PADA satu majlis makan malam yang dianjurkan oleh sebuah persatuan penduduk, penulis telah ditanya dengan soalan yang bertubi-tubi apakah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan selepas itu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam... Klik di sini untuk terus membaca

PADA satu majlis makan malam yang dianjurkan oleh sebuah persatuan penduduk, penulis telah ditanya dengan soalan yang bertubi-tubi apakah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan selepas itu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam tempoh yang terdekat ini.

"Bergantung kepada siapa soalan itu ditujukan,” jawab penulis.

Dan untuk setiap kumpulan kita akan perolehi jawapan yang berbagai dan berlainan.

Jika soalan itu ditujukan kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO, jawapannya ialah "Ya! PRN Johor dalam tempoh terdekat dan PRU15 pun pada tahun ini.” Itu pun bergantung kepada kumpulan mana dalam UMNO yang kita tanya.

Tak perlu dijelaskan kumpulan mana kerana kita semua boleh teka yang mana satu.

Secara umumnya, mereka yang dalam UMNO dan BN yang menyaksikan bagaimana PRN Melaka telah menghasilkan kejayaan besar dan luar biasa mahukan momentum tersebut diteruskan dalam satu lagi PRN.

Yang paling hampir ialah PRN Johor kerana kerajaan negeri yang dipimpin UMNO sekarang cuma punya kelebihan satu kerusi sahaja ekoran kematian Datuk Osman Sapian baru-baru ini.

Walaupun senario dan landskap politik di Johor sedikit berlainan berbanding Melaka dengan DAP, Amanah, Pas dan Bersatu mempunyai grip yang lebih kuat berbanding Melaka tetapi BN dan UMNO merasakan mereka mempunyai kelebihan dari segi jentera dan semangat daripada lawan.

BN dan UMNO sepertimana di Melaka, mahu bertanding secara solo di Johor.

Mereka telah melihat bagaimana selepas PRN di Melaka, mereka tidak perlu lagi berkongsi kuasa, kerajaan dan pemerintahan dengan parti lain.

Ini lebih memudahkan pembentukan kerajaan negeri, pemilihan anggota exco dan portfolio berbanding sebelumnya.

Sudah tentulah mereka mahu mengulangi kejayaan dan langkah yang serupa di Johor.

Di Melaka kini, kerajaan negeri boleh dilihat sebagai kerajaan yang stabil kerana ia tidak lagi akan berhadapan dengan gangguan dalaman sepertimana yang pernah dihadapi sebelum itu.

Dari satu sudut ia memberi kelegaan yang berpanjangan bukan sahaja kepada pentadbiran, politik dan orang ramai tetapi juga kepada negeri itu sendiri.

Pendek kata untuk tempoh lima tahun akan datang, semua pihak lebih-lebih lagi kerajaan negeri tidak dibelenggu dengan suasana yang kacau bilau kerana ketidakpastian dan ketidakstabilan politik.

Malah jika PRU15 dilangsungkan sekali pun negeri Melaka sudah terselamat. Mereka tidak perlu kalut untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri kerana tempoh penggal sekarang masih panjang. Orang Melaka hanya perlu pilih ahli Parlimen sahaja.

Sekarang kembali kepada Johor, mengambil kira prestasi semasa selepas PRN Sarawak dan Melaka, tidak ada parti pembangkang yang mahu menyerahkan tengkuk untuk disembelih buat kali yang ketiga berturut-turut.

Pas, siang-siang lagi sudah berkata mereka bersedia untuk bertanding. Jika ini terjadi belum tahu lagi dengan siapa Pas akan bersama.

Bersatu nampaknya sekali lagi akan masuk gelanggang bersendirian kerana UMNO mahu bergerak solo melainkan mereka mahu bersama Pas di bawah panji-panji Perikatan Nasional (PN).

Selepas PRN Sarawak dan Melaka, moral dan semangat parti-parti pembangkang dan parti-parti lain buat masa ini sangat rendah dan mereka memerlukan masa untuk pulih dari dua kejutan PRN tersebut khususnya PKR dan DAP.

Walaupun DAP di Johor memiliki kekuatan yang tersendiri dengan 14 buah kerusi Dewan Undangan Negeri tetapi perkara yang sama tidak boleh dikatakan buat Amanah, Bersatu, Pejuang, Muda mahupun Pas.

Dahulu mereka menang atas pakej yang unik dan senario semasa yang berbeza. Kini suasananya berlainan dan pengundi mencari dan mahukan pemerintahan yang stabil dan berkesan kerana mereka telah menyaksikan bagaimana perpecahan memberikan kesan yang besar ke atas mereka.

Dalam keadaan yang penuh tidak menentu ini, akhirnya jentera di akar umbi memainkan peranan yang amat besar dan paling utama untuk menghasilkan kejayaan.

Dalam konteks ini tiada siapa pun yang dapat menafikan bahawa hanya ada tiga parti sahaja yang jentera mereka di peringkat akar umbi adalah teratur, tersusun dan sistematik iaitu - Umno/BN, DAP dan Pas.

Dalam ketiga-tiga parti ini, database UMNO dan BN yang paling tip top. Sebab itulah apabila kempen bersemuka di PRN Melaka tidak dibenarkan, yang mendapat kelebihan daripada keputusan itu adalah UMNO dan BN. Mereka berkempen menerusi telefon termasuk calon sendiri yang menelefon.

DAP mempunyai kelebihan lain pula iaitu sokongan tidak berbelah bahagi masyarakat Cina.

Namun begitu di Melaka calon DAP pun tanpa disangka-sangka boleh tewas. Maka harus untuk DAP berwaspada di Johor jika PRN diadakan.

Untuk PKR dan Pas apa yang berlaku di Melaka dan Sarawak mungkin mencerminkan kedudukan mereka di mata rakyat pada masa kini. Mereka juga sepertimana DAP wajib berwaspada dan bersiap siaga.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar menanya kembali apakah beliau cukup memberi fokus dan perhatian kepada kesiapsiagaan partinya dalam menghadapi apa jua pilihan raya jika ia berlaku.

Rakyat mahukan satu kepimpinan alternatif yang berwibawa bukan sekadar mengkritik sebab rakyat telah melihat dalam tempoh dua tahun selepas PRU14 apa yang berlaku kepada Pakatan Harapan (PH).

Dengan keadaan banjir di Johor telah reda dan hanya tinggal kurang dari 100 mangsa sahaja lagi yang masih berada di pusat penempatan sementara maka bila-bila masa sahaja PRN boleh dilangsungkan.

Sudah pastinya juga yang akan memberi kata putus terakhir ialah Sultan Johor. Perkenan baginda Tuanku Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diperlukan.

Jika pucuk pimpinan UMNO mahukan PRN tetapi Sultan tidak berkenan maka ia tidak menjadi kenyataan.

Berkenaan PRU15 pula, yang mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen ialah Perdana Menteri.

Di bawah perjanjian dengan pihak pembangkang, Dewan Rakyat akan dibubarkan selepas Julai tahun ini. Tetapi jika sekarang ini ditanya sekali lagi kepada pembangkang, kita ragu-ragu apakah mereka sendiri mahukan PRU tahun ini.

Sekali lagi yang mungkin mahu ialah UMNO dan kepimpinan UMNO.

Bagaimanapun PM sekarang bukan presiden parti. Kedudukan ini sangat unik kerana inilah buat pertama kalinya seorang PM bukan menjadi peneraju partinya sendiri.

Apakah yang perlu beliau lakukan jika presiden dan partinya mahukan pilihan raya umum dalam tempoh beberapa bulan ini?

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca