SHAH ALAM - Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO menyerahkan kepada kebijaksanaan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad untuk menentukan percaturan politik Barisan Nasional (BN) terutama dalam aspek pelaksanaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO menyerahkan kepada kebijaksanaan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad untuk menentukan percaturan politik Barisan Nasional (BN) terutama dalam aspek pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

ADUN Panti, Hahasrin Hashim berkata, hal ini kerana Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu perlu mengambil kira keseluruhan faktor termasuk tuntutan rakyat yang meminta kebajikan mereka lebih diberi perhatian berbanding keperluan PRN.

Pada masa sama, beliau turut melihat situasi politik di Johor yang masih tenang di samping tiada desakan pembangkang meminta PRN diadakan segera sebagai faktor penting mengapa cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat perlu difikirkan semasak-masaknya.

"Kalau dari segi isyarat menghadapi PRN Johor dalam masa terdekat, saya bersama wakil-wakil rakyat BN lain tidak mendengar sebarang khabar angin dan tidak disuruh berbuat apa-apa.

"Hal ini kerana situasi politik di Johor masih tenang dengan pembangkang pun tidak mahu PRN diadakan segera. Justeru soal sama ada PRN perlu diadakan segera, terserah kepada kebijaksanaan Menteri Besar Johor sendiri," katanya kepada Sinar Premium.

HAHASRIN

Desas-desus pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN Johor dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan sejak bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian yang juga bekas ADUN Kempas, meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan seorang ADUN daripada blok kerajaan bakal menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN juga bertiup kencang.

Khabar angin itu semakin diperkuatkan lagi dengan kenyataan Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambrose kepada Sinar Premium yang membayangkan PRN Johor mungkin diadakan selepas masalah banjir yang menenggelami beberapa daerah di negeri itu reda.

https://premium.sinarharian.com.my/article/180338/fokus/semasa/majoriti-tipis-prn-johor-mungkin-lepas-banjir-reda

https://premium.sinarharian.com.my/article/180337/fokus/semasa/pn-sedia-tanding-semua-kerusi-prn-johor

Mengulas lanjut, Hahasrin turut menegaskan Ir Hasni dan pucuk kepimpinan BN perlu melihat sama ada pelaksanaan PRN Johor memberi impak positif atau negatif kepada rakyat negeri ini.

Ujarnya, Ir Hasni dan pucuk kepimpinan parti wajar mengambil kira ancaman varian baharu Covid-19, Omricon yang mungkin memberi kesan ekonomi kepada rakyat Johor sekiranya pelaksanaan PRN Johor diadakan segera.

"Oleh itu, Menteri Besar dan kepimpinan parti kena pertimbang kesemua faktor dan tidak boleh menyamakan impak pelaksanaan PRN Melaka dengan PRN Johor kerana negeri Johor memiliki kawasan DUN lebih besar dan luas.

"Mereka juga harus melihat percaturan politik lebih strategik kerana buat masa ini BN Johor tidak berdepan masalah bekerjasama dengan parti-parti lain dalam kerajaan negeri dan kerajaan masih berfungsi sebaiknya," katanya.

SHARIFAH AZIZAH

Sementara itu, ADUN Penawar, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain mengakui pihaknya masih belum menerima sebarang isyarat bahawa PRN Johor bakal diadakan segera.

Menurutnya, semua ADUN BN masih menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat seperti biasa dan beranggapan perkara itu sekadar khabar angin.

"Namun, sekiranya Menteri Besar atau pucuk kepimpinan parti memutuskan PRN Johor perlu diadakan dalam masa terdekat, kami pun sudah bersiap sedia.

"Kami juga akan akur dengan sebarang keputusan parti kerana mereka lebih tahu akan percaturan politik terbaik untuk parti dan rakyat,"katanya.

Sharifah Azizah juga tidak menolak kemungkinan BN mampu menang besar pada PRN Johor berdasarkan peningkatan sokongan rakyat yang serik dengan kelemahan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang tidak berpengalaman sebelum ini.

"Saya juga menyerahkan kepada parti sama ada akan terus kekal tercalon bertanding di DUN Penawar atau kawasan lain pada PRN Johor kelak.

"Cuma saya berpandangan tempoh satu penggal sahaja tidak cukup untuk saya merealisasikan pelbagai agenda pembangunan ekonomi dan rakyat di kawasan DUN Penawar," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca