SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diletakkan di bawah salah satu Jawatankuasa Khas Parlimen bagi memastikan institusi tersebut benar-benar bebas.
Itu pandangan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah Dewan Negara, Senator Fadhlina Datuk Sidek sewaktu sesi wawancara eksklusif bersama Sinar Ahad baru-baru ini.
Beliau berpendapat, suruhanjaya tersebut perlu dipantau secara bipartisan iaitu semua parti di negara ini mempunyai hak dan kuasa pemantauan yang sama selari dengan reformasi Parlimen kini selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang.
"Kita mahu lihat SPRM ini tidak diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Kalau masih diletakkan di bawah JPM, ia akan memberi kesan sama iaitu defensif.
"Tapi sekiranya ia dipindahkan dan boleh membuat keputusan bebas dan adil, integriti itu lebih tinggi dan nilainya kepada masyarakat lebih baik kerana ia bebas. Itu antara reformasi yang sangat penting untuk dilaksanakan khususnya kepada SPRM,” ujar pengamal undang-undang itu.
Ikuti temu bual penuh wartawan Sinar Ahad, Raiham Mohd Sanusi dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid serta jurukamera, Rosli Talib bersama Fadhlina di pejabatnya di Shah Alam.
SINAR AHAD: Bermula sebagai peguam syariah, senator dan kini Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah. Boleh ceritakan pengalaman berbeza dari segi kerjaya ini.
FADHLINA: Tidak banyak perbezaan, cuma dewan sahaja berbeza. Kalau sebelum ini di dewan mahkamah, kali ini di Dewan Negara. Asas prinsip hujah atau argument masih sama. Saya masih perlukan data dan fakta. Cuma pengalaman ini bagi saya cukup baik.
Satu, dari segi kapasiti sebagai mewakili parti dan yang kedua, mewakili segmen wanita. Saya betul-betul ambil peluang dalam Dewan Negara untuk mengikuti semua, sama ada perbahasan dan apa sahaja melibatkan rang undang-undang yang saya rasa itu adalah niche atau forte saya.
-- Boleh jelaskan peranan Jawatankuasa Pilihan Khas itu?
Ia salah satu reformasi yang diketengahkan Parlimen pada sidang kali ini. Ia rentetan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang salah satu agenda utamanya ialah untuk mereformasikan Parlimen.
Buat pertama kali dalam Dewan Negara, wujud tiga jawatankuasa utama dan salah satunya jawatankuasa saya yang berkait rapat dengan tadbir urus, integriti dan antirasuah untuk menyiasat, mendapatkan pandangan serta meneliti rang undang-undang (RUU). Kita ada kuasa untuk memanggil mana-mana institusi berkaitan untuk melakukan siasatan dan mengeluarkan laporan kepada umum dan memaklumkan kepada ahli Dewan Negara berkaitan hasil siasatan tersebut.
-- Jawatankuasa itu difahamkan ditubuhkan untuk mentransformasi Parlimen, boleh terangkan lebih lanjut?
Kita ada kuasa untuk meneliti RUU, menyiasat, kemudian melaporkan apa-apa perkara yang dirujuk kepada kita termasuk apa-apa cadangan, usul, petisyen, laporan dan dokumen lain berkaitan isu tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini.
Kita juga boleh meminta kerajaan mengemukakan cadangan rang undang-undang sekiranya perlukan penelitian, kajian atau menyiasat apa-apa perkara lain yang dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas ini.
Jadi jawatankuasa ini sangat signifikan ketika ini. Untuk memastikan bahawa reformasi Parlimen benar-benar terjadi, maknanya fungsi mesti dilaksanakan bukan sahaja jawatankuasa tetapi juga Parlimen.
Jawatankuasa juga boleh memanggil dan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai kumpulan dan pemegang taruh berkaitan dengan isu integriti, antirasuah dan tadbir urus ini.
Di bawah Peraturan Mesyuarat, kita mempunyai kuasa memanggil wakil-wakil tetap dalam jawatankuasa ini termasuk SPRM sendiri dan jabatan lain termasuk Jabatan Peguam Negara.
-- Selepas ahli ekonomi, Profesor Dr Edmund Terence Gomez meletakkan jawatan sebagai ahli panel perundingan SPRM, satu demi satu kepincangan suruhanjaya itu terdedah. Rakyat mula mempersoalkan integriti SPRM sebagai sebuah badan mencegah jenayah rasuah. Apa komen YB?
Ini perkara yang sangat kritikal. Apabila kita boleh senaraikan isu-isu berbangkit daripada SPRM dan media telah melaksanakan fungsi untuk mengetengahkan isu-isu berkenaan, serta perbincangan umum di media sosial, ia menunjukkan bahawa ada asas kukuh untuk menjadikan isu integriti SPRM dibincangkan dengan serius.
