SHAH ALAM - Pada saat spekulasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor difahamkan bakal menjadi realiti dalam masa terdekat, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sekali lagi memberikan isyarat penting kepada seluruh rakyat Johor.
Sewaktu meninjau persiapan jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Keembong di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya pada Jumaat, bekas Menteri Besar Johor itu menegaskan kepada ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) bahawa pendirian parti untuk bertanding secara solo dan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana tidak bersama mereka.
Jelas beliau, pendirian itu jelas dan tidak akan berubah, bahkan Mohamed Khaled percaya aspek kestabilan dan kesejahteraan rakyat hanya dapat dikembalikan apabila BN kembali dominan.
"Walaupun DUN Johor Jaya di bawah pembangkang, tetapi ahli UMNO kekal setia dan bekerja keras untuk memastikan BN kembali menawan semula kerusi DUN berkenaan.
"Saya juga tegaskan kepada ahli parti bahawa pendirian kita jelas dan tidak berubah.
"UMNO melalui BN akan bertanding solo dan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak tidak bersama BN," katanya melalui satu hantaran Facebook peribadi pada Sabtu.
Beliau berkata demikian pada saat spekulasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bakal dibubarkan dalam masa terdekat, kemungkinan selepas kesemua pusat penempatan mangsa banjir di beberapa daerah terjejas, kini semakin bertiup kencang.
Pada Jumaat, Mohamed Khaled turut berkongsi gambar pertemuan beliau dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di pekarangan Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.
Bagaimanapun, beliau sewaktu dihubungi Sinar Premium menafikan pertemuan itu adalah untuk membincangkan kemungkinan berlakunya PRN Johor, sebaliknya ia sekadar perjumpaan biasa dengan baginda Tuanku Sultan Ibrahim bagi membincangkan isu negeri termasuk banjir.
Pada Khamis, beberapa sumber pemimpin kanan UMNO mendedahkan barisan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu difahamkan sudah memberikan lampu hijau kepada Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad untuk menghadap Sultan Johor bagi memohon perkenan pembubaran DUN, sekali gus mengadakan PRN negeri.
Desas-desus pembubaran DUN hangat diperkatakan sejak bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Osman Sapian yang juga ADUN Kempas, meninggal dunia pada 21 Disember lalu.
Pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan seorang ADUN blok kerajaan bakal menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN juga bertiup kencang.
Khabar angin itu semakin diperkuatkan dengan pendedahan Exco Pemuda UMNO merangkap Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambrose yang membayangkan tidak mustahil PRN Johor akan diadakan selepas masalah banjir di negeri itu reda.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled turut menekankan MCA perlu lebih bekerja kuat dan memainkan peranan membawa semula pengundi kaum Cina agar kembali kepada BN.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan agihan terkini adalah UMNO dan DAP masing-masing menyandang 14 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (11), MIC (2), Pas (1), Parti Amanah Negara (6) dan Parti Keadilan Rakyat (7).
Klik di sini untuk terus membaca