Apa dah jadi, apa nak jadi (tiada niat plagiat lirik lagu), daripada sekecil-kecil jenayah hingga jenayah kejam yang membawa maut, memang mengerikan apabila difikirkan.
Bermula dengan sebuah video viral seorang remaja lelaki mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang dimandikan persis jenazah, yang melakukan jenayah satu hal, yang jadi perhatian cara 'hukuman' dilaksanakan.
Pihak yang menyokong hukuman itu beralasan ia wajar demi untuk memberi pengajaran kepada remaja berusia 19 tahun itu, namun di pihak satu lagi tindakan memandikan itu agak keterlaluan apatah lagi ia dilakukan di dalam masjid.
Mahkamah Majistret Selayang memutuskan remaja itu dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 namun pada Isnin, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengenepikan hukuman tersebut.
Hukuman terhadap remaja itu ditukar kepada menjalani khidmat masyarakat di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama 120 jam dalam tempoh enam bulan.
Remaja itu dikehendaki mematuhi setiap aktiviti atau program yang telah ditetapkan atau lain-lain arahan oleh JKM dan hendaklah dikhususkan khidmat masyarakat itu di masjid-masjid.
Mat Taici bukan mahu jadi acah-acah bagus atau menyebelahi mana-mana pihak, namun dalam kes ini rasanya itulah yang terbaik buat masa ini.
'Hukuman' itu sepatutnya membimbing remaja terbabit ke jalan yang benar agar dia menginsafi kesalahan dan tidak kembali berbuat jahat.
Mungkin kedengaran agak cliche tetapi rasanya tidak salah memberikan peluang kedua buat remaja yang masih setahun jagung usianya itu sedangkan 'pesalah' veteran berprofil tinggi pun diberikan peluang berulang kali membela diri (oops!)
Tutup cerita pesalah remaja dimandikan, muncul pula kisah tragis menyayat hati seorang wanita maut dipenggal anak kandung sendiri menggunakan sebilah parang di Kuala Selangor.
Dia yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah itu telah diberkas dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Tidak dapat dibayangkan trauma yang terpaksa ditanggung ahli keluarga mangsa melihat ibu yang melahirkan dan membesarkan terbujur kaku berlumuran darah. Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Benarlah bak dikata, dadah itu najis dan perlu dihindari. Dalam sekelip mata, kewarasan boleh hilang dan nyawa insan tidak berdosa menjadi taruhan.
Kadang-kadang Mat Taici rasa jenayah sama ada melibatkan kekerasan, pembunuhan, dadah atau rasuah di Malaysia sudah lebih daripada layak untuk dijadikan idea cerita rancangan penyiasatan dan pembunuhan seperti NCIS dan CSI!
Apa dan di mana silapnya hingga jenayah semakin berleluasa di sekeliling kita? Ayuhlah semua rakyat Malaysia bangkit dan sedarlah, jangan sampai kita tidak berasa selamat di dalam negara sendiri.
Bak kata peribahasa, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Janganlah kita hanya mengharapkan pihak berkuasa dalam memerangi jenayah.
Masyarakat juga harus membuka mata dan melaporkan kepada talian aduan yang sepatutnya jika ada sebarang perlakuan yang mencurigakan.
Pss: Tak sabar nak tengok CSI... Klik di sini untuk terus membaca