SEKUMPULAN unta menjalani kehidupan penuh glamor bak selebriti terkenal ketika haiwan itu tinggal di sebuah 'hotel' mewah berhampiran Riyadh, Arab Saudi.
Dengan kos sebanyak 400 riyal (RM446) semalam, bulu-bulu unta-unta tersebut dipotong rapi, badan haiwan itu digosok dan dimanjakan sebelum ia mengambil bahagian dalam satu pertandingan kecantikan.
Unta-unta di hotel mewah itu diperiksa dengan teliti untuk mengesan suntikan botox dan penggunaan bahan-bahan terlarang lain yang diharamkan pada badan haiwan tersebut bagi mengelakkan binatang itu tersingkir daripada pertandingan berkenaan.
Semuanya itu dilakukan di sebuah kawasan persekitaran yang selamat bagi mengelakkan wabak Covid-19 mengganggu perjalanan untuk satu pertandingan bagi memilih seekor unta paling cantik.
Hotel mewah itu dikenali sebagai Tatman telah digambarkan sebagai hotel pertama untuk unta.
Kawasan hotel tersebut terletak di sebuah pekarangan gurun berhampiran Festival Raja Abdelaziz yang diadakan secara tahunan bagi mencari unta paling cantik dengan menawarkan hadiah berjumlah $66.6 juta (RM74.28 juta).
Ia adalah langkah logik untuk industri yang menguntungkan di Teluk yang mana unta dihargai sebagai satu simbol kehidupan tradisional.
Haiwan tersebut dinilai berdasarkan pada sifat-sifatnya termasuk bibir, leher, bonggol dan warnanya manakala kemenangan dilihat sangat berprestij bagi pemiliknya.
Seorang ahi perniagaan, Omair al-Qahtani yang berasal dari Arab Saudi memeriksa 80 ekor unta yang berada di dalam Tatman itu selama 16 hari dengan mengatakan ia akan melibakan perbelanjaan sebanyak $160,000 (RM669,760) hingga AS$213,000 (RM891,618).
Kemudahan itu sangat selesa kerana unta tetap berada di bawah jagaan mereka dan menjalani pemeriksaan perubatan, kata Omair yang berusia 51 tahun itu kepada AFP.
KELAB UNTA
Ia mempunyai 120 kandang masing-masing dilengkapi dengan bekas plastik untuk air dan makanan.
Seramai 50 pekerja menjaga haiwan itu dan kawalan kebersihan ketat bagi mengurangkan risiko wujudnya kes Covid-19.
Pada tahun-tahun yang lalu, Omair dan pembantunya akan mendirikan khemah berhampiran festival tersebut untuk merawat dan memberi makan unta itu sendiri.
Sebilangan besar unta tersebut adalah pesaing dalam pertandingan kecantikan unta terbesar di dunia itu.
Mohamed al-Harbi iaitu ketua media sebuah kelab unta yang menganjurkan pertandingan kecantikan binatang tersebut itu sememangnya mengimpikan sebuah hotel untuk melindungi dan memelihara unta dan juga untuk mengurangkan beban kepada pemiliknya.
Dia menyatakan bahawa hotel unta tersebut menjadi popular apabila ia menghasilkan pendapatan lebih AS$1.6 juta (RM6.70 juta).
Wang tidak menjadi masalah bagi beberapa orang yang menghadiri festival itu yang menampilkan khemah-khemah di tengah padang pasir dan bilik pameran untuk jualan kereta mewah Rolls-Royce dan BMW.
Peminat-peminat unta di Arab Saudi dapat menghabiskan ratusan ribu dolar untuk unta yang memasuki pertandingan tersebut.
Sebanyak 43 ekor unta disingkirkan daripada festival tersebut ketika para pemeriksa haiwan berkenaan melihat pelanggaran peraturan berlaku seperti penggunaan botox, silikon dan bahan terlarang yang disuntik ke bibir, bonggol dan ekor.
Bagaimanapun, pertandingan itu memperkukuhkan obsesi terhadap unta di Arab Saudi. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca