeri masih berjalan dengan baik.
Selain itu, Najib menegaskan kejayaan kerajaan negeri meluluskan usul Belanjawan Negeri Johor 2020 dan usul Undi18 dengan majoriti sokongan dua pertiga ADUN membuktikan tiada pergolakan politik berlaku di Johor setelah 27 ADUN pembangkang turut menerima peruntukan kawasan masing-masing.
"Saya melihat gerakan pihak tertentu menuntut PRN Johor diadakan segera sebagai usaha mereka mencari populariti dengan kumpulan ini terdiri dalam kalangan mereka yang tidak menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Pas masih yakin hubungan baik wakil-wakil rakyat yang menyokong kerajaan negeri dipimpin Hasni masih kekal utuh dan saya turut berharap beliau membuat keputusan bijak demi kepentingan rakyat," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca