SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua Chang berpandangan bahawa pengurangan kos logistik dapat membantu masalah kenaikan harga sara hidup yang dihadapi oleh rakyat dalam negara ini.
Ujar beliau, bantuan kepada syarikat logistik serta pengeluar barang-barang keperluan perlu diberikan bagi meringankan beban kos yang ditanggung oleh mereka.
"Kos (sara hidup) meningkat kerana kita bergantung kepada importasi barang keperluan asas.
"Dengan currency (mata wang) kita yang rendah ini, kita terpaksa menanggung kenaikan kerana harga barang dunia meningkat.
"Perlu satu sistem bantuan yang komprehensif untuk menjaga kebajikan dan membantu perniagaan mereka supaya boleh mengeluarkan barang-barang keperluan ini dengan lebih berkesan dan kos murah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengurusan pemberian permit import syarikat (AP) juga perlu dikawal dengan baik.
Menurutnya, terdapat keadaan di mana permit tersebut diberikan kepada orang yang tidak mempunyai pasaran.
"Mungkin ia diberi kepada orang tertentu dan kemudian mereka akan menjualnya kepada orang lain. Ini yang menambahkan kos.
"Jadi semua perkara ini harus diberi tumpuan untuk keluarkan satu dasar yang lebih berkesan.
"Ia harus dilaksanakan dengan lebih telus untuk memastikan mereka yang memegang AP adalah orang yang betul-betul mengedar kepada pasaran,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca