SHAH ALAM - Para peniaga perlu mengemas kini sekali gus menukar strategi perniagaan mereka bagi memastikan perniagaan sedia ada terus berdaya saing seiring peredaran masa .
Ketua Penganalisis Ekonomi Organisasi Bank Islam Malaysia, Dr. Mohd Azfanizam Abdul Rashid berkata, perkara itu perlu diambil serius berikutan penerapan norma baharu sejak pandemik Covid-19 melanda dunia.
"Saya lihat pengguna lebih tertumpu ke arah pendigitalan, maka peniaga juga perlu mempertingkat kemahiran mereka agar seiring kemahuan pelanggan.
"Mereka perlu cari peluang untuk meningkatkan kemahiran kerana bila bercakap mengenai norma baharu, maka kaedah lama mungkin sudah tidak sesuai diguna pakai buat masa ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Melihat keadaan masa kini, Mohd Azfanizam berkata, peniaga dan pengguna perlu sentiasa mempersiapkan diri dalam menghadapi lonjakan harga barangan.
Katanya, kenaikan harga barangan akan menjadi isu perdebatan dan perlu dihadapi semua pihak.
"Hakikatnya, kita tidak tahu apa yang akan jadi dengan harga barang kerana sifatnya yang sentiasa naik tetapi susah nak turun.
"Isu kos sara hidup adalah kontemporari dan kita akan hadapi sampai bila-bila, justeru rakyat perlu akur dan bersedia untuk menyesuaikan diri dengannya,” ujarnya.
Sementara itu Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, para peniaga berisiko menghadapi cabaran untuk meneruskan kelangsungan perniagaan sekiranya harga barangan asas dan mentah terus meningkat.
Ahmed Razman berkata, sekiranya lonjakan harga barangan berterusan, peniaga terpaksa menaikkan harga jualan bagi menampung kos operasi selain memastikan perniagaan mereka terus berdaya saing.
"Seperti yang kita maklum, kos sara hidup kini semakin meningkat dan secara tidak langsung memberi beban kepada rakyat.
"Justeru kerajaan perlu memastikan harga barangan sentiasa terkawal bagi memberi kelegaan kepada semua pihak,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca