SHAH ALAM - Kerajaan perlu mencari alternatif lain untuk membantu rakyat meneruskan kehidupan selain daripada pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, niat untuk membantu rakyat itu sudah betul tetapi jangan hanya sekadar memikirkan untuk keluarkan duit rakyat.
"Kita cadangkan supaya kerajaan sekarang ini rombak kabinet yang gelembung ini, kurangkan menteri, timbalan menteri, jawatan duta bertaraf menteri, ini juta-juta punya perbelanjaan.
"Selain itu, Perdana Menteri jimatlah nak betulkan dan baiki rumah di Putrajaya itu tidak perlu sampai RM35 juta, buatlah yang patut-patut. Bina bangunan itu dulu RM26 juta, tidak masuk akal. Kurangkanlah.
"Kemudian projek-projek mega yang berjuta bilion ini kita kaji balik, utamakan keperluan rakyat, kalau kita kurangkan perkara ini, kita akan dapat jimatkan duit dan dapat beri bantuan terus secara tunai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Berani Semuka yang membincangkan tajuk KWSP: Lega sekarang, susah kemudian? pada Khamis.
Turut menjadi Panel Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Amin Idris bertindak sebagai Moderator.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, kerajaan perlu perkenalkan sistem cukai ‘durian runtuh’ kepada syarikat-syarikat korporat yang telah banyak mendapatkan keuntungan sepanjang pandemik Covid-19.
"Kita cukaikan mereka dan duit tersebut kita bantu rakyat, kerajaan perlu kreatif cipta idea untuk tolong rakyat. Cukuplah rakyat bantu rakyat tetapi sekarang kerajaan perlu pikul tanggungjawab tersebut," katanya.
Katanya, pada 20 Januari ini, Dewan Rakyat akan adakan sidang khas bincang tentang banjir dan percaya soal hendak bantu rakyat ini akan dibincangkan.
"Kalau waktu Covid-19 kita ada sidang khas bincang bagaimana untuk tubuhkan dana Covid-19 sebanyak RM30 bilion dan kita berjaya buat.
"Maka kerajaan dan pembangkang sama-sama sokong akan cuba cari jalan bantu supaya kita dapat jana dana yang cukup untuk bantu rakyat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca