MINGGU lepas, program debat 'Berani Bersemuka' anjuran Sinar Harian di antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim di bawah tajuk 'KWSP: Lega Sekarang, Susah Kemudian?' tular di media sosial.
Debat membincangkan isu pengeluaran one-off RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu sememangnya sudah dijangka 'meletup'.
Lebih-lebih lagi panel ditampilkan adalah pejuang utama idea itu sendiri iaitu Asyraf Wajdi, yang diketahui lantang menyuarakan tuntutan pengeluaran i-Citra sejak pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin lagi.
Bagaimanapun, terdapat kecanggungan berlaku di sepanjang program debat berdurasi satu jam itu.
Kecanggungan pertama adalah Asyraf Wajdi seolah-olah memainkan watak antagonis walaupun beliau kini sebahagian daripada pemimpin parti mentadbir kerajaan, UMNO.
Tidak dinafikan, Asyraf Wajdi mencadangkan beberapa idea bernas perlu dipertimbangkan kerajaan untuk diluluskan.
Idea-idea beliau adalah seperti cadangan KWSP menggunakan sebahagian jumlah kutipan caruman tahunan bernilai RM75 bilion setahun daripada pencarum bagi tujuan itu tanpa perlu mencairkan aset pelaburan luar negara dan pasaran modal.
Selain itu, Asyraf Wajdi turut menjelaskan fokus kumpulan sasaran dibenarkan membuat pengeluaran haruslah terdiri mereka terkesan dan kehilangan pekerjaan mewakili 6.83 juta pencarum yang memiliki simpanan RM10,000 ke atas.
Namun begitu, bekas Timbalan Menteri sewaktu kerajaan BN itu kemudiannya mempersoalkan keengganan kerajaan pimpinan Perdana Menteri daripada UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluluskan tuntutan pengeluaran KWSP berkenaan.
PROMOSI BANTUAN KERAJAAN
Pada masa sama, Hassan yang merupakan ahli Parlimen pembangkang pula dilihat sebagai 'wakil kerajaan'.
Beliau senada dengan Ismail Sabri dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berpandangan pengeluaran i-Citra akan menjejaskan simpanan hari tua pencarum.
Satu lagi perkara pelik yang berlaku di sepanjang debat 'Berani Bersemuka' itu adalah Asyraf Wajdi langsung tidak mempromosikan inisiatif bantuan pemberian tunai kepada mangsa banjir oleh kerajaan yang boleh mencecah RM10,000 hingga RM61,000 bagi setiap isi rumah.
Sama ada beliau terlepas pandang atau tidak, ketiadaan Ketua Pemuda UMNO itu memberi kredit kepada Ismail Sabri di atas pengumuman bantuan mangsa banjir berkenaan yang dibuat sempena perutusan Tahun Baharu 2022, juga menimbulkan pelbagai tanda-tanya.
Lebih melucukan, insiatif bantuan daripada kerajaan Ismail Sabri itu pula dibangkitkan Hassan, walaupun pemimpin PKR itu kemudiannya mengkritik kerajaan kerana gagal mencari jalan alternatif menyegerakan bantuan berkenaan serta solusi menambah wang simpanan hari tua pencarum KWSP pada kadar sepatutnya.
KEM-KEM
Bagaimanapun, bagi beberapa pemerhati politik, pendirian Asyraf Wajdi yang seiring dengan pendirian pucuk kepimpinan UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada kaitan dengan senario pertembungan dua kem besar dalam parti itu ketika ini.
Secara jelas, selepas Ismail Sabri dipilih sebagai Perdana Menteri kesembilan, sebilangan pemimpin UMNO yang menyokong kerajaan Muhyiddin sebelum ini, kini menyusun strategi agar Naib Presiden UMNO itu diangkat sebagai Presiden baharu parti itu.
Hakikat itu dibuktikan menerusi dakwaan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang membuat kesimpulan sokongan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO terhadap kepimpinan Ismail Sabri adalah isyarat Perdana Menteri itu bakal menjadi posterboy Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) parti.
Meskipun Ahmad Zahid dan seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan kononnya wujud dua kem dalam parti, namun masalah dalaman UMNO kini adalah satu 'rahsia terbuka' yang sukar disorok.
"Bagi saya, isu pengeluaran i-Citra adalah kemuncak pertembungan antara kem pemimpin UMNO pro Putrajaya dipimpin Ismail Sabri sendiri dengan kumpulan pemimpin yang menyokong Ahmad Zahid.
"Selain tuntutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan segera, isu tuntutan pengeluaran KWSP turut dilihat sebagai strategi serampang dua mata UMNO bukan sahaja bagi menekan Ismail Sabri menyegerakan pelaksanaan PRU15, bahkan bakal meningkatkan sokongan rakyat terhadap parti itu," kata Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Selain itu, seorang lagi pemerhati politik berpandangan Ismail Sabri kini berhadapan dilema untuk memenuhi kehendak pucuk kepimpinan UMNO yang mahukan parti itu mengadakan PRU15 segera.
Hal ini kerana Ahli Parlimen Bera itu menyedari peluangnya untuk kekal menjadi Perdana Menteri sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat masih belum terjamin.
"Secara tradisinya, seorang pemimpin UMNO dipilih sebagai Presiden yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri dan Ismail Sabri bukan Presiden parti.
"Justeru, faktor utama kelompok pemimpin pro Ismail Sabri mahu PRU15 diadakan tahun hadapan adalah disebabkan mereka mahu memaksa parti mengadakan pemilihan UMNO lebih awal bagi membolehkan usaha mengangkat Perdana Menteri sebagai Presiden parti dapat direalisasikan," kata penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain.
Klik di sini untuk terus membaca