Kemuncak isu ialah apabila terkait rapat dengan kepimpinan tertinggi SPRM, sedangkan Malaysia ketika ini mengalami ujian bertimpa-timpa seperti banjir, Covid-19 dan pentadbiran negara.
Kita perlu bagi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat yang diuji pelbagai isu kesihatan dan kebajikan.
Apabila isu khususnya kepimpinan SPRM berlaku, kemudian kepada jawatankuasa tersebut, ada beberapa perkara yang saya rasa signifikan.
Yang pertama mengapa laporan jawatankuasa itu juga berbeza. Dr Edmund mempunyai pendirian berbeza dengan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Kemudian laporan enam lagi ahli panel juga berbeza. Sebab itu, ada tuntutan supaya laporan minit mesyuarat tersebut dikemukakan agar rakyat tahu apakah pendirian sebenar jawatankuasa tersebut berkaitan isu ini.
Naratif integriti melibatkan SPRM mesti diselesaikan segera supaya kepercayaan rakyat menjadi keutamaan dan badan tertinggi yang berkaitan dengan integriti itu dapat dibersihkan.
-- Adakah jawatankuasa ini akan memanggil Tan Sri Azam Baki?
Kita ada satu jawatankuasa mesyuarat akan datang di Parlimen melibatkan jawatankuasa besar sebelum jawatankuasa kami duduk dan bermesyuarat.
Jawatankuasa itu akan menentukan apakah isu-isu berbangkit daripada SPRM dan memang ada kuasa untuk memanggil beliau. Kita akan putuskan semasa mesyuarat itu nanti.
-- Apakah nama jawatankuasa yang berada di atas Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah?
Ia dipanggil Jawatankuasa Parlimen. Parlimen terbahagi kepada dua iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Saya difahamkan Dewan Rakyat akan bermesyuarat dahulu, lepas itu kami. Mesyuarat dilakukan dalam tempoh terdekat.
-- Adakah kepincangan dalam SPRM membuktikan pentadbiran dalam suruhanjaya itu begitu lemah?
Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti yakin dengan semua institusi apatah lagi berkaitan dengan integriti dan rasuah. Tapi apabila institusi itu sendiri terpalit isu-isu dan reputasi tercalar, maka kepentingan awam akan terjejas.
Apabila terjejas, kepercayaan awam seolah-olah dicabul oleh kerana berlakunya isu-isu tersebut. Kita sentiasa mahu percaya dan mahu memastikan bahawa SPRM adalah sebuah institusi yang bebas, adil dan ada integriti. Tapi apa yang berlaku hari ini meragut banyak kepercayaan dan ini bukan pertama kali.
Sebelum ini pun kita telah lihat banyak diketengahkan oleh media mengenai isu-isu yang berkait rapat dengan SPRM tetapi tidak dijawab secara jujur oleh institusi itu sendiri atau kerajaan. Oleh itu kita mencadangkan beberapa langkah untuk menjamin SPRM lebih bebas dan tidak ada campur tangan politik.
-- Apakah cadangan itu?
Kita mahu lihat SPRM tidak diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Kita mahu ia diletakkan di bawah salah satu Jawatankuasa Khas Parlimen dan bersifat atau dipantau secara bipartisan. Maknanya semua parti ada hak dan kuasa pemantauan yang sama. Ini penting kerana kalau SPRM masih diletakkan di bawah JPM, ia akan memberi kesan yang masih sama iaitu defensif.
Sekiranya ia dipindahkan dan boleh membuat keputusan yang bebas dan adil jadi integriti SPRM lebih tinggi dan nilainya kepada masyarakat itu lebih baik kerana ia bebas. Itu antara reformasi yang sangat penting untuk dilaksanakan khususnya kepada SPRM.
-- Pada jangkaan YB, bilakah kita akan lihat SPRM ini diletakkan di bawah Parlimen?
Saya ingat antara perkara paling signifikan apabila MoU itu ditandatangani adalah beberapa proses perbincangan rang undang-undang telah pun mendapat dokongan daripada kedua-dua pihak (kerajaan dan PH).
Kita harap cadangan ini juga disegerakan kerana inilah masanya berikutan keadaan sedang kritikal dan orang sedang membincangkan soal integriti. Inilah masanya untuk kerajaan dan PH untuk membuat keputusan bersama-sama.
-- Adakah kita akan dapat melihat SPRM diletakkan di bawah Parlimen sebelum menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)?
Kalau ada resolusi selepas persida-ngan khas Parlimen barangkali kita boleh lihat perkara tersebut boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Saya fikir ini bukanlah benda baharu, sudah lama dibincangkan. Proses itu sudah lama berjalan, cuma kita nak tahu bila garis masa yang kukuh untuk beri kepercayaan untuk SPRM benar-benar bebas, adil dan tidak lagi diletakkan di bawah JPM.
