RAMAI orang melibatkan diri sebagai ahli sukarelawan untuk memberi bantuan kemanusiaan semasa berlakunya krisis bencana alam.
Penyertaan rakyat Malaysia dalam menyumbang bakti semasa krisis penyakit Covid-19 dan banjir baru-baru ini telah membuktikan bahawa rakyat ini memiliki semangat kesukarelawanan yang tinggi dan menyokong slogan kita jaga kita.
Penyertaan aktiviti sukarelawan berubah mengikut aliran sosioekonomi atau alam sekitar. Kebanyakan orang ramai lebih fokus pada aliran sukarelawan komuniti secara tidak formal berbanding kesukarelawanan berdasarkan pada teknologi dan penglibatan majikan seperti menjawab pertanyaan mangsa krisis dalam talian.
Sesungguhnya, kesukarelawanan kekal sebagai pemacu aspek pembangunan politik, sosial dan ekonomi dalam menggalakkan pertumbuhan manusia yang lestari Cabaran utama dihadapi oleh pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan adalah membangunkan pengurusan data yang baik jika melibatkan ahli dan penganjuran aktiviti sukarelawan yang banyak, lantas mengehadkan penglibatan mereka dalam sebarang aktiviti kesukarelawanan yang akan disertai.
Oleh itu, salah satu cara berkesan untuk menghadapi isu ini adalah dengan menggunakan sistem pengurusan sukarelawan yang efisien. Selari dengan keperluan era teknologi digital dan kos efektif, sistem pemetaan atau kartografi digital ialah teknologi yang mampu menangani isu ketidakurusan data kemanusiaan ini.
Teknologi ini berkaitan dengan pembuatan, penganalisisan dan penggunaan peta, pelan, carta dan seumpamanya. Bagaimanapun, sistem lokasi ini masih tidak digunakan sepenuhnya bagi keperluan maklumat sukarelawan negara seperti pemetaan dan perkongsian maklumat secara pintar.
Hari ini, pembuatan peta telah mencapai ke tahap lebih tinggi dari segi perincian dan ketepatan dengan penggunaan teknik canggih seperti penderiaan jauh (RS), Sistem Penentududukan Sejagat (GNSS), Sistem Maklumat Geografi (GIS), pesawat udara tanpa pemandu (UAV/Dron) data raya (big data) dan lain-lain. Bidang GIS yang pesat berkembang adalah salah satu aplikasi utama dalam kartografi digital yang dipengaruhi oleh sistem pengurusan data.
Pengurusan data adalah operasi penting kerana ia boleh membangunkan dan mengurus sistem pangkalan data kesukarelawan dengan mudah dan menjimatkan. Pemetaan GIS yang interaktif turut diaplikasikan oleh beberapa organisasi dunia seperti PBB, Open Street dan ArcGIS bagi tujuan bantuan sosial atau kemanusiaan.
Contohnya, Pasukan OpenStreetMap Kemanusiaan (HOT) adalah organisasi bukan berasaskan keuntungan telah membangunkan sistem peta kemanusiaan secara percuma, komprehensif dan terkini dan diberikan kepada badan kerajaan dan bukan kerajaan. Ini sebagai tanda sokongan moral mereka kepada wilayah atau penduduk dunia yang terjejas akibat krisis bencana alam.
Beberapa agensi tempatan juga telah menghasilkan sistem pengurusan maklumat bantuan seperti laman sesawang MyCare, MyRela, dan MERCY. Sistem-sistem tempatan ini boleh ditingkatkan lagi dengan gabungan aplikasi pemetaan dan analisis GIS bagi pengurusan data kesukarelawanan yang sistematik.
Sistem pemetaan memudahkan operasi data seperti carian, analisis, penggunaan, ujian, dan menyampaikan sistem antara muka navigasi berasaskan laman dan mudah alih.
Keseluruhannya, pembangunan aplikasi pemetaan untuk program sukarelawan di Malaysia amat penting kepada semua pihak khususnya untuk meningkatkan kecekapan organisasi dalam mengendalikan maklumat sukarelawan negara dan sebagai alat bantu membuat keputusan yang pantas dan cepat demi keselamatan sejagat.
* Ts Gs Dr Abdul Rauf Abdul Rasam ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Ukur dan Geomatik, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU), UiTM Shah Alam.
Klik di sini untuk terus membaca