ORANG ramai, khususnya bumiputera wajib mengetahui dan mengambil berat hal-hal berkaitan ekonomi demi kebaikan diri mereka serta mengelak ditipu. Hari ini kita menderita pelbagai masalah dan menjadi mangsa eksploitasi dalam bidang ekonomi... Klik di sini untuk terus membaca

ORANG ramai, khususnya bumiputera wajib mengetahui dan mengambil berat hal-hal berkaitan ekonomi demi kebaikan diri mereka serta mengelak ditipu.

Hari ini kita menderita pelbagai masalah dan menjadi mangsa eksploitasi dalam bidang ekonomi kerana ramai tidak memahami dan tidak berminat isu-isu ekonomi.

Antara konspirasi ekonomi yang memberi kesan paling teruk kepada negara dan rakyat adalah persekongkolan antara elit politik dengan perkhidmatan awam dan korporat.

Saya mencipta ungkapan sumbang mahram korporat bagi memperjelaskan fenomena itu.

Kali pertama saya menyedari fenomena ini apabila kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mula mengubah landskap perniagaan kerajaan dengan melancarkan syarikat-syarikat raksasa yang berpaksikan hutang bermotif tersembunyi.

Contoh yang sering saya sebut sebagai manifestasi sumbang mahram korporat ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Fenomena itu melibatkan kegiatan seperti pakatan sulit, percanggahan kepentingan dan bertindak serentak.

Semua atau sebahagian daripada kegiatan berkenaan menyalahi undang-undang di bawah Kanun Keseksaan, Akta Syarikat dan Akta Sekuriti.

Kecenderungan itu mula menjadi ketara apabila Najib sebagai Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan mengambil alih Terengganu Investment Authority (TIA) daripada kerajaan Terengganu dan mengubahnya menjadi 1MDB.

Saya telah ceritakan bagaimana 1MDB menyeret tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ke dalam urus niaganya.

Akhirnya semua itu hancur apabila 1MDB ketandusan wang disebabkan perniagaan tidak menguntungkan dan tidak berdaya lagi membayar balik hutang berjumlah lebih RM50 bilion. Hutang itu terpaksa diambil alih kerajaan dan dibayar dengan duit cukai rakyat.

September lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan baki hutang 1MDB setakat 15 Julai 2020 masih ada RM41.36 bilion.

Dalam tempoh pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, beberapa konspirasi sumbang mahram dan penipuan korporat raksasa telah didedahkan. Selain 1MDB, konspirasi itu juga berlaku di Tabung Haji, Felda, Felcra dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Semua agensi itu telah menjalani pengauditan forensik, penyusunan semula pengurusan dan kewangan serta tindakan undang-undang ke atas ahli lembaga pengarah serta pegawai yang terbabit.

Tetapi kerajaan PH tidak cukup pantas melaksanakan reformasi institusi yang dijanjikannya. Apabila ia dijatuhkan, reformasi yang sudah dilaksanakan sama ada dimansuhkan, dipinda atau dilengah-lengahkan.

Kita boleh kata, apa yang sedang berlaku dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) adalah akibat reformasi separuh jalan atau tidak terlaksana itu.

Dalam siasatan Suruhanjaya Sekuriti ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkaitan perniagaan saham, unsur-unsur percanggahan kepentingan, jual beli saham berasaskan maklumat dalaman (insider trading) dan bertindak secara bersama adalah relevan.

Begitu juga sebarang siasatan ke atas SC susulan aduan yang dibuat terhadapnya, wajib melihat hal-hal berkaitan percanggahan kepentingan, pertuduhan terpilih kes-kes insider trading, kronisme dan nepotisme, campur tangan luar serta kerahsiaan maklumat.

Sudah pun ditimbulkan persoalan mengenai tindakan sambil lewa atau tiada tindakan ke atas tokoh-tokoh korporat terlibat dengan insider trading, pelantikan ahli lembaga pengarah dalam kalangan ahli keluarga orang kenamaan dan penyertaan ahli lembaga pengarah syarikat tersenarai dalam lembaga pengarah SC.

Kesimpulannya, apabila berlaku keadaan di mana institusi-institusi utama ini terpaksa menyiasat atau mengambil tindakan ke atas satu sama lain dalam hal-hal berkaitan rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa, maka timbul persoalan berkenaan ketelusan, profesionalisme dan integriti mereka.

Atas alasan inilah, reformasi institusi yang lengkap wajib terus menjadi agenda politik dan pentadbiran negara.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca