SHAH ALAM - Perbelanjaan setiap keluarga di negara ini dijangka meningkat sehingga 30 peratus pada tahun ini disumbangkan oleh kenaikan harga barang.
Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, sesebuah keluarga perlu membuat pertambahan sehingga RM600 dalam perbelanjaan bulanan jika sebelum ini membelanjakan sekitar RM2,000 sebulan.
"Kalau kita perhatikan, kos barang yang dijual mengalami peningkatan, contohnya makanan yang dijual. Bahan mentah seperti ayam, barang keperluan pendidikan dan sebagainya mengalami peningkatan yang agak ketara.
"Kenaikan itu sekitar 10 hingga 30 peratus yang sekali gus akan memberikan kesan kepada perbelanjaan keluarga untuk tahun ini. Kita sebagai pengguna mungkin tidak ada pilihan lain selain menghadapi kos kenaikan ini,” katanya kepada Sinar Ahad.Menurutnya, pendapatan rakyat di negara ini sekadar ‘cukup makan’ untuk memenuhi keperluan bulanan berdasarkan purata gaji yang diterima oleh sesebuah keluarga.
"Kalau peningkatan ini terus berlaku, saya melihat pendapat sesebuah keluarga itu sekadar cukup untuk memenuhi keperluan asas dan semasa. Jadi, sedikit mencabar untuk memenuhi perbelanjaan kehendak yang lain,” tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sesebuah keluarga perlu bijak untuk menyesuaikan diri dalam keadaan kenaikan kos sara hidup ini terutama mengubah gaya hidup dan memilih berbelanja terhadap barang keperluan sahaja.
"Jika kita tahu keperluan sekarang ini terhadap perbelanjaan harian anak ke sekolah, yuran pengasuh dan sebagainya, maka ubah gaya perbelanjaan kita dengan mengurangkan perbelanjaan barang tidak perlu.
"Orang kata rakyat terkesan, tetapi apabila saya pergi pusat beli-belah, saya tengok pengguna berbelanja luar biasa. Malah, kita juga lihat sentiasa ada kereta baharu di atas jalan raya,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau melihat situasi pendapatan setiap orang mungkin tidak sama dan golongan berpendapatan rendah akan sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup tersebut.
"Apabila sudah buat langkah perbelanjaan berhemah, namun pendapatan tidak juga cukup. Maka, kita kena fikir juga cara bagaimana untuk dapatkan pendapatan tambahan. Dalam pembentang Bajet 2022 dan negara juga sedang ke arah gig ekonomi dan ekonomi digital.
"Pengguna mungkin boleh melihat kepada medium tersebut untuk menambah pendapatan,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut mengharapkan kerajaan supaya lebih tegas dalam menguatkuasakan pemantauan terhadap sebarang kenaikan harga, sekali gus membantu rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca