KEBELAKANGAN ini, Undi18 menjadi tumpuan selepas ia diwartakan untuk diperkenalkan mulai tahun 2022. Ia dianggap penting untuk diberikan tumpuan memandangkan 5.8 juta pengundi akan secara automatik didaftar pada 16 Januari 2022.
Sebanyak 1.2 juta adalah dalam kalangan yang berumur 18 hingga 20 tahun manakala 4.6 juta pula adalah yang berkelayakan tetapi tidak berdaftar sebelum ini.
Apakah dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada Julai 2019 untuk menurunkan umur mengundi dan pendaftaran automatik ini akan melihat penyertaan politik yang lebih aktif dalam kalangan masyarakat Malaysia apatah lagi ini membawa kepada peningkatan 40 peratus pengundi daripada 15 juta kepada 21 juta pengundi. 40,000 hingga 50,000 dikatakan mencecah umur 18 tahun setiap bulan.
Bagaimanakah partisipasi politik dilengkapkan dengan pewartaan ini? Keazaman politik perlu diubah. Ruang demokrasi sudah meluas dan tidak ada batasan sebagaimana sebelum ini. Pelantar kebebasan memberi pandangan politik dan partisipasi termasuk lingkaran sivik dicari. Amalan konvensional perlu mencari formula baharu untuk mendampingi dan bergabung dengan kumpulan 5.8 juta ini.
Sudah tiba masanya partisipasi politik dibuka pintu seluasnya kerana tidak bermakna jika had umur diturunkan tetapi penglibatan masih pasif. Golongan yang aktif selama ini tidak perlu rasa tergugat malahan kehadiran kelompok baharu ini melengkapi peranan dan fungsi dimainkan selama ini. Indeks Pembangunan Belia tahun 2020 menunjukkan Malaysia berada di tangga ke-74 dari 180 buah negara dan ini barangkali akan berubah.
Terdapat beberapa cara untuk menggiatkan partisipasi politik. Ia melangkaui keluar mengundi semata-mata. Penglibatan untuk mempromosi ‘mengundi’; melakukan protes; membuat petisyen; terlibat sebagai sukarelawan parti termasuk menjadi ‘perayu’, edar poster, berkempen, memberikan dana kepada parti dan bantuan yang diperlukan; terlibat dalam membuat keputusan; menjadi calon pemilihan parti atau pilihan raya; dan membuat referendum merupakan antara jenis penyertaan politik sehingga kini.
Pada waktu sama, ada yang bersifat 'alienasi' politik kerana celik politiknya masih tidak memuaskan. Literasi politik juga dibimbangi tidak mencapai hasrat untuk mengajak mereka keluar mengundi. Ada yang masih tidak percaya ke atas sistem negara ini.
Keyakinan dan kepercayaan perlu dibina agar mendapat maklumat mengenai sistem, bagaimana mereka menjadi efektif, yakin pada pilihan yang dibuat dan percaya undi mereka penting bukan semata-mata mencari kemenangan tetapi masa depan pembangunan negara ini.
Penglibatan politik boleh berbeza mengikut umur, jantina, pekerjaan, pendidikan, etnik dan agama. Lazimnya kumpulan pertengahan umur yang mempunyai kehidupan stabil, berkarier dan berpendapatan mahu terlibat, namun dengan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun, kumpulan yang sering merujuk kepada isu dan hubungan kekeluargaan boleh memainkan peranan besar dalam arena politik Malaysia hari ini.
Dalam konteks negara ini, penyertaan politik disebabkan oleh etnik dan agama juga tidak boleh diketepikan sama sekali. Hubungan jantina dan penyertaan politik juga penting untuk dinilai supaya tidak wujud diskriminasi gender dengan peningkatan jumlah pengundi hari ini.
Literasi politik perlu terus diterokai. Ia akan membantu meningkatkan pemahaman, penyertaan dan pembabitan dalam lingkaran dunia politik tempatan. Informasi dan peranan penyaluran maklumat signifikan untuk memastikan tindakan dan keputusan adalah rasional dan tidak emosi semata-mata.
Hatta, peranan media yang bebas perlu untuk membolehkan ia memenuhi ruang untuk berinteraksi dan penyiaran yang mengutamakan kesahihan maklumat sampai kepada pengundi, kedua-duanya media tradisi dan media sosial.
Kita juga perlu melihat bagaimana ada indikator tidak boleh diukur termasuk nilai kejujuran dan kesetiaan serta memastikan ini tidak menggugat motivasi penyertaan politik. Ini dapat dirungkai melalui proses sosialisasi yang membabitkan pelbagai ejen sosialisasi termasuk keluarga, sekolah, pendidik, media, rakan sebaya, pemimpin dan inisiatif sendiri untuk menyelami dunia politik.
Sudah tiba masanya kita meraikan golongan remaja dan belia dalam soal tatacara pentadbiran negara kerana ini juga peranan seorang warganegara bertanggungjawab.
* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca