PADA awal tahun 2011 di Kuala Lumpur, saya telah bertanya satu soalan kepada dua orang hakim Malaysia yang sangat senior dan mempunyai integriti yang dihormati. Kedua-dua hakim yang berlainan agama ini ialah kenalan saya dan kami bertutur... Klik di sini untuk terus membaca

PADA awal tahun 2011 di Kuala Lumpur, saya telah bertanya satu soalan kepada dua orang hakim Malaysia yang sangat senior dan mempunyai integriti yang dihormati. Kedua-dua hakim yang berlainan agama ini ialah kenalan saya dan kami bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Maksud soalan yang saya tanyakan di tempat dan masa berlainan itu ialah: "Apakah yang diperlukan untuk menjadi seorang hakim yang rasuah?” Hakim pertama menjawab dengan spontan: "Prof, bergantung siapa bapa anda. Jika bapa anda seorang yang corrupted, senanglah anda menjadi corrupted!"

Seterusnya saya ringkaskan jawapan hakim kedua: "Jika sistem itu buruk maka mudahlah rasuah berlaku. Sebab itu orang yang benar-benar beriman tidak boleh dirasuah. Menurut hadis, dua daripada tiga orang hakim akan masuk neraka. Prof, kita kena jaga iman kita.”

Selepas 11 tahun, jawapan dan wajah kedua-dua hakim yang berlainan bangsa ini terus terpahat dalam kotak memori saya.

Bila kita meneliti logik hakim yang pertama, agaknya semakin ramailah rakyat Malaysia yang akan menjadi perasuah atau penerima rasuah, kerana semakin ramai bapa Malaysia yang rasuah.

Hakim kedua pula mengingatkan akan sistem governans yang baik di samping keimanan orang Islam khususnya. Tidak ada gunanya jika tadbir urus institusi dan negeri baik, tetapi manusia yang menggerakkannya berakhlak hina dan beriman lemah.

Ramai Muslim yang dihukum sebagai penjenayah rasuah terdiri daripada mereka yang kelihatan mendirikan solat serta melaksanakan zakat, puasa, umrah dan haji. Atau, rasuahlah sepuas-puasnya, kemudian bertaubat, istighfar, solat, umrah dan haji; tanpa mempedulikan amanah rakyat yang dikhianati.

Transparency International (TI) ialah sebuah organisasi antarabangsa yang mempunyai satu visi: Dunia Tanpa Rasuah. TI yang ditubuhkan oleh beberapa orang mantan staf antarabangsa Bank Dunia telah diasaskan di Jerman pada 1993. Ia kini beroperasi di lebih 100 buah negara dan berjuang untuk menamatkan kezaliman korupsi dengan mempromosi ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

Indeks Pengamatan Rasuah (IPR) atau Corruption Perceptions Index (CPI) yang diterbitkan setiap tahun oleh TI tidak sepi daripada pengkritiknya. Namun laporan TI ini masih terus dihormati oleh banyak negara di dunia dan laporan tahunan TI-Malaysia terus diikuti hingga kini. CPI untuk tahun 2021 akan diterbitkan beberapa hari lagi pada bulan Januari ini.

Telahan saya ialah prestasi CPI Malaysia tidak akan bertambah baik, jika ia tidak merosot.

Homo Sapiens bermakna insan bijaksana (wise human) dalam bahasa Latin. Homo Corruptus pula bermakna insan rosak (marred human) atau insan korup. Di dunia, Homo Sapiens boleh mudah menjadi Homo Corruptus sewaktu ia berada di tampuk kuasa.

Amalan korupsi yang keji ini berlaku dalam kalangan profesor dan politikus, serta orang papa dan orang kaya. Mereka mahu mengaut keuntungan dengan cara jalan pintas dan cepat. Simptom utama yang didapati pada diri Homo Corruptus ialah kemewahannya melebihi daripada kemampuannya.

Dalam beberapa buah negara dunia ketiga, sistem siasah serta birokrasinya telah diubahsuai supaya mesra rasuah. Golongan Homo Corruptus akan terus mengundi jenis mereka, yakni kelompok yang korupsi juga.

Negara-negara ini kronik kelemahannya dan berterusan kepapaannya. Jika usaha kita tidak cukup dan doa kita tidak dimakbulkan Tuhan, Malaysia boleh berada dalam ‘kelab’ ini satu dasawarsa lagi.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Yayasan Ikram Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca