SHAH ALAM - Agensi kerajaan berkaitan pinjaman kewangan diminta mempermudah dan mempercepat kelulusan pinjaman yang dimohon peniaga bagi membantu mereka memulakan semula perniagaan.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia (PGPPM), Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, ketika ini kebanyakan peniaga berhadapan kemelut aliran tunai yang mendesak selain tidak dapat menjalankan operasi dalam tempoh yang lama.
Rosli memaklumkan, sejak kerajaan mengumumkan kelonggaran sektor ekonomi tahun lalu, ramai peniaga menarik nafas lega namun masih gusar kerana tidak mempunyai modal untuk membeli bahan mentah dan keperluan berkaitan.
"Keadaan mereka sekarang amat perit kerana terkesan teruk akibat penularan wabak Covid-19, lagipun mereka berniaga bukan dapat keuntungan besar.
"Kebanyakan peniaga dan penjaja berniaga untuk kelangsungan hidup secara harian, maka apa yang saya lihat, adalah amat sukar untuk mereka bangkit semula dalam perniagaan.
"Justeru saya berharap agar agensi kerajaan seperti Tekun Nasional (Tekun) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) dapat mempercepat proses pinjaman perniagaan mereka kerana dalam situasi sekarang, mereka sangat memerlukan modal pusingan,” katanya.
Mengulas lanjut Rosli berkata, keadaan lebih mendesak menjelang Ramadan pada April nanti apabila ramai peniaga yang mahu membuat persiapan awal bagi mengelakkan bahan mentah kehabisan stok.
Klik di sini untuk terus membaca