SHAH ALAM - Menjangkau tahun ketiga penularan Covid-19 di negara ini, masih ramai peniaga yang terpaksa bergelut untuk meneruskan kehidupan apatah lagi pada zaman harga bekalan barangan untuk berniaga terus meningkat.
Tidak terkecuali peniaga kecil-kecilan yang selama ini mencari rezeki secara harian dengan mengharap orang ramai membeli barang jualan.
Bagi seorang peniaga kuih kapit, Rohaida Abu, 30, dia terpaksa menghentikan operasi pembuatan dan penjualan berskala besar kerana tidak mampu membayar sewa kedai.
"Sejak Covid-19 melanda, jualan kuih kapit saya tidak seperti dulu. Jika sebelum ini jualan boleh mencecah sehingga 50 hingga 70 balang sehari, namun kini 10 hingga 15 balang sahaja.
"Dengan hasil jualan seperti itu, saya tidak mampu membayar sewa kedai dan terpaksa memberhentikan operasi berskala besar sementara waktu,” katanya kepada Sinar Harian.
Buat masa ini katanya, dia sudah membawa pulang semua peralatan ke kediamannya dan beroperasi dari rumah.
"Sehari hanya dapat hasilkan 15 balang dengan menggunakan lima buah mesin di rumah. Saya juga perlu menjual secara dalam talian,” katanya.
Bagi seorang pengusaha katering, Nurul Iziaty Zainal Azeman, 34, pandemik Covid-19 memberi impak besar terhadap perniagaannya.
Ketika kerajaan tidak membenarkan sebarang majlis keraian diadakan, kebanyakan pelanggannya membatalkan tempahan dan deposit bayaran perlu dipulangkan.
"Saya kehilangan hampir lima pelanggan yang sebelum ini telah menempah untuk majlis perkahwinan, akikah dan doa selamat.
"Terduduk juga dibuatnya. Namun tiada apa yang saya dapat lakukan dan dengan berat hati memberhentikan operasi perniagaan buat sementara waktu,” katanya.
Bagi pengusaha trak makanan segera, Mohamad Ezannee Azis, 42, perniagaannya terjejas akibat perlaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Ujarnya, sepanjang tempoh tersebut, dia terpaksa menukar jenis makanan yang dijual bagi mengurangkan modal berniaga.
"Sebelum ini saya berniaga berhampiran kawasan sekolah kerana tumpuan hanya kepada pelajar.
"Jenis makanan yang dijual juga adalah jenis segera dan murah sesuai dengan kehendak pelajar,” katanya.
Mengakui pendapatannya terjejas, Mohamad Ezannee berkata, dia terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan perniagaan makanan segera sebaliknya beralih kepada perniagaan aiskrim potong.
"Buat masa ini saya beralih kepada perniagaan yang tidak memerlukan modal besar dan tidak perlu menggunakan trak makanan segera.
"Saya cuma jual aiskrim di tempat awam dengan meletakkannya di atas meja,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca