SHAH ALAM - Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada mesyuarat Rabu lalu hanyalah bersandarkan sudut pandang beliau merupakan Naib Presiden I UMNO semata-mata.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada mesyuarat Rabu lalu hanyalah bersandarkan sudut pandang beliau merupakan Naib Presiden I UMNO semata-mata.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan pucuk kepimpinan tertinggi parti menyokong kepimpinan Ahli Parlimen Bera itu juga tidak perlu dikaitkan dengan hala tuju UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mahu pun soal pemilihan parti.

Jelas beliau, mana-mana pihak tidak perlu memberikan tafsiran sokongan MKT UMNO kepada Perdana Menteri dari sudut berbeza memandangkan selaku salah seorang pemimpin kanan UMNO, sudah tentu Ismail Sabri akan didukung parti.

"Dari sudut pandang MKT, Perdana Menteri adalah Naib Presiden I UMNO dan sudah tentu pucuk kepimpinan UMNO akan menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

"Bagi saya, itu perkara paling penting dan tidak perlu ada tafsiran selain daripadanya. Soal kaitan dengan PRU15 juga tidak dibincang, tidak timbul," katanya kepada Sinar Premium sewaktu ditemui selepas program 'Berani Bersemuka' anjuran Sinar Harian pada malam Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang memberi bayangan Ismail Sabri bakal menerajui UMNO pada masa akan datang.

Annuar dalam laman Facebooknya pada Khamis berkata, dalam UMNO, seseorang yang diangkat sebagai Perdana Menteri akan seterusnya diberi 'endorsement' oleh parti untuk mengambil alih kepimpinan parti sebagai Presiden.

Ujarnya lagi, Mesyuarat MKT pada Rabu jelas membuat 'endorsement' bahawa Ismail Sabri akan terus memimpin negara sehingga tamat tempoh penggal Parlimen ke-14 pada tahun 2023.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, pemakluman Setiausaha Agung UMNO untuk memperkasakan kepimpinan dan kedudukan Ismail Sabri adalah satu manifestasi kebijaksanaan MKT.

RoS mengesahkan MKT UMNO kini hanya jawatankuasa caretaker.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menegaskan pendirian UMNO terhadap PRU15 adalah jelas daripada awal iaitu parti itu perlu menyerahkan kembali mandat memilih kerajaan stabil kepada rakyat.

Bagaimanapun, beliau mengakui masalah pandemik Covid-19 yang berpanjangan mengekang UMNO daripada melaksanakan PRU15 segera.

Berikutan itu, dengan keadaan pandemik Covid-19 serta isu bencana banjir yang kini semakin reda, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan tertinggi 'Top 5' UMNO untuk menentukan bila masa bersesuaian untuk PRU15 diadakan.

"Kita putuskan untuk menyerahkan kepada lima kepimpinan utama parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden untuk membuat keputusan terbaik bagi menentukan bila tarikh pelaksanaan PRU15 bersesuaian.

"Tetapi saya tidak tahu sama ada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan diadakan pada 16 Mac hadapan bakal membangkitkan keputusan itu. Ini kerana dalam perlembagaan UMNO, PAU adalah badan tertinggi yang menentukan dasar-dasar parti.

"Cuma kita sentiasa menggunakan PAU sebagai proses muhasabah parti dan saya rasa sudah tentu kita akan menggunakan platform ini untuk membincangkan kaedah dan pendekatan terbaik bagi menghadapi PRU15 kerana kita sudah memasuki fasa terakhir," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca