LAGU Bangau Oh Bangau sudah menjadi alunan turun-temurun masyarakat kita. Rakyat Malaysia hampir semua tahu liriknya. Kalau dilihat secara negatif, ia berkaitan budaya saling menyalahkan. Tetapi dari sudut positif, ia cara mencari punca... Klik di sini untuk terus membaca

LAGU Bangau Oh Bangau sudah menjadi alunan turun-temurun masyarakat kita. Rakyat Malaysia hampir semua tahu liriknya. Kalau dilihat secara negatif, ia berkaitan budaya saling menyalahkan. Tetapi dari sudut positif, ia cara mencari punca masalah.

Liriknya bermula dengan sebaris pertanyaan, kemudian diikuti sebaris jawapan. Lagu ini sebenarnya menggalakkan pemikiran logik iaitu setiap perkara berlaku walaupun atas banyak sebab, mempunyai punca asalnya.

Lagu ini mengajar kita tentang sebuah ekosistem yang kekal seimbang disebabkan kebergantungan antara satu spesies dengan spesies yang lain. Dalam ekosistem bangau ini, bangau makan ikan untuk hidup. Ikan pula tidak timbul kerana rumput panjang sangat. Rumput panjang sebab tak dimakan kerbau, dan begitulah seterusnya.

Terdapat juga falsafah tentang 'perbuatan dan kesannya' dalam lagu ini. Setiap perbuatan akan memberi kesan besar atau kecil kepada makhluk di sekeliling kita.

Dalam masalah bangau, ada sembilan rantaian terlibat iaitu bangau, ikan, rumput, kerbau, nasi, kayu api, hujan, katak dan ular. Masalah bangau ini hanya akan selesai jika isu di setiap peringkat ditangani hingga ke akar umbi.

Dalam insiden harimau belang membunuh seorang lelaki orang asli di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini, salah satu puncanya sudah boleh diteka - kebuluran, seperti yang diakui Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

MAKANAN KURANG

Difahamkan kepupusan mendadak haiwan liar seperti rusa dan babi hutan di sekitar kawasan hutan Gua Musang menjadi punca harimau belang masuk kampung untuk makan manusia.

Namun seperti lagu bangau, kenapa makanan di hutan makin kurang mesti digali lebih dalam lagi. Sumber makanan utama harimau ialah babi hutan, kijang, rusa, napuh, seladang dan pelanduk, selain haiwan kecil seperti monyet dan burung. Tetapi hidupan liar makanan pak belang ini turut diburu oleh pemburu haram.

Pemburu haram inilah yang menjadi antara ancaman utama hidupan liar di Malaysia, sampaikan Perhilitan terpaksa mencadangkan hukuman lebih berat melibatkan denda maksimum RM1 juta dan penjara sehingga 15 tahun bagi membanteras kegiatan itu.

Cadangan meningkatkan hukuman itu daripada denda maksimum RM500,000 dan penjara lima tahun membabitkan pindaan terhadap Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Masalah pemburu haram pula belum tentu selesai selagi ada orang yang sanggup membayar ratusan ringgit hanya untuk semangkuk hidangan haiwan eksotik di meja restoran.

Statistik Perhilitan mengenai kematian hidupan liar dari tahun 2012 hingga 2017 menunjukkan peningkatan iaitu 7,451 pada 2017 berbanding 6,767 (2016) dan 6,258 (2015).

Haiwan yang mencatat kematian paling tinggi ialah kera dan babi hutan, yang merupakan makanan harimau. Kebanyakan haiwan ini mati akibat kehilangan habitat selain dibunuh oleh manusia seperti pemburu haram tadi.

Bagaimanapun Kelantan, tempat harimau masuk kampung dan makan orang sekarang mencatat angka kematian hidupan liar kedua terendah di Malaysia dalam tempoh lima tahun iaitu 1,511 berbanding 8,259 di Selangor, 6,274 (Johor), 3,968 (Perak) dan 3,872 (Pahang).

Mujurlah tak banyak harimau dikesan di Selangor. Bayangkan situasinya jika ada harimau lapar mengganas di negeri termaju di Malaysia.

Andai kita menelusuri sungai, pasti akan bertemu punca mata airnya di hulu. Malangnya, orang kita kadangkala lebih terkenal dengan budaya negatif bangau oh bangau. Kita suka menyalahkan antara satu sama lain dalam banyak perkara, daripada isu banjir, harga barang hingga masalah haiwan di hutan.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca