PENGGUNAAN internet kini semakin meluas serta memberi impak yang sangat besar dalam kehidupan manusia. Ia kini menjadi medium paling penting bagi seseorang mendapatkan pelbagai maklumat serta berhubung dengan dunia luar kerana semuanya... Klik di sini untuk terus membaca

PENGGUNAAN internet kini semakin meluas serta memberi impak yang sangat besar dalam kehidupan manusia. Ia kini menjadi medium paling penting bagi seseorang mendapatkan pelbagai maklumat serta berhubung dengan dunia luar kerana semuanya berada di hujung jari.

Orang ramai juga kini boleh berkomunikasi melalui pelbagai platform di media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram serta Twitter.

Masyarakat boleh memperoleh pelbagai maklumat dengan pantas, namun terdapat sesetengah daripada mereka sering menyalahgunakan kemudahan tersebut.

Penyalahgunaan internet memberi kesan negatif kepada penggunanya termasuk apa yang digelar jenayah buli siber.

Pada masa kini, jumlah kes buli siber semakin berleluasa dan sangat membimbangkan.

Pembuli siber memberi komen di laman sosial dengan kata-kata kesat, berkongsi dan menyebarkan maklumat dengan tujuan mahu memalukan mangsa.

Golongan itu beranggapan terdapat kebebasan sepenuhnya untuk menulis dan berkongsi apa sahaja di ruang siber.

Bagaimanapun, segelintir masyarakat masih menganggap buli siber adalah perkara biasa walaupun menyedari ia boleh memberi impak besar kepada masyarakat luar jika tidak dibendung.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil ketika diminta mengulas isu itu berkata, buli siber dalam kehidupan masyarakat pada masa kini dianggap sudah menjadi budaya di alam maya.

Siraj (dua dari kanan) terlibat dalam program Kompas Rasuah Busters yang berlangsung di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.

"Pemahaman masyarakat mengenai isu buli siber juga tidak jelas seperti tindakan mengecam orang lain juga boleh dianggap sebagai buli siber," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, buli siber mengikut definisinya adalah perbuatan yang mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti mesej teks, chatting, e-mel, laman web sosial atau telefon bimbit.

"Pembuli siber sukar untuk dikenal pasti kerana mereka bersembunyi di sebalik profil palsu.

"Bagaimanapun, terdapat pelbagai cara boleh digunakan oleh pakar forensik untuk mengesan pembuli siber itu," kata beliau.

Menurut Siraj, kes membabitkan buli siber juga akan sentiasa berulang kerana apa yang dibuat itu akan kekal di internet, sekali gus menyebabkan mangsa buli tertekan.

Siraj Jalil

"Mangsa mengalami tekanan kerana gagal menanggung kecaman oleh warganet,” ujarnya.

Beliau sehubungan itu menyarankan mangsa buli siber membuat tangkap layar dan mencetaknya untuk disimpan sebagai bukti yang boleh dikemukakan kepada pihak berwajib jika tindakan undang-undang diambil.

"Selain membuat aduan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), mangsa juga boleh mengambil tindakan saman sivil terhadap pembuli siber," ujarnya.

Beliau menambah, masyarakat tidak harus mengabaikan isu buli siber dan elak menjadikannya sebagai gaya hidup atau budaya masa kini.

"Tanggungjawab dan peranan untuk menghentikan buli siber seharusnya bermula dari dalam diri sendiri," katanya.

PEJUANG HAK PENGGUNA SIBER

Sementara itu, Siraj turut mengimbau kembali detik permulaan beliau menubuhkan Persatuan Pengguna Siber Malaysia pada tahun 2019.

"Saya bukan pakar teknologi maklumat (IT), namun kesedaran untuk menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini pada tahun 2018 apabila saya mendapati 'kuasa' teknologi maklumat itu semakin meluas," jelasnya.

Beliau berpendapat perlu ada pendidikan, pencegahan dan pencerahan mengenai teknologi maklumat kepada masyarakat.

"Orang ramai yang bukan pakar IT hanya menggunakan ruang siber itu tanpa pendidikan asas mengenai teknologi maklumat," tambahnya.

Siraj yang juga aktif dalam NGO belia memaklumkan persatuan itu turut memperjuangkan hak pengguna siber.

"Kepergunaan teknologi maklumat kini merentasi pengurusan peribadi, ia turut melibatkan urusan lain termasuk perbankan," katanya.

GANGGUAN SEKSUAL DI LAMAN SOSIAL

Siraj memberitahu, pihaknya juga menerima aduan berkaitan gangguan seksual di laman sosial.

Kata beliau, penggunaan internet yang semakin meluas membabitkan pelbagai lapisan masyarakat membuka ruang lebih luas terhadap perlakuan tidak bermoral itu.

Menurutnya, jenayah dalam talian itu merujuk kepada sebarang tindakan atau aktiviti yang berbaur seksual kepada seseorang tanpa kerelaan atau keinginan mangsa.

"Sikap segelintir individu yang terbuka serta mendedahkan bentuk fizikal di laman sosial turut memberi peluang kepada individu lain untuk melakukan gangguan seksual," ujarnya.

Siraj berkata, sikap teruja ibu bapa mendedahkan atau memuat naik gambar anak mereka di media sosial boleh mengundang gambar insan tersayang mungkin disalahgunakan oleh para penjenayah pedofilia.

Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) dirasmikan pada tahun 2020.

"Ibu bapa sepatutnya lebih berhati-hati dalam memuat naik gambar anak mereka di laman sosial.

"Ibu bapa kadangkala mungkin tidak terfikir apa yang dimuat naik itu tidak ada masalah tetapi berbeza kepada golongan pedofilia yang cenderung melihat ia ke arah seksual kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa juga wajib bertanggungjawab mengawal anak mereka dalam menggunakan aplikasi teknologi maklumat.

TINGKAT KESEDARAN

Siraj menegaskan, kesedaran dan pengetahuan segelintir masyarakat yang masih rendah berkaitan taktik dan modus operandi sindiket penipuan dalam talian antara faktor banyak mangsa terjebak dan terpedaya oleh sindiket berkenaan.

"Jika individu itu mempunyai pengetahuan serta sikap curiga yang tinggi dapat menghalang dirinya daripada diperdaya sindiket penipuan dalam talian," katanya.

Beliau memberitahu, modus operandi sindiket penipuan dalam talian menyasarkan warga emas sebagai mangsa disebabkan golongan itu mudah terpedaya dan kurang penelitian terhadap tawaran diberikan oleh sindiket.

"Golongan itu juga mudah takut apabila 'digertak' dengan sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai agensi penguat kuasa," katanya.

Siraj sehubungan itu berharap kerajaan dapat mewujudkan suruhanjaya keselamatan siber dan akta berkaitan keselamatan siber yang lebih terperinci demi kesejahteraan rakyat.

Klik di sini untuk terus membaca