-- Berhubung isu melibatkan pemilikan saham Tan Sri Azam Baki yang dibeli pada tahun 2016, mengapa perkara itu baru timbul sekarang?
Ini soal integriti dalaman. Kalau ada pemantauan terhadap integriti dalaman, soal isytihar harta dan kedua pastinya soal perlindungan kepada whistleblower atau pemberi maklumat melibatkan kes begini sangat penting.
Tapi apa kesannya? Dalam kes Tan Sri Azam Baki ini, kesannya kepada penjawat awam. Isu Tan Sri Azam hanyalah pencetus kepada isu-isu lain yang sedang kita hadapi. Kita berhadapan dengan isu rasuah yang sistemik, bukan baharu tapi sudah berakar umbi dan sangat kritikal dalam masyarakat.
-- Baru-baru ini Tan Sri Azam Baki mengambil tindakan terhadap'whistleblower’. Apa signifikan tindakan undang-undang yang diambil oleh beliau ini?
Perkara pertama yang perlu kita belajar berkaitan integriti ini adalah peranan whistleblower dan apakah pertimbangan maslahah serta mudarat yang lebih besar kepada negara. Yang kedua, apakah kita sudah bersedia untuk bercakap secara telus melindungi whistleblower demi kepentingan yang lebih besar. Yang ketiga, menjaga keseluruhan integriti. Kita tidak bercakap tentang tindakan beliau (Azam) untuk menyaman whistleblower itu sahaja, tetapi kita bercakap tentang keseluruhan isu ini.
Bagaimana rakyat melihat sebuah institusi yang sepatutnya mempunyai integriti cukup tinggi, dalam masa sama terdapat laporan berbeza berkaitan isu beliau memiliki saham tersebut. Laporan ini juga dipertikaikan enam panel yang mengambil pendekatan berbeza.
Kita juga melihat keputusan beliau untuk menyaman individu tersebut sepatutnya tidak berlaku. Sepatutnya, apa yang berlaku adalah ruang untuk beliau mempertahankan diri.
Yang kedua adalah selepas ada kepincangan laporan yang bertentangan, sepatutnya ada satu lagi badan bebas untuk melihat keseluruhan siasatan tersebut.
Kita juga melihat satu situasi tidak sihat apabila kenyataan daripada SPRM sendiri iaitu pegawai-pegawai tertinggi mempertahankan Tan Sri Azam Baki dan bukannya mempertahankan institusi. Itu juga mesti diambil keputusan dengan tegas.
-- Sebelum ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil ada menyatakan isu salah laku dalam kalangan penjawat awam berlaku saban tahun dan hanya melibatkan individu atau agensi berlainan. Bagaimanapun, tindakan tidak dapat diambil kerana tiada undang-undang khusus. Mengapa itu berlaku?
Saya tidak merasakan tidak ada undang- undang khusus. Yang kita pertikaikan adalah berkaitan dengan proses. Dalam data yang saya kongsikan, dari tahun 2016 sehingga 2021, kita ada sebanyak 27,000 aduan tetapi kenapa hanya 527 sahaja sabitan. Mana pergi dan apa jadi kepada kes-kes lain itu.
Disebabkan itu, kalau kita bercakap tentang undang-undang, kita juga kena tanya tentang proses. Kenapa sabitan itu sangat sedikit berbanding aduan.
Ketelusan siasatan ini mesti dibentangkan sama ada di dalam Parlimen atau ditekankan oleh media supaya ia mendapat perhatian.
Proses aduan, tangkapan, kertas siasatan dan sabitan mesti mendapat perhatian bagaimana ia dijelaskan. Disebabkan itu, Pelan Antirasuah Nasional antara lain untuk melihat bagaimana siasatan kes diterjemahkan dalam konteks ia benar-benar telus. Kita tidak, ada golongan yang disenaraikan dalam senarai ini terlepas, sedangkan terdapat aduan terhadap mereka.
Kalau kita lihat, ada sektor-sektor (rasuah melibatkan) pengurusan tertinggi, profesional, kakitangan sokongan dan orang awam. Kita juga nak tahu, kenapa dalam kalangan swasta dan orang awam ada bulan yang menunjukkan peratus sangat sangat tinggi. Apakah kes rasuah melibatkan mereka ini. Ini semua perkara yang mesti diambil perhatian.
-- Bagaimana untuk memastikan perbicaraan kes-kes rasuah dapat disegerakan dan mahkamah tidak memberi layanan penangguhan kes tanpa alasan yang kukuh?
