SHAH ALAM - Exco Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr Chong Fat Full mempersoalkan motif UMNO dan Barisan Nasional (BN) seolah-olah menuntut Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri dilaksanakan segera pada saat majoriti rakyat Johor tidak ghairah membicarakannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis itu berkata, hasil tinjauan beliau yang menghadiri beberapa program rakyat di Segamat, Kempas dan Pemanis mendapati majoriti rakyat yang ditemui langsung tidak menunjukkan minat untuk mendengar cerita PRN Johor.
Sebaliknya, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menegaskan sebahagian besar mereka lebih gemar membincangkan keperluan kerajaan memenuhi aspek kebajikan rakyat terutama selepas mereka terkesan akibat pandemik Covid-19 dan bencana banjir.
"Lebih menarik, sepanjang saya menghadiri tiga program rakyat sebentar tadi (Sabtu), tiada seorang yang bertanya 'Bila mahu PRN Johor?' dengan rakyat seolah-olah tidak berminat hendak tahu soal politik.
"Mereka lebih suka bertanya mengenai perancangan kerajaan untuk membantu rakyat, berbeza dengan situasi sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila saya tidak henti-henti ditanya soal pilihan raya setiap kali bertemu mereka," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN Johor dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan.
Desas-desus itu tercetus sejak bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian yang juga bekas ADUN Kempas, meninggal dunia pada 21 Disember lalu.
Di sebalik reaksi pasif daripada rakyat mengenai kemungkinan PRN Johor, Chong Fatt masih mengakui kemungkinan pilihan raya negeri diadakan sebelum bulan Jun hadapan adalah sangat besar dengan segalanya terserah kepada kebijaksanaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Tambah beliau, Bersatu bersama Perikatan Nasional (PN) Johor sudah bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan, meskipun hakikatnya mereka lebih memilih PRN Johor diadakan secara serentak dengan PRU15.
"Kami sedar kemungkinan PRN Johor tidak dapat dielakkan memandangkan ada pemimpin UMNO mahu ia dilaksanakan cepat kerana memberi kelebihan politik kepada mereka.
"Apa pun kami memang bersedia, namun perkara itu akhirnya terserah kepada kebijaksanaan baginda Tuanku Sultan Ibrahim untuk memperkenankan keputusan terbaik untuk rakyat Johor," katanya.
Ketika ini, DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan agihan terkini adalah UMNO dan DAP masing-masing menyandang 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (2), Pas (1), Parti Amanah Negara (6) dan Parti Keadilan Rakyat (7).