RAKAN pejabat saya ada bertanya, "kalau kita pergi melawat tapak, dan selepas tu ada kontraktor nak belanja makan, kira rasuah tak?”
"Rasuah! rasuah! Tak boleh tolak ke?" tanya saya.
"Boleh sahaja tolak, tapi bila tengok nak pergi makan tempat sedap dengan ikan bakar, ayam panggang tambah pula daging harimau menangis, macam mana nak tolak bos?” katanya rakan saya lagi.
"Kalau musim perayaan, orang beri hadiah, kira rasuah juga ke bos?” tanya rakan saya lagi.
"Rasuah! Rasuah! Dalam hamper tu ada apa?" tanya saya.
"Ada coklat,” ujar beliau lagi.
"Benda kecil-kecil tu kira rasuah juga ke bos? Kita orang kecil, mereka beri pun hadiah kecil sahaja. Orang besar sahaja dapat ‘hadiah’ besar-besar,” kata rakan saya lagi.
Persoalan berkenaan rasuah atau tidak memang banyak berlaku khilaf.
Ada orang katanya, walaupun mereka menerima hadiah, tetapi tetap tegas dengan kontraktor.
Katanya apa yang kontraktor minta untuk tidak terlalu mengikut spesifikasi, tidak akan dilayan. Kerja tetap perlu dibuat mengikut spesifikasi.
"Aku, kalau kontraktor ajak makan, aku makan sahaja. Tetapi kalau mereka nak suruh aku ikut mereka, buat begini begitu, aku tak akan ikut,” kata seorang kenalan saya yang lain pada waktu dulu.
Namun paling selamat, hendaklah menyediakan polisi yang jelas untuk menghindarkan kekhilafan.
Dalam hidup kita ini banyak kekhilafan, contohnya ada orang yang telah didapati bersalah, tetapi masih dipuja-puja sebagai hero.
Ada yang tidak bersalah, tetapi telah diadili seolah-olah mereka ini telah bersalah.
Dalam sebuah artikel yang saya baca, ditulis pada tahun 1990. Seorang pemuda bertanya pada seorang wartawan mengikut situasinya, adakah beliau perlu memberi rasuah atau tidak.
TIGA PILIHAN
Ceritanya begini, kata pemuda tersebut, ayah beliau telah berpindah dan membeli sebuah restoran di sebuah bandar kecil.
Mereka bercadang untuk membuka restoran untuk penduduk setempat.
Ketika sedang membersihkan restoran dan membaiki beberapa kerosakan kecil, seorang pemeriksa, dari sebuah agensi pihak berkuasa tempatan telah datang untuk membuat pemeriksaan.
Pemuda tersebut memberitahu, pemeriksa itu berkata kepada ayahnya, "Bangunan kamu ini tidak selamat, pemasangan paip dalam dinding tidak mengikut spesifikasi.
Kamu kena buat semula ikut spesifikasi.”
Pemuda itu memberitahu, ayahnya menjawab kepada pemeriksa tersebut, "Sebelum ini restoran ini beroperasi oleh pemilik lama, tidak ada masalah pun?”
Pemuda itu berkata, ayahnya memberitahu, yang pemeriksa itu hendakkan bayaran RM600, untuk selesaikan masalah ini.
Lalu pemuda itu bertanya wartawan sebuah akhbar sama ada perlu bayar atau tidak?
Wartawan itu menjawab, beliau perlu membuat beberapa analisis untuk menjawab pertanyaan pemuda itu.
"Kalau kita lapor kepada pihak berkuasa, perlu ada bukti. Bukan senang nak cari bukti.
Kalau dapat bukti, kena bicara pula naik turun mahkamah.
"Dan kalau pemeriksa itu bersalah, mungkin nanti, akan keluar surat khabar penjawat awam minta rasuah.
Malu pula anaknya nanti bila pergi sekolah diejek oleh rakan-rakan dan isterinya nanti malu dengan jiran.
"Yang kedua, kita tak perlu beri rasuah, atau pun lapor pada pihak berkuasa.
Mungkin kita pecahkan dinding untuk periksa, untuk sahkan sama ada mengikut spesifikasi atau tidak.
Kalau betul, kita tukar baru. Kalau tak betul, kosnya mungkin lebih besar daripada rasuah RM600 kepada pemeriksa itu.
"Yang ketiga, tak perlu lapor, tak perlu periksa dinding, tapi bayar sahaja RM600 itu.
Dari segi undang-undang ini adalah kesalahan dan merosakkan bangsa, agama dan negara.
Kita sepatutnya tidak boleh mengamalkan amalan rasuah ini.
"Tapi nampaknya dengan memberi rasuah mungkin lebih menyenangkan kedua-dua belah pihak.
Kalau hendak beri juga, elok dalam dalam bentuk tunai sahaja,” katanya wartawan tersebut mengakhiri analisisnya.
Apa pendapat tuan puan pula, nak beri rasuah atau tidak beri rasuah?
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca