SHAH ALAM - Akibat penularan Covid-19, hidup rakyat semakin terdesak malah tidak kurang yang hilang pekerjaan.
Keadaan ini memaksa mereka memilih mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan demi kelangsungan hidup sekali gus memberi persaingan kepada peniaga sedia ada.
Peniaga pasar malam, Rusyati Buhari, 54, mengakui pendapatannya masih belum pulih sejak penularan Covid-19.
Walaupun kerajaan telah membenarkan peniaga pasar malam beroperasi seperti biasa, hasil jualannya tidak ‘serancak’ dahulu ekoran kemunculan peniaga lain seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
"Sejak Covid-19 melanda, ramai orang yang berhenti atau diberhentikan kerja buka perniagaan makanan yang sama, jadi pelanggan ada banyak pilihan.
"Kami terpaksa bersaing dengan peniaga baharu yang jual produk dan barangan sama.
"Secara tidak langsung pendapatan kami sedikit sebanyak terjejas dan terpaksa mencari alternatif lain untuk melariskan jualan,” ujarnya.
Rusyati berkata, selain menyertai pasar pagi dan pasar malam, dia juga mengambil tempahan menerusi WhatsApp dan melakukan penghantaran ke rumah.
Sementara itu seorang mekanik, Mohd Aiman Asyraf Ezani, 21, kini hanya melakukan kerja baik pulih kenderaan di kawasan rumahnya kerana tidak mampu membayar sewa bengkel sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan.
"Ketika itu bengkel tidak dibenarkan buka, jadi pendapatan harian saya terjejas hinggakan tidak mampu lagi menampung sewaan kedai.
"Jadi saya ambil keputusan untuk membaiki kenderaan di rumah sahaja,” ujarnya.
Mohd Aiman Asyraf mengakui dia perlukan tempoh sekurang-kurangnya setahun lagi sebelum menyewa bengkel semula susulan bimbang kalau-kalau ada PKP yang akan dilaksanakan lagi.
Klik di sini untuk terus membaca