SEWAKTU saya menulis artikel ini, saya baru sahaja keluar daripada hospital.
Sesungguhnya kesakitan itu adalah ujian dan teguran kecil daripada ALLAH SWT.
Sejujurnya, sepanjang berada dua hari di hospital, saya banyak bermuhasabah diri serta merancang beberapa strategi pengubahsuaian dalam kehidupan bagi mencapai keseimbangan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Alhamdulillah, saya sudah sihat dan perlu lebih serius menjaga kesihatan yang merupakan ‘harta’ yang paling besar.
Berkaitan dengan kehidupan, adakalanya, kita tidak sedar betapa letihnya otak kita mengharungi beban kehidupan. Namun kita teruskan juga kerana memenuhi rutin hidup.
Kadangkala kita berasa kuat kerana tahu menguruskan diri serta mahir menghadapi tekanan hidup.
Namun, badan kita ada hadnya untuk menampung bebanan tersebut.
Ada ketikanya, badan sudah memberi amaran terdapat beberapa perubahan fisiologi kepada diri kita, namun diabaikan kerana masih mampu bergerak ke hadapan.
Akhirnya, apabila badan sudah letih dan tidak bermaya, otak yang kuat sekalipun akan ‘ditarik’ bersama.
Justeru, kita perlu beri peluang kepada badan untuk berehat. Yang penting, kita perlu fokus kepada beberapa dimensi kehidupan supaya tidak lagi memaksa otak kita berfikir dan menjalankan kerja rutin semata-mata.
Cukuplah bersaing untuk kesempurnaan dan meletakkan harapan yang tinggi bagi semua perkara. Kesempurnaan hanya kepalsuan dan tidak perlu kecewa jika tidak dapat melengkapkannya.
Paksa diri mengejar kepalsuan menyebabkan diri kita semakin letih setiap saat dalam mengharungi arus kehidupan.
Semasa hendak mendaftar memasuki wad, mulanya saya kecewa kerana bilik perseorangan telah habis dan hanya tinggal bilik berdua sahaja.
Namun, setelah berkenalan dan berbual mesra dengan pesakit sebilik dengan saya, barulah saya sedar itulah hikmah ALLAH SWT kenapa saya ditakdirkan tinggal di bilik berdua. Apa hikmahnya?, ini kerana saya dapat mendalami makna kasih sayang dalam kehidupan.
Sebetulnya teman sebilik saya adalah seorang pakcik yang berumur 80 tahun dan ditemani isterinya berumur 60 tahun.
Pak cik tersebut adalah orang kampung yang telah lama memerah keringat mengusahakan bendang bagi menyara keluarganya.
Kesemua anak-anaknya berjaya. Malah ada yang belajar di Institut Pendidikan Tinggi Swasta.
Apabila saya bertanya bagaimana pak cik boleh menyara pendidikan anak-anak? Jawapannya amat menyentuh hati saya, "Jika kita berniat bersungguh-sungguh bekerja untuk menyara keluarga dan pendidikan anak-anak Insya-ALLAH, akan dipermudahkan segalanya”.
Natijahnya, semua perbelanjaan pakcik tersebut di hospital pakar swasta adalah ditanggung sepenuhnya oleh anak-anak.
Selain itu, gurauan senda yang tidak pernah putus antara suami, isteri dan anak-anak serta deringan telefon yang kerap berbunyi untuk bertanya khabar daripada saudara-mara dan orang-orang kampung membuktikan lagi bahawa pak cik tersebut dikasihi kerana benar-benar mempraktikkan kasih sayang dalam kehidupan.
Berkaitan dengan berkasih sayang, menurut Abu Hurairah Ra, bahawa Nabi SAW bersabda,
"Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi”. (Hadis Riwayat al-Bukhari). Manakala, menurut Dr Yusof Al-Qaradhawi menerusi bukunya Kemanisan Iman, "Antara sifat keistimewaan mukmin ialah mempunyai hati yang hidup, lembut dan mengasihi orang lain.
Hatinya peka dengan kejadian dan terhadap orang lain. Ia mengasihani orang yang lemah, berasa terseksa melihat orang bersedih, simpati terhadap orang miskin dan menghulur tangannya kepada yang memerlukan pertolongan.
Dengan hati yang hidup dan pengasih ini, seorang mukmin menjauhkan diri daripada menyakiti orang lain dan kerja-kerja jenayah. Dia menjadi punca kebaikan dan keamanan kepada makhluk yang ada di sekitarnya”.
Rumusannya, kasih sayang adalah rahmat daripada ALLAH SWT.
Hiduplah dalam kapasiti kita kerana itulah kebahagiaan yang sebenarnya. Amalkan kasih sayang tanpa sempadan.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca