SHAH ALAM - Keghairahan Barisan Nasional (BN) menuntut Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan lebih awal jangan sampai menyebabkan rakyat seluruh negara menjadi muak dengan pemimpin politik dan akhirnya memboikot Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya mengakui UMNO dan BN mungkin berpeluang besar untuk menang pada PRN Johor sekiranya diadakan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau bimbang sikap tamak kuasa dan tergopoh-gapah pemimpin UMNO dan BN akan mengundang kemarahan besar rakyat di seluruh negara yang beranggapan sekarang bukan masa sesuai untuk berpolitik.
Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani itu, hal ini kerana defisit kepercayaan rakyat terhadap orang politik di Malaysia kini semakin meningkat susulan golongan elit politik lebih cenderung berpolitik pada saat rakyat terkesan pandemik serta bencana banjir.
"Kalau mereka gunakan alasan kerajaan tidak stabil sebab majoriti tipis, kesemua ADUN pembangkang langsung tidak pernah membuat kacau dan bersependapat kestabilan politik perlu dipertahankan pada saat pandemik Covid-19.
"Saya yakin walaupun BN boleh menang besar PRN Johor, saya bimbang rakyat di seluruh negara akan membenci semua orang politik dan akhirnya memutuskan untuk boikot PRU15.
"Hal ini kerana kita sudah mengabaikan hak lebih 30 peratus rakyat yang tidak berpeluang balik mengundi di DUN masing-masing disebabkan kebimbangan ancaman varian baharu Omicron di samping ekonomi terkesan sepanjang pandemik," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN Johor dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan.
Desas-desus itu tercetus sejak bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian yang juga bekas ADUN Kempas, meninggal dunia pada 21 Disember lalu.
Khabar angin itu semakin diperkuatkan lagi dengan pendedahan Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambrose kepada Sinar Premium yang membayangkan PRN Johor mungkin diadakan selepas masalah banjir di negeri itu reda.
Mengulas lanjut, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu turut menegaskan tuntutan PRN Johor oleh sebilangan pemimpin UMNO dan BN adalah bukti ketidaksabaran mereka untuk berkuasa semula di Johor dengan dominasi penuh.
Jelas beliau, UMNO dan BN juga seolah-olah begitu terdesak untuk mendapatkan kuasa sehingga mengabaikan kepentingan membela rakyat yang terjejas akibat bencana banjir dan kehilangan pekerjaan sewaktu pandemik Covid-19.
"Ada orang kata Pakatan Harapan (PH) takut hadapi PRN... kita tidak takut dan sudah bersedia.
"Tetapi berbaloikah rakyat perlu mendepani PRN sekarang? Sepatutnya kita beri peluang rakyat untuk memilih situasi paling selamat bagi mereka mengundi, bukan memberi paksaan," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca