SHAH ALAM - Pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra bakal menyebabkan pencarum hidup di bawah garis kemiskinan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, perkara tersebut tidak wajar dilakukan setiap kali berlaku bencana kerana ia merupakan tanggungjawab kerajaan.
Menurutnya, pencarum KWSP juga tiada pencen seperti kakitangan awam yang akan membantu mereka pada masa akan datang.
"Jadi kita kena ingat nama KWSP itu ialah kumpulan wang simpanan untuk hari tua.
"Kita tengok data pekerja lebih kurang 6.1 juta pencarum duit baki dalam KWSP tidak sampai RM10,000, sekiranya kita teruskan pengeluaran ini maka lebih ramai akan hidup di bawah garis kemiskinan.
"Ertinya kalau dia ada RM50,000 dalam simpanan kalau sebulan belanja RM1,000, dia hanya ada empat tahun untuk belanja duit itu, tetapi kalau umur dia panjang pencen pada 55 tahun setiap bulan dia mampu belanja RM250 ringgit sahaja.
"Ini bermakna kalau kita tidak urus negara ketika ini, kita akan meletakkan ramai rakyat selepas tua nanti hidup di bawah garis kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Berani Semuka yang membincangkan tajuk KWSP: Lega sekarang, susah kemudian? pada Khamis.
Turut menjadi Panel Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Amin Idris bertindak sebagai Moderator.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, KWSP menggariskan simpanan asas RM240,000 pada umur 55 tahun hanyalah 27 peratus sahaja, manakala 73 peratus rendah simpanannya.
"Jadi bagaimana kita hendak bantu pencarum seramai 3.6 juta ini yang hanya ada duit di KWSP tidak sampai RM1,000, dia tidak boleh keluar RM10,000?
"Bagaimana kita hendak bantu 6.1 juta pencarum sebahagian besarnya bumiputera ini tidak sampai RM10,000? Maka kita perlu berani membuat keputusan walaupun tidak popular supaya kebajikan rakyat terpelihara akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sama ada kerajaan atau pembangkang perlu memikirkan idea baharu bagi meningkatkan jana dana negara dan membantu rakyat berbanding guna wang rakyat untuk bantu rakyat.
Menurutnya, mereka perlu mencari jalan bersama-sama untuk bantu rakyat walaupun kerajaan terpaksa berhutang daripada sumber dalam negeri.
"Kerajaan boleh berhutang daripada KWSP, bayar dividen tinggi, boleh bagi faedah kepada pencarum dan tidak perlu hutang di luar negara.
"Ini kerana tugas kerajaan macam mana hendak tambahkan simpanan pencarum di dalam KWSP kerana kerajaan sebelum ini pernah keluar Kumpulan Wang Amanah Nasional (KWAN), satu kesalahan telah dibuat.
"Jadi jangan buat kesalahan kedua, kalau ini dibuat maaf cakap ia adalah satu pengkhianatan,” jelasnya.