KEJADIAN banjir adalah cabaran keselamatan bukan tradisional. Negara telah dikejutkan dengan musibah banjir besar baru-baru ini yang terjadi akibat hujan lebat berterusan di kebanyakan kawasan Semenanjung Malaysia. Banjir besar di Lembah... Klik di sini untuk terus membaca

KEJADIAN banjir adalah cabaran keselamatan bukan tradisional.

Negara telah dikejutkan dengan musibah banjir besar baru-baru ini yang terjadi akibat hujan lebat berterusan di kebanyakan kawasan Semenanjung Malaysia.

Banjir besar di Lembah Klang adalah paling serius sejak banjir Kuala Lumpur 1971, malah ia juga digelar ‘banjir 100 tahun’ kerana kawasan Lembah Klang lazimnya kurang mengalami banjir berbanding pantai timur.

Oleh itu, tahap siap siaga di Lembah Klang berada pada tahap rendah sehingga mengakibatkan puluhan ribu orang awam terpaksa dipindahkan dan sekurang-kurangnya 19 orang terkorban.

Ancaman keselamatan bukan tradisional boleh didefinisikan sebagai cabaran keselamatan terhadap kelangsungan hidup dan kesejahteraan masyarakat serta negara yang timbul terutama daripada sumber bukan tentera dan pelaku negara, antaranya kerosakan alam sekitar, ketandusan sumber tenaga, rentas sempadan, penyakit berjangkit, pelanunan dan pengganas.

Isu keselamatan bukan tradisional adalah cabaran keselamatan yang berbeza dengan ancaman keselamatan tradisional melibatkan konflik ketenteraan, politik dan diplomatik.

Jenis-jenis ancaman keselamatan bukan tradisional termasuklah pelanunan dan rompakan di laut, narkotik dan jenayah terancang transnasional, serangan pengganas, pencemaran alam sekitar, banjir besar, penyeludupan barangan dan manusia, wabak penyakit dan ancaman siber.

Ia mengancam secara drastik dan dalam jangka masa singkat mampu menurunkan kualiti hidup penduduk sesebuah negara.

Ancaman juga boleh menyebabkan kehilangan nyawa, kerugian harta benda dan mengganggu gugat kestabilan politik serta ekonomi sesebuah negara. Dengan kata lain, ancaman daripada keselamatan bukan negara mampu memberi kesan kepada manusia secara langsung.

Kebarangkalian yang lebih besar bagi seseorang cedera dan kehilangan nyawa serta harta benda akibat ancaman keselamatan bukan tradisional adalah lebih tinggi daripada akibat tercetusnya perang antara negara.

Malaysia kini sedang menghadapi cabaran keselamatan bukan tradisional yang amat kritikal, contohnya ancaman Covid-19, penyeludupan manusia – Malaysia dikategorikan Tier 2 dalam Watch List 2018 Trafficking in Persons, penipuan Macau Scam dan ancaman narkotik. Isu pencemaran alam sekitar juga harus diberi perhatian sewajarnya.

Negara telah dikejutkan dengan isu pencemaran di Sungai Kim Kim dan Pasir Gudang, Johor yang telah menyebabkan ramai penduduk dimasukkan ke hospital. Malah, pencemaran empangan air Sungai Selangor sering menyebabkan ribuan penduduk di kawasan Lembah Klang terpaksa menghadapi gangguan bekalan air.

Negara juga menghadapi masalah jerebu yang melanda setiap tahun sehingga sekolah terpaksa ditutup.

Usaha menangani cabaran keselamatan bukan tradisional memerlukan kerjasama domestik dan antarabangsa.

Di peringkat domestik memerlukan usaha bersepadu pihak beruniform seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Imigresen serta bukan beruniform.

Di peringkat antarabangsa, Malaysia bekerjasama dengan negara-negara di rantau Asia Tenggara dan organisasi antarabangsa, misalnya Malaysia-Singapura PDRM dengan Singapore Police Force (SPF) dan Malaysia-Thailand PDRM-Royal Thai Police (RTP).

Cabaran keselamatan bukan tradisional sudah lama wujud. Bagaimanapun, ia menjadi lebih ketara akibat proses globalisasi khasnya perkembangan teknologi perhubungan dan pengangkutan.

Ancaman keselamatan bukan tradisional melibatkan pelaku negara dan bukan negara. Jenis ancaman merangkumi aspek ketenteraan dan bukan ketenteraan.

Oleh itu, ia memerlukan kaedah penyelesaian lebih menyeluruh melibatkan politik, keselamatan, perundangan,ekonomi dan sosial, tidak hanya penguatkuasaan semata-mata.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca