SHAH ALAM - Pasangan suami isteri terpaksa melakukan kerja tambahan bagi menambah pendapatan susulan kos perbelanjaan seisi keluarga pada tahun ini meningkat berbanding tahun sebelumnya. Perkara itu dilalui sendiri oleh Mohd Hazal Shah, 33,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pasangan suami isteri terpaksa melakukan kerja tambahan bagi menambah pendapatan susulan kos perbelanjaan seisi keluarga pada tahun ini meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Perkara itu dilalui sendiri oleh Mohd Hazal Shah, 33, apabila dia terpaksa melakukan dua pekerjaan dalam satu hari bagi menampung perbelanjaan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan untuk isteri dan dua orang anaknya.

"Selain bekerja sebagai juruteknik, saya juga ada buat kerja sambilan di kantin kilang selama empat jam, setiap Isnin hingga Jumaat. Ini sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan saya yang mencecah hampir RM2,000 sebulan.

"Selepas tolak barang keperluan rumah, anak sekolah dan rumah sewa, tinggal lebih kurang tiga ratus sahaja untuk saya. Jadi, sekarang beli barang ikut mana yang perlu sahaja, tak boleh boros.

"Selain itu, isteri saya pun turut membantu mencari sumber pendapatan dengan membuat tempahan kek dan aiskrim. Ini secara tidak langsung membantu meringankan beban saya memandangkan gaji yang diterima tidaklah setimpal,” katanya kepada Sinar Ahad.

Anggaran kos minimum perbelanjaan bulanan sebuah keluarga (seorang anak).

Sementara itu, suri rumah, Nursyila Idris, 39, turut mengambil keputusan untuk membantu suaminya memperoleh sumber pendapatan tambahan dengan membuat kuih sejuk beku (frozen) di rumah.

"Walaupun suami saya sudah bekerja, namun pendapatan yang diperoleh hanya ‘cukup-cukup makan’ sahaja untuk kami sekeluarga. Sebab itu saya ambil keputusan bantu suami dengan menjual kuih frozen.

"Ditambah pula perbelanjaan setiap bulan hampir mencecah RM1,500. Itu tak termasuk lagi dengan kos pendidikan anak-anak. Tiga yang masih bersekolah. Seorang sekolah berasrama penuh (SBP), dua orang lagi sekolah harian biasa,” katanya yang berasal dari Perak.

Seorang lagi suri rumah, Suhaili Haron, 44, pula berkata, dia dan suami terpaksa mengehadkan perbelanjaan dengan mengutamakan mana yang betul-betul perlu sahaja.

"Dari segi keperluan, saya dan suami perlu berdikari. Kadang-kadang kalau nak beli barang tengok harga mahal memang akan rasa tertekan. Tetapi kita cuba kawal dengan barang keperluan lain. Fokus kepada barang penting dahulu,” katanya yang berasal dari Terengganu.

Dalam pada itu, Ellen Enjelina, 34, yang bekerja sebagai pendandan rambut di sebuah salon pula turut mengakui peningkatan kos perbelanjaan tahun ini telah memberi kesan yang mendalam kepada dia dan keluarga.

"Barang keperluan asas kalau kita tengok harga naik dengan banyak. Jadi, dalam situasi ini saya dan suami perlu bekerja dengan lebih keras lagi untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga,” luahnya.

Klik di sini untuk terus membaca