PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson berdepan dengan cabaran paling getir dalam kerjaya politiknya apabila beliau akhirnya meminta maaf di Parlimen pada Rabu lalu kerana melanggar arahan 'lockdown' yang dilaksanakan oleh kerajaannya pada... Klik di sini untuk terus membaca

PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson berdepan dengan cabaran paling getir dalam kerjaya politiknya apabila beliau akhirnya meminta maaf di Parlimen pada Rabu lalu kerana melanggar arahan 'lockdown' yang dilaksanakan oleh kerajaannya pada Mei 2020.

Ketika itu, Johnson menghadiri satu parti dengan kakitangan-kakitangan pejabatnya di pekarangan No.10 Downing Street iaitu pejabat dan kediaman untuk Perdana Menteri Britain di London.

Permohonan maaf itu dibuat selepas lebih setahun parti itu diadakan dan selepas beliau sendiri mengarahkan seorang pegawai kanan kerajaan untuk menyiasat tuduhan-tuduhan yang dilemparkan berhubung perhimpunan yang diadakan oleh pegawai-pegawai kerajaan semasa negara dikenakan perintah 'lockdown'.

Permintaan maaf itu juga dibuat selepas bocornya e-mel daripada seorang setiausaha peribadinya pada Isnin lalu yang menjemput kakitangan-kakitangan kerajaan di pejabat Perdana Menteri tersebut untuk menghadiri parti tersebut dengan membawa sendiri minuman keras.

Menurut kandungan e-mel itu, kakitangan-kakitangan pejabat Perdana Menteri itu dijemput untuk menghadiri satu majlis minuman bersosial selepas sibuk bekerja di taman No.10 Downing Street dan antara 30 hingga 40 orang telah menghadirinya.

Parti itu juga didakwa dianjurkan oleh setiausaha peribadinya itu, Martin Reynolds.

Pada hari parti tersebut diadakan, seorang anggota Kabinet United Kingdom telah mengingatkan orang ramai pada satu sidang akhbar dengan menyatakan bahawa hanya seorang tetamu boleh ditemui di luar rumah manakala di tempat awam pula seseorang itu perlu berjauhan antara satu sama lain dengan jarak dua meter.

Perdana Menteri, Boris Johnson (duduk kanan) menghadiri parti di pejabat dan kediamannya di London pada Mei 2020. - Foto The Guardian

GESAAN LETAK JAWATAN

Parti itu juga diadakan selepas lebih sebulan Perdana Menteri itu keluar daripada menjalani rawatan rapi akibat dijangkiti Covid-19 dan beberapa laporan menyatakan ia diadakan dengan pengetahuan penuhnya sebagai majlis menyambut kepulangannya setelah dirawat di hospital.

Sebelum Johnson membuat permohonan maaf, beliau tidak memberikan jawapan sama ada beliau hadir pada parti tersebut sehinggakan terdapat anggota parlimen daripada Parti Konservatif yang dipimpinnya memberi amaran bahawa jawatannya mungkin tidak akan dapat dipertahankan jika terbukti Perdana Menteri tersebut berbohong.

Perdana Menteri tersebut juga sebelum ini juga membisu tentang kehadirannya itu walaupun terdapat dakwaan bahawa beliau dan tunangnya semasa itu, Carrie Symonds adalah antara tetamu yang menghadiri parti itu.

Bagaimanapun, pada Rabu lalu, beliau membuat permohonan maaf di Parlimen pada satu sesi pertanyaan selain mengakui beliau tidak menghargai bagaimana parti itu akan dilihat oleh berjuta-juta rakyat Britain yang menghormati peraturan Covid-19 bahkan ada yang kehilangan saudara-mara yang meninggal dunia akibat wabak itu.

Johnson juga memberitahu bahawa beliau menghadiri parti tersebut selama 25 minit untuk mengucapkan terima kasih kepada kakitangan dan menganggapnya sebagai satu kerjanya.

Bagaimanapun, selepas permohonan maaf itu, seorang pemimpin Parti Konservatif fi Scotland, Douglas Ross menyertai sekurang-kurangnya empat anggota parlimen daripada parti tersebut bagi meminta Johnson meletakkan jawatan.

Namun, anggota-anggota Kabinetnya telah berikrar memberikan sokongan mereka kepada Johnson ketika beliau menghadapi gesaan untuk meletakkan jawatan termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Setiausaha Kehakimannya, Dominic Raab dengan menyatakan beliau telah memberikan pengakuan yang sangat jelas tentang apa yang berlaku.

Dalam skandal itu, pemimpin Parti Buruh yang membangkang, Sir Keir Starmer menyeru Johnson untuk melakukan perkara yang baik dan meletakkan jawatan berikutan permohonan maafnya kerana menghadiri parti Downing Street.

Seorang ahli parliman kanan parti Buruh, Lisa Nandy memberitahu televisyen BBC baru-baru ini bahawa kedudukan Perdana Menteri itu tidak dapat dipertahankan lagi.

Polis Metropolitan London juga tidak menolak siasatan jenayah akan dilakukan berhubung parti itu yang berlaku pada masa ketika warga Britain dilarang melakukan sosialisasi di luar kediaman masing-masing.

Namun, buat masa ini nasib Johnson nampaknya terletak di tangan seorang pegawai kanan kerajaan, Sue Gray yang telah ditugaskannya untuk menyiasat peristiwa Mei 2020 itu dan perjumpaan di Downing Street yang lain.

Laporan Gray itu akan dikeluarkan tidak lama lagi dan dalam keadaan apa pun kemungkinan akan menunjukkan ringkasan fakta peristiwa yang telah berlaku itu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca