NAMA Serbegeth Singh rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi dalam arena bola sepak tanah air.
Atlet kelahiran Kluang Johor itu, nyata cukup sinonim dengan sukan bola sepak di negara dan tidak keterlaluan andainya Serbegeth dikatakan sebagai antara pemain pertahanan terbaik pernah beraksi untuk skuad kebangsaan.
Namun tanggal 12 Januari 2022, pastinya menjadi detik yang sukar untuk dilupakan oleh peminat sukan bola sepak tanah air apabila Serbegeth menghembuskan nafas terakhir dipercayai akibat mengalami sesak nafas ketika menjalani aktiviti berbasikal di Sunway Iskandar, Petaling Jaya.
Berita itu nyata mengejutkan ramai pihak kerana Serbegeth langsung tidak menunjukkan apa-apa petanda dan malah dilihat aktif memberikan komentar di media susulan kegagalan skuad negara pada saingan Piala Suzuki AFF 2020, Disember lalu.
Dilahirkan pada 20 Ogos 1960, Shebby memulakan karier selaku pemain bola sepak dengan mewakili pasukan negeri kelahirannya, Johor mulai 1978 hingga 1983.
Bagaimanapun, pada 1983, Serbegeth memilih untuk beraksi bersama Kuala Lumpur namun tindakannya itu mengundang kontroversi kerana dikatakan berpindah tanpa kebenaran.
Akibatnya, Serbegeth dikenakan hukuman penggantungan selama setahun oleh Johor, namun ia jelas tidak melunturkan semangatnya untuk beraksi dengan skuad warga kota itu.
Serbegeth kemudiannya membuktikan kemampuannya dengan memberikan aksi terbaiknya bersama bagi membantu skuad warga kota itu muncul juara Piala Malaysia tiga kali berturut-turut mulai 1987, 1988 dan 1989.
Selain itu, Serbegeth turut membantu Kuala Lumpur muncul juara liga pada 1986, 1987, 1988 dan 1989.
Serbegeth kemudiannya berhijrah menyertai Pahang pada 1991 dan membantu Pahang muncul juara Piala Malaysia pada 1992 sebelum kembali beraksi bersama Kuala Lumpur pada 1993 dan 1994 dan menghadiahkan Piala FA buat skuad warga kota itu.
Selain itu Serbegeth turut mengumpul 61 caps bersama skuad kebangsaan dengan mula menyarung jersi negara pada 1982 pada Kejohanan Piala Presiden Korea Selatan.
Kejayaan lain yang dilakar Serbegeth adalah membantu skuad kebangsaan memenangi gangsa pada Sukan SEA 1985 selain memenangi emas pada edisi 1989.
Serbegeth juga berpeluang beraksi mewakili negara berdepan skuad kebangsaan England yang turut membariskan ramai pemain handalan seperti Gary Lineker dan Nigel Clough di Stadium Merdeka pada 1991 sebelum mengumumkan persaraannya daripada skuad kebangsaan.
Serbegeth kemudiannya 'beralih angin' dan memilih untuk beraksi dengan skuad Negeri Sembilan pada 1994 hingga 1995 sebelum mengakhiri kariernya selaku pemain bola sepak pada 1996 bersama Perak.
Bagaimanapun, setelah mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak pada 1996, Serbegeth masih banyak terlibat dengan program-program kejurulatihan dan pernah muncul selaku penasihat bagi program realiti televisyen, MyTeam dan juga bagi pasukan Telekom Melaka FC (TM FC).
Mendiang mencipta nama sebagai personaliti televisyen bermula tahun 1997, termasuk untuk saluran Astro SuperSport, FoxSports serta ESPN Asia selain pernah berkhidmat sebagai Penasihat Global di Blackburn Rovers pada tahun 2012 dan Penasihat Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT).
Serbegeth kemudiannya terus terlibat dengan sukan bola sepak, tetapi lebih cenderung selaku pemerhati dengan memberikan banyak komentar khususnya berhubung prestasi semasa skuad negara.
Secara keseluruhannya, pemergian Serbegeth dilihat sebagai satu kehilangan besar kepada arena bola sepak tanah air dan perkara berkenaan turut diakui oleh beberapa rakan seperjuangannya.
Namun, segala jasa serta pengorbanannya terhadap sukan bola sepak tanah air akan terus dikenang dan menjadi sebahagian lipatan sejarah.
Mendiang Shebby meninggalkan bekas isteri Harbans Kaur yang juga bekas pelari negara serta dua anak, Natassha Kaur dan Sonuljit Singh.
Klik di sini untuk terus membaca