ADAKALANYA, ia memerlukan kes seorang individu yang terkenal untuk mendedahkan kelemahan sistem dan institusi yang sepatutnya memberikan perkhidmatan kepada semua orang.
Dunia tenis serta dunia luar dicengkam dengan berita cubaan Novak Djokovic untuk bertanding di Terbuka Australia.
Jika pemain nombor satu dunia itu memenanginya buat kali ke-10, beliau akan menjadi pemain yang memenangi gelaran Grand Slam terbanyak dalam sejarah.
Ketika ini, Roger Federer, Rafael Nadal dan Djokovic masing-masing mempunyai 20 gelaran Grand Slam.
Sebagai seorang peminat setia kepada sang Swiss Maestro , saya tidak mahu beliau dikalahkan.
Namun, pahit getir yang dihadapi oleh Djokovic setelah memasuki Australia membuatkannya malah meraih simpati pengkritik yang telah lama menganggapnya sebagai tiada karisma dan terlalu beremosi (Djokovic secara tidak sengaja telah terpukul bola ke arah seorang penjaga garisan wanita dan disingkirkan daripada Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat 2020).
Para pengkritiknya kini termasuklah berjuta-juta orang yang tidak dapat menerima bahawa Djokovic masih lagi tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19 tetapi tetap ingin bertanding di kejohanan tenis di seluruh dunia.
Australia melaksanakan kriteria yang ketat untuk memasuki dan merentas sempadan negeri sewaktu pandemik, termasuklah terhadap warganegaranya sendiri.
Kekecewaan sebuah populasi yang terpaksa menghadapi perintah sekatan berkali-kali jelas sekali meledak apabila seorang individu kaya dan antivaksin terkenal berjaya mendapat pengecualian.
Djokovic percaya beliau telah menepati kelayakan pengecualian yang diberikan oleh Persatuan Tenis Australia dan kerajaan negeri Victoria (termasuk penilaian tanpa nama oleh dua panel bebas) sebelum penerbangannya. Hakim ketika membatalkan pembatalan visa oleh kerajaan Australia, telah bertanya "apa lagi yang boleh dia lakukan?”.
Ketika saya menulis artikel ini, Djokovic telah mengaku tidak menjalankan pengasingan diri setelah mendapat keputusan positif Covid-19 dan satu pengisytiharan palsu bahawa beliau tidak mengembara 14 hari sebelum tiba di Australia.
Hal ini mungkin akan menyebabkan satu lagi pembatalan visa dan pasti akan menimbulkan tindak balas. Kes Djokovic telah menjadi satu peristiwa bersejarah untuk para antivaksin dan penyokong teori konspirasi, yang akan mengadakan bantahan dengan kuat dan berkemungkinan secara ganas.
Secara berasingan, penahanan pencari suaka untuk satu tempoh yang tidak tentu dalam keadaan yang teruk telah didedahkan, di samping Presiden Serbia yang telah mengecam ‘penganiayaan’ terhadap warganegara Serbia itu.
Sikap terhadap pemvaksinan juga menyumbang kepada perbezaan diplomatik; 47 peratus rakyat Serbia telah mendapat suntikan vaksin lengkap berbanding 78 peratus rakyat Australia.
Malaysia dengan 79 peratus rakyatnya telah mendapat suntikan vaksin lengkap sedikit lebih baik berbanding Australia.
Tatkala kita mendapat suntikan penggalak, hal tersebut merupakan sesuatu yang perlu diraikan kerana rakyat Malaysia lebih bersatu dalam permasalahan pemvaksinan berbanding rakyat negara lain walaupun kritikan sering kali dilemparkan terhadap para menteri, penjawat awam dan penasihat kesihatan awam.
Keyakinan awam terhadap komuniti perubatan merupakan suatu ramuan penting dalam perkara ini.
Pada masa yang sama, keyakinan awam terhadap institusi politik dan badan pemerhati kekal rendah hingga ke tahap berbaur sinis dan ejekan.
Beberapa minggu belakangan ini menyaksikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terpalit dalam sebuah saga berikutan dakwaan oleh Profesor Edmund Terence Gomez terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM dan peletakan jawatan beliau daripada sebuah panel SPRM.
KEMARAHAN AWAM
Kekeliruan semakin bertambah apabila kenyataan oleh pengerusi lembaga penasihat SPRM dalam membebaskan Ketua Pesuruhjayanya kemudian disanggah oleh enam orang ahli lembaga penasihat yang lain dalam satu kenyataan berasingan.
Dakwaan tersebut berkaitan dengan jumlah dan cara pemerolehan saham-saham syarikat dan kemungkinan konflik kepentingan.
Sudah terdapat meme sarkastik yang mempergunakan rasa skeptik masyarakat awam dari kes-kes rasuah yang lain (saya tidak tahu bagaimana duit ada di situ, orang lain telah menggunakan akaun saya) dan jangkaan tinggi terhadap pegawai, terutamanya yang bertanggungjawab membanteras rasuah.
Ahli dan parti politik (kadangkala menentang rakan atau sayap parti sendiri) telah mempertahankan atau menyerang pihak yang dituduh; tindakan lain adalah menyerang pihak media kerana melakukan salah lapor atau menimbulkan provokasi terhadap kemarahan awam.
Sementara itu, badan-badan bukan kerajaan (NGO) telah mengulangi seruan mereka agar SPRM diletakkan di bawah Parlimen, bukannya di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Seruan ini bukan perkara baharu. Pada tahun 2012, IDEAS telah menerbitkan sebuah kertas Dasar IDEAS bertajuk ‘Meningkatkan Kebebasan SPRM Demi Keyakinan Awam Yang Lebih Baik’. Dua kesimpulan kertas tersebut adalah harus ada lebih penglibatan oleh Parlimen dan Ketua Pesuruhjaya harus dilantik secara terbuka.
Jika cadangan ini dilaksanakan pada ketika itu, kemungkinan kita tidak akan berada dalam situasi seperti hari ini kerana proses pelantikan jawatan tertinggi pencegah rasuah menjadi telus dan Parlimen akan mempunyai kuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan jika berlaku salah laku.
Perubahan sebegini juga adalah demi kepentingan kemungkinan Ketua Pesuruhjaya didakwa melakukan salah laku kerana pengakuan tidak bersalah perlu disahkan berdasarkan proses sedia ada berbanding mengeluarkan kenyataan media yang saling bercanggah dan melakukan penyiasatan yang kabur serta tanpa apa-apa garis masa.
Seperti yang telah saya katakan pada awal penulisan, ia memerlukan kes seorang individu yang terkenal untuk mendedahkan kelemahan sistem dan institusi yang sepatutnya memberikan perkhidmatan kepada semua orang.
Sama ada individu terbabit betul atau salah, ujian sebenar untuk kepimpinan politik adalah melaksanakan perubahan agar dapat mengelakkan malapetaka yang serupa berulang.
* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)
Klik di sini untuk terus membaca