Ini yang kita panggil mahkamah sebagai proses terakhir dalam sabitan. Kalau telah sampai ke peringkat mahkamah, saya ingat ia adalah bidang kuasa mahkamah menentukan dan mensabitkan kesalahan-kesalahan tersebut. Tetapi tindakan sebelum itu bagi saya kita panggil sebagai proses pendidikan dan advokasi kepada rakyat dan ia mesti tegas serta tidak boleh kompromi.
-- Bagaimana YB melihat kempen gerakan Rasuah Busters melalui #MalaysiaTanpaRasuah? Apa cara terbaik kita boleh menyampaikan mesej untuk membenci amalan rasuah ini kepada rakyat?
Saya puji gerakan ini cukup konsisten. Dalam keadaan budaya rasuah sudah membarah dan amalan rasuah menjadi sistemik dalam masyarakat, sinergi antara masyarakat madani dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) harus lebih kukuh.
Satu lagi sinergi yang cukup penting melibatkan segmen masyarakat ialah komuniti Parlimen. Kita tidak boleh ambil mudah komuniti Parlimen kerana banyak keputusan-keputusan penting negara diputuskan di Parlimen. Parlimen kena berfungsi lebih agresif seperti bercakap tentang rasuah.
Yang ketiga ialah cendekiawan. Saya teringat buku terkini Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan yang cukup penting apabila beliau menyentuh isu korupsi dalam kalangan pemimpin Melayu Islam. Ini adalah gambaran bagi saya cukup kritikal apabila seorang cendekiawan melakarkan kebimbangan beliau terhadap korupsi atas nama Melayu Islam.
Kemudian, ahli profesional. Dalam senarai salah laku swasta, kakitangan sokongan, profesional dan tertinggi, kita perlu mengambil perhatian dan mesti wujud komuniti yang antirasuah dalam kalangan mereka.
Akhir sekali ialah rakyat. Rakyat mempunyai banyak komuniti. Salah satu komuniti yang sangat aktif membincangkan rasuah dan isu Tan Sri Azam Baki ialah komuniti Twitter. Kita dapat lihat bagaimana proses perbincangan itu menjadi satu isu yang sangat besar apabila disebarkan di Twitter.
Kita juga kena berlaku adil bahawa tidak ada orang akan bercakap tentang rasuah jika perut mereka kosong. Isu rasuah ini tidak akan menjadi penting kalau perut kosong seperti tiada pekerjaan. Disebabkan itu, isu-isu ekonomi, perlindungan sosial, keadilan sosial mesti dibereskan oleh semua pemimpin negara.
Kalau isu-isu ini tidak dibereskan segera, penggangguran, kadar gaji minima boleh menjadi faktor rakyat terlibat dengan rasuah.
Yang terakhir adalah desakan kepada kerajaan dan pembangkang. Jangan pinggirkan pembangkang dalam isu ini. Isu rasuah adalah isu semak dan imbang. Kalau kita semak dengan kerajaan, imbangnya suara pembangkang yang lebih kuat untuk memastikan proses-proses di Parlimen itu berlaku seperti sidang khas dan reformasi.
Dalam keadaan hari ini, pembangkang perlu melaksanakan kerja mereka lebih kuat untuk memastikan reformasi ini berjalan dengan lebih segera.
-- Apa cadangan YB untuk menambah baik SPRM agar integritinya terjaga?
Atas kapasiti Ahli Dewan Negara, saya ingat perkara paling penting adalah satu sidang khas perlu dibuat segera kerana kita perlu fakta sama ada betul atau tidak fakta-fakta (dikemukakan) ini.
Sekarang ini, fakta-fakta ini kita dapat daripada media, whistleblower dan kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak.
Fakta ini kita perlu establish segera betul atau tidak, buktinya mana, apakah siasatan telah dibuat, siapa yang pantau, ke mana laporan-laporan ini, kenapa laporan-laporan ini bercanggah dan tentang pihak ketiga.
Rakyat juga telah penat dengan keadaan apabila melihat isu-isu campur tangan akan memberikan sangka buruk lebih teruk kepada imej SPRM.
Kita mesti terus mempertahankan institusi melibatkan integriti sebab ini adalah satu-satunya ruang mempertahankan kepercayaan rakyat. SPRM adalah autoriti paling tinggi dalam konteks integriti.
Kalau ia tercalar dengan imej terkait rapat dengan rasuah, tidak telus dan budaya pemisif dalam konteks ekosistem itu sendiri, saya rasa agak sukar untuk rakyat memberikan kepercayaan kepada SPRM selepas ini.
PROFIL
Nama: Senator Fadhlina Sidek
Umur: 45 Tahun
Asal: Selangor
Jawatan:
- Ahli Dewan Negara
- Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah Dewan Negara
- Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Kelulusan:
- Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
- LLB (Syariah) UIAM
- Ijazah Sarjana Undang-Undang (LLM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Klik di sini untuk terus membaca