UMAT Islam sentiasa mengharungi cabaran dari segenap aspek.
Sebagai salah seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, saya berasakan cabaran dihadapi semakin getir dari hari ke hari.
Apatah lagi, tatkala era defisit integriti dalam kalangan ahli politik, penjawat awam dan pegawai penguat kuasa seperti yang sedang tular ketika ini.
Di manakah umat Islam ingin menaruh kepercayaan kerana integriti mereka dipersoalkan.
Akhirnya beban itu terpaksa digalas di pundak NGO Islam bagi meneruskan agenda Islam di tanah air.
NGO Islam bukan sahaja memainkan peranan memandaikan umat tetapi harus ke depan menjadi wahana menggerakkan kebajikan dan kepentingan Islam serta institusi agama Islam.
Strategi ampuh perlu digarap untuk menghadapi segala dugaan pada masa hadapan dalam usaha memartabatkan Islam di Malaysia.
Mereka hendaklah tidak lagi bersifat retorik tetapi lebih praktikal berstrategi. Disebabkan itu NGO didambakan bersifat non-partisan terhadap politik kepartian.
Mereka harus mendukung pandangan tanpa mengambil kira apakah pandangan parti-parti politik tertentu.
Walaupun tidak menyertai pilihan raya, NGO khususnya NGO Islam Malaysia melihat pilihan raya sebagai wadah perubahan masyarakat.
Atas prinsip itu, NGO Islam sentiasa menjalin hubungan dengan parti politik tanpa mengira sama ada parti kerajaan atau pembangkang. NGO sebagai kuasa ketiga hendaklah dilihat melengkapi perjuangan memartabatkan Islam di Malaysia.
Menjadi tanggungjawab semua wakil rakyat untuk mendaulatkan Islam, sesuai dengan kedudukannya sebagai agama Persekutuan.
Apatah lagi, sebagai sebuah negara majoriti Islam yang mengiktiraf peranan penting Islam dalam sistem politik, ekonomi dan undang-undang.
Justeru, NGO Islam mestilah berdaya mencorakkan pendirian ahli politik, bukannya ahli politik mencorakkan pandangan NGO Islam. Hal itu perlu diperbetulkan.
Islam mesti dihayati dalam maksudnya yang sebenar iaitu sebagai cara hidup, bukan terhad kepada amalan ritual atau ibadah khusus semata-mata.
Ia termasuk menjaga integriti dan ketelusan badan perundangan serta penguatkuasaan seperti Parlimen dan agensi kerajaan termasuklah mahkamah, penguat kuasa dan pendakwaan agar bebas rasuah, salah guna kuasa atau menjadi ejen perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Pembetulan secara dalaman atau intra umat Islam juga perlu dilakukan bagi memastikan negara maju dan dapat mendaulatkan Islam kerana umat Islam adalah komposisi penting serta terbesar dalam demografi rakyat Malaysia.
Dalam isu inter-agama pula, umat Islam dalam kalangan NGO dan pertubuhan politik mestilah bersatu atas asas akidah yang satu.
Terdapat pelbagai cabaran dan dugaan dihadapi umat Islam yang memanggil umat Islam duduk semeja menyelesaikan segala permasalahan antara agama dengan hikmah yang didasari jurisprudens Islam itu sendiri.
Segala usaha hendaklah dipadukan bagi meningkat tahap profesionalisme dan keberkesanan agensi Islam bagi mendaulatkan Islam di Malaysia.
Seorang Muslim yang baik sudah pasti menjadi warga negara dibanggakan. Proses pembentukan jati diri Muslim perlu dilaksanakan melalui sistem pendidikan yang mementingkan Islam sebagai cara hidup.
Sebagai sebuah negara majoriti Islam yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, keharmonian hubungan kaum serta agama adalah ramuan utama kestabilan politik dan ketenteraman awam.
Usaha ekstremis agama dan perkauman sempit hendaklah ditolak. Pemimpin dipilih hendaklah mempertingkatkan komitmen terhadap keharmonian hubungan kaum dan agama.
Rakyat Malaysia berasa sugul ketika ini kerana terdapat dakwaan terhadap pemegang amanah seperti penguat kuasa dan mahkamah menyalahgunakan kuasanya.
Sangat penting bagi institusi berkenaan dapat membersihkan nama mereka supaya defisit keyakinan dapat dihapuskan.
Pada masa sama, kita tidak boleh terus menghukum mana-mana pihak semata-mata atas dakwaan yang belum dibuktikan lagi. Biarlah undang-undang mengambil tempatnya.
Di sini juga terdapat peranan NGO dalam memandaikan umat mengenai isu berbangkit agar tidak melatah terhadap mana-mana tindakan yang diambil.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca