AWANG sokong penuh cadangan Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) tentang keahlian dalam panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada masa ini, terdapat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) selain tiga panel lain.
Panel itu ialah Jawatankuasa Aduan (CC), Panel Penilai Operasi (ORP) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).Selama ini, kita tidak tahu dasar pemilihan anggota panel ini.
Ada yang mengatakan SPRM sendiri yang mencadangkan nama mereka kepada Perdana Menteri.
Bagi memastikan integriti dan keberkesanan panel ini, Awang setuju dengan Tricia bahawa keanggotaan mesti 40 peratus masyarakat sivil dan 60 peratus sektor awam.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar "Rasuah Busters: Solusi Transformasi SPRM” dua hari lalu.
Banyaklah cadangan yang dikemukakan sewaktu sidang media itu. Kesemua enam rakan strategik Rasuah Busters bersetuju untuk "membersihkan” sistem sedia ada.
Ada juga cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (SBPR) di bawah Parlimen.
Pada pendapat Awang, pindaan akta dan perubahan struktur sahaja belum cukup. Lebih penting orang yang memimpin harus berintegriti.
Orang yang betul mesti diberikan amanah besar itu. Dia bukan sahaja mesti bersih tetapi kelihatan bersih.
Memang sudah sampai masanya SPRM membuat semakan dalaman.
Akhir-akhir ini, banyak kejadian menjejaskan nama baiknya. Awang percaya semua orang mahu pertahankan SPRM tetapi SPRM sendiri perlu peka dengan pandangan dan teguran ramai.
Begitu juga ketua-ketua panel yang mengawasi SPRM.
Klik di sini untuk terus membaca