KUASA media massa dan media sosial tiada batasannya. Ramai yang terkesan dengan kuasa media massa dan media sosial. Inilah yang dirasai penulis apabila membaca artikel atas talian disiarkan South China Morning Post (SCMP) 7 Januari lalu.... Klik di sini untuk terus membaca

KUASA media massa dan media sosial tiada batasannya. Ramai yang terkesan dengan kuasa media massa dan media sosial. Inilah yang dirasai penulis apabila membaca artikel atas talian disiarkan South China Morning Post (SCMP) 7 Januari lalu.

Artikel itu berkisar perjuangan seorang pelajar tahun akhir Southwest Minzu University di Chengdu, Sichuan, China. Pengajiannya selama 7 tahun dibiayai seorang dermawan yang hanya dikenali Brother Ice. Anggaran bantuan keseluruhan lebih AS$13,000 (RM54,000). Xie Yang gundah gulana selepas Brother Ice menghantar pesanan ringkas menyatakan dia tidak perlu membayar balik wang bantuan itu dan hubungan mereka sudah pun berakhir.

Merasakan terbeban dengan bantuan tersebut, Xie menggunakan kuasa media massa dan media sosial untuk mengesan identiti Brother Ice. Akhbar SCMP berjaya menjejaki Brother Ice atau nama sebenarnya Lin Zhenbing. Beliau seorang juruterbang yang berasal daripada keluarga miskin di Wilayah Fujian.

Apa relevannya kisah ini dengan perjuangan dunia kejuruteraan di Malaysia? Tatkala Malaysia sibuk dengan kisah pandemik Covid-19 yang mendominasi media massa, apa sudah jadi dengan perkembangan dunia kejuruteraan? Merenung kembali perkembangan dunia kejuruteraan sejak awal 2020, Malaysia tampak lesu.

Penulis lebih cenderung untuk memperkatakan perkembangan kejuruteraan aplikasi dan pemodenan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang dikatakan bakal memacu Malaysia untuk menjadi salah sebuah negara maju setanding Jepun, Korea Selatan, China atau setidak-tidaknya Taiwan.

Penulis pernah mendedahkan keresahan Majlis Kebangsaan Pembangunan Saintifik dan Penyelidikan atau the National Council for Scientific and Research Development (NCSRD). NCSRD pernah melapor Malaysia perlu 500,000 jurutera dan teknologis pada 2020 bagi menangani cabaran IR 4.0.

Perkembangan

Bagaimanapun, penulis tidak melihat perkembangan dunia kejuruteraan yang memberangsangkan. Anak-anak muda lebih suka menjadi penyanyi, pereka fesyen atau social media influencer. Penulis tidak mempertikai apa jua kerjaya rakyat Malaysia. Cuma, jurutera ada beban sosial untuk membantu pertumbuhan negara.

TUNJANG

Masalah yang digembar-gemburkan oleh media massa tentang lautan perangkap di Taman Sri Muda, hanya boleh diselesaikan menerusi jalan keluar yang dicetus oleh jurutera. Jurutera tunjang pembangunan negara. Ini bukan bermakna hanya jurutera yang penting dalam struktur pembangunan negara.

Rakyat memainkan peranan masing-masing berdasarkan kebolehan tersendiri. Namun, jurutera perlu diketengahkan sekiranya masalah lautan perangkap di Taman Sri Muda ingin diselesaikan. Islam juga menitikberatkan tentang ilmu dan kemahiran.

Inilah keresahan yang membelenggu penulis. Apabila membaca kisah lelaki budiman di China yang membantu 8 pelajar miskin setakat ini, penulis tertanya-tanya siapa pejuang dunia kejuruteraan atau IR 4.0 di Malaysia?

Penulis berharap inisiatif kecil Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) Shah Alam boleh menjadi titik permulaan kepada anak muda supaya meminati bidang kemahiran kejuruteraan dan teknologi. STDC kini dalam perancangan terakhir memulakan kerjasama dengan Siemens, Apple, Festo, Technical University of Munich dan kumpulan kecerdasan buatan (AI) MyFinB.

Menuntut ilmu satu kewajiban. Allah juga mengajak manusia supaya berbelanja ke arah kebaikan dengan apa yang Allah kurniakan sebagaimana Surah al-Baqarah ayat [2:267] maksudnya, "Wahai orang yang beriman! berbelanjalah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik, dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya, lalu kamu nafkahkan padahal kamu sendiri tidak akan mengambilnya, kecuali memejamkan mata padanya.

Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” Penulis juga ada pesanan kepada anak muda di negara ini. Contohi ulama terkemuka Turki, Badiuzzaman Said Nursi yang berusaha gigih menerapkan sinergi ilmu teras Islam daripada al-Quran dan hadis ke dalam pengajian ilmu sains, fizik dan matematik.

Kesimpulannya, Islam memiliki ramai tokoh ilmuwan yang merupakan perintis bidang kejuruteraan, kedoktoran, matematik, algebra, penerbangan dan banyak lagi. Malangnya, anak muda di negara ini tampak lebih seronok kepada dunia yang mengkhayalkan. Penulis berharap akan ada perubahan dalam agenda pembangunan kemahiran kejuruteraan dan teknologi mampan.

* Profesor Ir Dr Muhidin Arifin ialah Ketua Operasi Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) Selangor

Klik di sini untuk terus membaca