SHAH ALAM - Peningkatan harga perbelanjaan serta pendapatan rendah rakyat Malaysia mempengaruhi kos sara hidup mereka dan inflasi yang semakin meningkat. Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peningkatan harga perbelanjaan serta pendapatan rendah rakyat Malaysia mempengaruhi kos sara hidup mereka dan inflasi yang semakin meningkat.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, sehingga hari ini, perkara tersebut dilihat tidak seimbang dan perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

Tambahnya, bencana banjir besar yang berlaku sebelum ini juga menyumbang kepada peningkatan harga barang serta kemusnahan harta benda.

"Kalau sebelum ini peningkatan harga barang berubah disebabkan cuaca yang tidak menentu seperti musim tengkujuh.

"Jadi perkara seperti ini yang menyebabkan tidak seimbang dan mengganggu kos sara hidup rakyat Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengguna perlu seimbang dari segi perbelanjaan dan pendapatan untuk mengawal kos sara hidup mereka.

Jelas Yusof, kerajaan juga ada membantu menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukan namun tidak mencukupi.

"Kita faham ada daripada mereka yang terjejas akibat banjir dan pandemik ini, ada yang diberhentikan kerja dan ada yang dapat kerja pun tidak menentu.

"Walau bagaimanapun, dengan bantuan kerajaan yang minimum itu diharap dapat lah membantu mereka untuk teruskan kehidupan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu melihat dan mengkaji semula dasar bagi setiap sektor bagi membantu rakyat meneruskan kehidupan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Menurutnya, perkara tersebut tidak susah untuk dilakukan sebaliknya ia akan memberi sedikit harapan baharu kepada rakyat.

"Sekiranya tidak dikaji semula, ia akan mengikut kepada kejahilan pengguna yang pada akhirnya akan memberikan beban kepada rakyat,” jelasnya.

Selain itu, Nadzim berkata, kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan kepada peniaga dan pembekal yang menipu untuk keuntungan mereka sendiri.

"Penguatkuasaan ketika ini lemah, seperti ayam harga turun tetapi tidak cukup dan kalau harga naik pula, perkara lain yang berlaku.

"Peniaga ini tidak takut, tipu pun tidak apa, paling-paling tidak kena denda sahaja, maka penguatkuasaan yang ketat perlu dilakukan,” katanya.

Ujar beliau, sekiranya dasar setiap sektor itu dapat dikaji semula maka ia akan dapat membantu rakyat dan pengguna untuk meneruskan kehidupan ketika kos sara hidup semakin tinggi.

Klik di sini untuk terus membaca